Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dari dulu suka membaca artikel dan buku dari ustaz dalam bab-bab aqidah, fiqh dan hukum hakam dari ustaz jadi mufti lagi, tetapi saya dari johor boleh ke saya baca soal jawab mufti wilayah? Namun, sekarang saya sudah tidak baca kerana ustaz tidak jadi mufti lagi.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan carilah ilmu seberapa banyak yang boleh kerana Allah SWT telah berfirman:

وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.

(Surah al-Isra’: 85)

Al-Sobuni berkata: Kamu tidak dikurniakan ilmu hai manusia kecuali amat sedikit. Ini kerana ilmu kamu jauh amat sedikit berbanding dengan ilmu Allah. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/159)

Justeru, kami katakan tidak menjadi masalah untuk anda membaca fatwa-fatwa di Malaysia ini kerana mereka merupakan pihak yang berautoriti dalam mengeluarkan hukum. Maka, janganlah berhenti dalam membaca soal jawab hukum hakam yang dikeluarkan bagi menambahkan lagi ilmu agama. Manakala, untuk beramal dengan pandangan mufti lain, kami katakan ia perlu dibezakan sama ada untuk amalan sendiri atau sebaliknya. Sekiranya untuk amalan sendiri, maka tidak mengapa untuk mengikuti pandangan mufti lain kerana berbezanya suatu pandangan itu disebabkan berbezanya kefahaman terhadap nas-nas sehingga memberikan natijah hukum yang berbeza-beza mengikut mazhab fiqh. Namun, sebaiknya kita mengikuti pandangan hukum mufti masing-masing (mengikut negeri) memandangkan mereka pihak yang berautoriti dalam bidang tersebut.

Dalam pada itu, bagi mereka yang dikira sebagai mantan mufti, mereka juga diiktiraf pandangan mereka sebagai pandangan hukum, tetapi ia tidak disebut sebagai fatwa. Misalnya, Dato Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, yang mana kini beliau mengeluarkan pandangan hukum di laman web Maktabah al-Bakri dan juga aplikasi al-Inarah. Sehingga kini, seramai 6 juta pengunjung yang telah mengunjungi laman web beliau. Pelbagai persoalan dan jawapan yang telah dibahaskan oleh beliau bagi meneruskan lagi dakwahnya dalam menyebarkan ilmu. Maka, tidak mengapa untuk anda membaca dan memahami penulisan hukum beliau meskipun beliau bukan lagi mufti kerana beliau dikira berkelayakan dan gelaran mufti itu hakikatnya suatu jawatan yang diamanahkan dalam memberi kefahaman kepada masyarakat.

Atas kesempatan ini juga, kami ingin menasihati agar merujuk kepada pihak yang berautoriti dalam memahami suatu hukum hakam Islam supaya tidak keliru dengan pandangan-pandangan mereka yang tidak berkeahlian (di luar bidang) di media sosial yang mana semakin menular pada hari ini.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beragama dan Saya akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.

Leave a Reply