Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah syarat-syarat untuk memilih Imam solat, adakah wajib pemimpin menjadi Imam setiap kali Solat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam bermaksud seseorang yang diikuti oleh orang lain, seperti imam ketika solat, sebagai seorang khalifah, atau panglima tentera. (Lihat Mu’jam al-Wasit, hlm. 27). Perkataan imam itu sendiri memberi maksud di hadapan yang dirujuk serta diikuti sedangkan pengikutnya pula dikenali sebagai makmum. Hal ini berlandaskan hadis Nabi SAW:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya: “Imam (di dalam solat) itu dijadikan untuk diikuti. Jangan kalian bercanggahan dengan imam. Apabila dia rukuk maka rukuklah. Apabila dia menyebut سمع الله لمن حمده (Allah Maha Mendengar sesiapa yang memuji-Nya) maka katakanlah ربنا لك الحمد (Tuhan kami bagi Engkau segala pujian). Apabila dia sujud maka bersujudlah. Apabila dia solat secara duduk maka solatlah kalian semua secara duduk.”

Riwayat al-Bukhari (722) dan Muslim (962)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyebut bahawa makmum wajib untuk mengikut imam ketika takbir, qiyam,rukuk, sujud dan lain-lain. Makmum perlu mengangkat takbir sejurus selepas imam melakukannya. Jika makmum melakukan apa-apa pergerakan solat sebelum imam selesai maka tidak sah solatnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/131)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara kriteria seorang imam yang digariskan oleh Rasulullah SAW adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud, beliau berkata bahawa Nabi SAW berkata kepada kami:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا وَلاَ تَؤُمَّنَّ الرَّجُلَ فِي أَهْلِهِ وَلاَ فِي سُلْطَانِهِ وَلاَ تَجْلِسْ عَلَى تَكْرِمَتِهِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَكَ أَوْ بِإِذْنِهِ

Maksudnya: “Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.”

Riwayat Muslim (613)

Berikut merupakan susunan orang yang layak menjadi imam ketika ketiadaan imam khusus yang dilantik masjid menurut Ibn Naqib al-Masri di dalam kitabnya Umdah al-Salik (128):

  • Yang paling faqih (iaitu yang paling mengetahui dan memahami) hukum-hakam syariah Islam, terutamanya perkara yang berkaitan solat seperti sah dan batalnya solat dan lain-lain.
  • Yang paling baik bacaan al-Quran.
  • Yang paling warak (iaitu mereka yang menjauhi syubhah).
  • Yang paling awal berhijrah ke kerajaan islam madinah dan anak cucunya.
  • Yang paling awal memeluk islam.
  • Yang mulia nasabnya atau keturunan mengikut turutan bermula daripada bani hashim, bani muthalib, kemudian diikuti quraisy, kemudian bangsa Arab, diutamakan anak orang yang soleh dan alim daripada yang disebutkan dari nasab.
  • Yang paling baik keperibadian.
  • Yang paling bersih tubuh badan dan pakaian.
  • Yang paling lunak suara.
  • Yang paling baik penampilan.

Begitu juga disebutkan dalam Syarh Bulugh al-Maram (2/111) berkaitan dengan hadith ini iaitu:

  • Wali (penguasa) lebih berhak menjadi imam di wilayahnya selagi dia mengetahui perkara sah solat.
  • Pemilik rumah didahulukan menjadi imam berbanding orang lain selagi dia mengetahui perkara sah solat.
  • Pemilik rumah didahulukan menjadi imam berbanding orang lain selagi dia mengetahui perkara sah solat.

Justeru kami menyatakan bahawa seorang pemimpin mempunyai hak untuk memegang peranan sebagai imam selama dia memahami perkara-perkara sahnya solat. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu kewajipan baginya untuk menjadi imam jika terdapat individu lain yang lebih layak seperti mereka yang memiliki pengetahuan berkaitan dengan solat dan bacaan al-Quran yang baik. Ini adalah penting untuk memastikan kesempurnaan solat yang diimamkan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam.

Leave a Reply