Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW menggalakkan para sahabatnya bersedekah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Golongan salafus soleh terutamanya para Sahabat benar-benar mengikut perintah Allah dengan sesungguh-sungguhnya, termasuklah dalam perkara bersedekah. Bahkan, sikap mereka amat keterlaluan sehingga sanggup mengorbankan diri mereka dan keluarga mereka semata-mata untuk bersedekah. Firman Allah SWT:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.”

(Surah al-Hasyr: 9)

Sebab penurunan ayat ini ada diceritakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَبَعَثَ إِلَى نِسَائِهِ فَقُلْنَ مَا مَعَنَا إِلَّا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ مَنْ يَضُمُّ أَوْ يُضِيفُ هَذَا فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ أَنَا فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى امْرَأَتِهِ فَقَالَ أَكْرِمِي ضَيْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَقَالَتْ مَا عِنْدَنَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانِي فَقَالَ هَيِّئِي طَعَامَكِ وَأَصْبِحِي سِرَاجَكِ وَنَوِّمِي صِبْيَانَكِ إِذَا أَرَادُوا عَشَاءً فَهَيَّأَتْ طَعَامَهَا وَأَصْبَحَتْ سِرَاجَهَا وَنَوَّمَتْ صِبْيَانَهَا ثُمَّ قَامَتْ كَأَنَّهَا تُصْلِحُ سِرَاجَهَا فَأَطْفَأَتْهُ فَجَعَلَا يُرِيَانِهِ أَنَّهُمَا يَأْكُلَانِ فَبَاتَا طَاوِيَيْنِ فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَقَالَ ضَحِكَ اللَّهُ اللَّيْلَةَ أَوْ عَجِبَ مِنْ فَعَالِكُمَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ…

Maksudnya: “Ada seseorang yang mendatangi Rasulullah SAW (dalam keadaan lapar), lalu Baginda SAW mengirim utusan kepada para isteri Baginda. Para isteri Rasulullah SAW menjawab: “Kami tidak memiliki apa pun kecuali air.” Rasulullah SAW bersabda: “Siapakah daripada kalangan kalian yang ingin menjamu orang ini?” Salah seorang kaum Ansar menjawab: “Saya.” Lalu orang Ansar ini membawa lelaki tadi ke rumah isterinya, (dan) dia berkata: “Muliakanlah tetamu Rasulullah SAW!” Isterinya menjawab: “Kita tidak memiliki apa pun kecuali makanan untuk anak-anak.” Orang Ansar itu berkata: “Siapkanlah makananmu itu, nyalakanlah lampu, dan tidurkanlah anak-anak jika mereka minta makan malam.” Kemudian, wanita itu pun menyiapkan makanan, menyalakan lampu, dan menidurkan anak-anaknya. Dia lalu bangkit, seakan hendak memperbaiki lampu dan memadamkannya. Kedua suami-isteri ini memperlihatkan (kepada para tetamu) seakan-akan mereka sedang makan. Setelah itu mereka tidur dalam keadaan lapar. Keesokan harinya, si suami datang menghadap Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Malam ini Allah tertawa atau takjub dengan perbuatan kamu berdua.” Maka Allah menurunkan (ayat tersebut).”

Riwayat al-Bukhari (3798)

Ibn Kathir berkata: Ungkapan ‘خَصَاصَةٌ’ ertinya adalah hajat dan keperluan. Maksudnya, mereka lebih mendahulukan orang-orang yang memerlukan daripada hajat dan keperluan diri mereka sendiri. Mereka memulakan untuk orang lain dahulu sebelum diri mereka sendiri.

Thabit di dalam hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “أفْضَلُ الصَّدقَةِ جَهْدُ المُقِلِّ” (Sebaik-baik sedekah adalah sedekah (hasil) jerih payah orang yang kekurangan). Darjat ini lebih tinggi daripada orang-orang yang bersedekah seperti yang Allah berfirman tentang mereka: “وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ” (Dan mereka memberikan makanan yang disukainya…). (Surah al-lnsan: 8) Juga firman-Nya: ‘وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ’ (dan seseorang memberikan harta yang dicintainya…) (Surah al-Baqarah: 177)

Orang-orang yang memberikan harta yang mereka cintai itu, maksudnya mereka bersedekah sedangkan mereka mencintai harta yang disedekahkan itu. Terkadang mereka tidak memerlukannya, serta tidak pula dalam keadaan darurat. Adapun orang-orang yang mendahulukan orang lain daripada diri mereka sendiri, maka mereka memberikan harta mereka kepada orang lain, sedangkan mereka sendiri memerlukannya. lni adalah darjat yang lebih tinggi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/71)

Menjawab persoalan di atas, benar sekali. Hal ini ini berdasarkan apa yang disebut dalam Sahih al-Bukhari dengan tajuknya ‘بَابُ التَّحْرِيضِ عَلَى الصَّدَقَةِ وَالشَّفَاعَةِ فِيهَا’ (Bab: Memberi Galakan Untuk Bersedekah dan Syafaat Padanya)

Kemudian beliau mengemukakan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عِيدٍ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلُ وَلاَ بَعْدُ، ثُمَّ مَالَ عَلَى النِّسَاءِ، وَمَعَهُ بِلاَلٌ فَوَعَظَهُنَّ، وَأَمَرَهُنَّ أَنْ يَتَصَدَّقْنَ»، فَجَعَلَتِ المَرْأَةُ تُلْقِي القُلْبَ وَالخُرْصَ

Maksudnya: Nabi SAW keluar pada hari raya, lalu mengerjakan solat dua rakaat. Baginda tidak mengerjakan solat sunat sebelumnya atau selepasnya. Kemudian Baginda berjalan ke arah golongan wanita bersama Bilal. Baginda menasihati dan memerintahkan mereka untuk bersedekah. Lalu mulailah seorang perempuan mencampakkan(menyerahkan) gelang dan anting-anting sebagai sedekah.”

Riwayat al-Bukhari (1431)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: Ibn al-Manayyar mengatakan, bahawa disebutkan “anjuran” dan “tidak berlebihan” dalam bersedekah, kerana keduanya memberikan rasa lapang dan tenteram bagi orang yang memerlukan(sedekah). Namun keduanya memiliki perbezaan, dimana “anjuran” itu bermakna memberi motivasi untuk bersedekah dengan cara menyebut pahala bagi pelakunya, sedangkan “pertengahan dan tidak berlebihan dalam bersedekah” mengandungi makna permohonan dan saling membantu dalam menunaikan pemberian. Keduanya juga berbeza dari sisi bahawa sikap pertengahan itu hanya dilakukan dalam kebaikan, berbeza dengan motivasi. (Lihat Fath al-Bari, 2/345)

Al-’Aini berkata: Perkataan ‘القُلْبَ’ dengan baris dhammah pada huruf qaf dan sukun pada lam, adalah merujuk kepada gelang. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 17/57)

Al-Qastalani berkata: Baginda mengarahkan mereka untuk bersedekah, mungkin kerana mereka adalah golongan yang paling ramai di kalangan penghuni neraka, atau mungkin juga kerana waktu itu adalah waktu yang memerlukan, dan tindakan memberi sedekah adalah cara terbaik untuk melakukan kebajikan pada masa itu. (Lihat Irsyad al-Sari, 2/151)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply