Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah berdosa saya bersalaman dengan mak saudara belah isteri? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, secara asasnya, bersentuhan kulit antara lelaki dewasa dengan perempuan dewasa ajnabi adalah sesuatu yang ditegah dan haram hukumnya. Di dalam sebuah hadith daripada Ma‘qil bin Yasar R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya:Sekiranya dicucuk pada kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, adalah lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat al-Tabarani (486); Riwayat al-Ruyani dalam musnadnya (1283)

Hadith di atas, jelas menunjukkan kepada pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadith menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya. Mengenai perkara ini, al-Khattabi ada mengatakan:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

Maksudnya:Sesuatu khitab (yakni nas) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga turut ditujukan (terpakai) kepada orang perempuan, melainkan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/423).

Begitu juga bersentuhan antara lelaki dewasa dan perempuan dewasa ajnabi tanpa berlapik termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk, sama ada sengaja ataupun tidak. (Lihat Al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 100-103; al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, hlm. 38).

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa seseorang lelaki (suami) tidak boleh untuk bersalaman dengan ibu saudara sebelah isterinya. Jika persentuhan itu berlaku secara sengaja tanpa sebarang sebab yang diizinkan oleh syarak, maka hukumnya adalah haram dan dikira berdosa kerana sentuhan itu adalah diharamkan.

Hal ini kerana ibu saudara isterinya itu sekalipun haram dikahwini, tetap dikira sebagai wanita ajnabiyyah bagi suaminya kerana dia tidak termasuk dalam mahramnya, yang dibolehkan untuk duduk berdua-duaan, bermusafir atau bersentuhan atau bersalaman dengannya. Sebaliknya, pengharaman untuk berkahwin itu adalah bersifat muaqqat (sementara) dan bukannya selama-lamanya.

Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta‘bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114).

Tidak dapat dinafikan bahawa ibu saudara isteri termasuk dalam kalangan wanita yang dilarang untuk dikahwini oleh suami. Ini berdasarkan riwayat daripada Jabir R.A bahawa:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُنْكَحَ الْمَرْأَةُ عَلَى عَمَّتِهَا أَوْ خَالَتِهَا

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang dari dinikahi perempuan bersama Ibu saudara sebelah ayahnya atau ibu saudara sebelah ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (5108) dan Muslim (3506)

Di dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ عَلَى عَمَّتِهَا وَلَا الْعَمَّةُ عَلَى بِنْتِ أَخِيهَا وَلَا الْمَرْأَةُ عَلَى خَالَتِهَا وَلَا الْخَالَةُ عَلَى بِنْتِ أُخْتِهَا وَلَا تُنْكَحُ الْكُبْرَى عَلَى الصُّغْرَى وَلَا الصُّغْرَى عَلَى الْكُبْرَى

Maksudnya: “Jangan dinikahi perempuan bersama ibu saudaranya. Juga jangan dinikahi ibu saudara bersama anak perempuan saudaranya. Begitu juga jangan dinikahi perempuan bersama dengan ibu saudara sebelah ibunya. Jangan juga dinikahi yang besar(ibu-ibu saudara sebelah ibu atau bapa) bersama dengan yang kecil dan juga yang kecil bersama yang besar.”

Riwayat al-Tirmizi (1045), Abu Dawud (2065) dan al-Nasa’i (3294)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa tiada ahli ilmu yang berselisih tentang larangan berkahwin dan menghimpunkan di antara seorang perempuan dan ibu saudaranya. (Lihat Fath al-Bari, 25/290).

Sekalipun begitu, larangan untuk menikah ibu saudara kepada isteri adalah secara muaqqat, yakni bersifat sementara iaitu selagi mana ikatan lelaki (suami) dengan isteri masih wujud dan bukannya secara muabbad (selama-lamanya).

Kaedah yang masyhur dalam kalangan fuqaha menyatakan:

يَحْرُمُ الْجَمْعُ بَيْنَ كُلِّ امْرَأَتَيْنِ بَيْنَهُمَا قَرَابَةٌ وَلَوْ كَانَتْ إِحْدَاهُمَا رَجُلًا لَم يجز لَهُ الزَّوَاج بِالأُخْرَى

Maksudnya: “Haram untuk menggabungkan (berkahwin sekali gus) di antara dua perempuan yang mempunyai pertalian. Jika salah satunya telah dikahwini tidak boleh mengahwini yang lain.”

Akan tetapi, jika isteri meninggal dunia atau diceraikan sehingga habis tempoh ‘iddah isteri. Maka pada saat itu, dibenarkan untuk berkahwin dengan ibu saudara bekas isteri kerana sudah tamat tempoh mahram muaqqat (mahram sementara).

Oleh yang demikian, kami tegaskan sekali lagi bahawa seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan ibu saudara isterinya kerana ibu saudara isterinya itu sekalipun haram dikahwini, tetap dikira sebagai wanita ajnabiyyah bagi suaminya kerana dia tidak termasuk dalam mahramnya, yang dibolehkan untuk duduk berdua-duaan, bermusafir atau bersentuhan atau bersalaman dengannya. Sebaliknya, pengharaman untuk berkahwin itu adalah bersifat muaqqat (sementara) dan bukannya selama-lamanya. Justeru, jika persentuhan itu berlaku secara sengaja tanpa sebarang sebab yang diizinkan oleh syarak, maka hukumnya adalah haram dan dikira berdosa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply