Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah sedekah secara sembunyi lebih afdhal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya:Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

(Surah Saba’: 39)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, setiap apa yang diinfakkan sama ada nafkah wajib atau sunat, kepada saudara, jiran, orang miskin, anak yatim atau selainnya, maka Allah akan menggantikannya. Oleh itu, janganlah kamu menganggap bahawasanya infak itu akan mengurangkan rezeki. Bahkan sebaliknya Allah SWT berjanji untuk menggantikannya buat orang yang memberi infak. Dialah yang meluaskan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga mampu untuk menyempitkannya. Demikianlah juga Dia sebaik-baik Pemberi rezeki. Justeru, mintalah rezeki daripada-Nya dan berusahalah dengan melakukan sebab-sebab dan jalan-jalan yang diperintahkan-Nya kepadamu — bagi memperolehinya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 581)

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Perumpamaan golongan yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai. Dan di setiap satu batang tangkai itu terdapatnya seratus biji benih. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Memberi Keluasan lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 261)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kami kemukakan di sini berdasarkan apa yang Imam al-Bukhari nukilkan di dalam kitab Sahihnya: Abu Hurairah R.A berkata: Daripada Nabi SAW:

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا صَنَعَتْ يَمِينُهُ

Maksudnya: “Seorang lelaki memberikan sedekah, lalu menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh tangan kanannya.”

Dan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 271)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya.

Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620)

Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, cara melakukan sedekah boleh dibahagi seperti berikut: Dalam kategori sedekah wajib, perbelanjaan kebajikan, infak kemaslahatan umum seperti pembinaan sekolah, hospital, perbelanjaan pada jalan agama, jihad, sedekah pada pertubuhan sukarelawan, maka sewajarnya di war-warkan kepada umum dengan niat menggalakkan orang ramai turut bersedekah selain dapat menarik minat masyarakat. Manakala, sedekah kepada golongan fakir yang sangat berhajat memerlukan bantuan kewangan, maka lebih baik sedekah itu dilakukan secara sembunyi daripada pengetahuan umum tanpa diberikan secara terang-terangan. Hal ini dapat menutup keadaan aib fakir miskin dan memelihara maruah mereka. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/105)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply