Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. bolehkah seorang isteri sedekah makanan di rumahnya yang masih elok dan bagaimana ganjaran pahalanya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”
Surah Saba’ (39)
Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413)
Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, setiap apa yang diinfakkan sama ada nafkah wajib atau sunat, kepada saudara, jiran, orang miskin, anak yatim atau selainnya, maka Allah akan menggantikannya. Oleh itu, janganlah kamu menganggap bahawasanya infak itu akan mengurangkan rezeki. Bahkan sebaliknya Allah SWT berjanji untuk menggantikannya buat orang yang memberi infak. Dialah yang meluaskan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga mampu untuk menyempitkannya. Demikianlah juga Dia sebaik-baik Pemberi rezeki. Justeru, mintalah rezeki daripada-Nya dan berusahalah dengan melakukan sebab-sebab dan jalan-jalan yang diperintahkan-Nya kepadamu — bagi memperolehinya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 581)
Selain itu, terdapat juga hadith yang menyebut berkenaan doa malaikat kepada orang yang pemurah dan suka bersedekah. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيْهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُوْلُ أَحَدُهُمَا: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا. وَيَقُوْلُ اْلآخَرُ: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: “Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian.” Manakala Malaikat satu lagi berkata: “Ya Allah! Jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.”
Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)
Imam Badruddin al-‘Aini menjelaskan bahawa padanya terdapat doa malaikat, sedangkan doa malaikat adalah sebuah doa yang akan selalu dimakbulkan berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang ucapan aminnya itu bertepatan dengan ucapan para malaikat, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Lihat Umdah al-Qari, 8/307)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا تَصَدَّقَتِ المَرْأَةُ مِنْ طَعَامِ زَوْجِهَا غَيْرَ مُفْسِدَةٍ كَانَ لَهَا أَجْرُهَا، وَلِزَوْجِهَا بِمَا كَسَبَ، وَلِلْخَازِنِ مِثْلُ ذَلِكَ
Maksudnya: “Apabila seorang isteri bersedekah daripada makanan atau harta suaminya tanpa membuat kerosakan (yakni dengan izin suami), maka bagi isteri itu pahalanya atas apa yang dia sedekahkan. Begitu juga, bagi suaminya pahala dengan sebab apa yang dia usahakan. Dan seperti itu juga bagi hamba yang menguruskan harta tuannya.”
Riwayat al-Bukhari (1437)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:
Ibn al-’Arabi berkata, “Berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama tentang isteri yang menyedekahkan sesuatu dari rumah suaminya. Sebahagian membolehkannya apabila yang disedekahkannya itu tidak banyak dan tidak memberi kesan terhadap hartanya. Sebahagian lagi memahami bahawa jika hal itu telah diizinkan oleh suaminya. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam al-Bukhari. Oleh sebab itu, beliau membataskan judul bab dengan lafaz ‘atas perintahnya’. Namun ada juga kemungkinan bahawa masalah ini berdasarkan kebiasaan yang dilakukan.”
Adapun batasan “tidak sampai membuat kerosakan” merupakan hal yang disepakati. Sebahagian ulama’ mengatakan, “Maksud sedekah isteri, budak dan khazin adalah memberi nafkah kepada orang yang berada dalam tanggungan pemilik harta tersebut untuk kemaslahatannya. Bukan bererti mereka boleh menyedekahkan harta pemilik rumah kepada orang miskin tanpa izinnya.”
Sebahagian lagi membezakan antara isteri dan khadam (hamba), mereka berkata, “Isteri memiliki hak terhadap harta suami dan dapat mengambil keputusan dalam rumahnya, maka dia boleh bersedekah dari harta di rumah suaminya. Berbeza dengan khadam yang tidak memiliki hak apa-apa dalam membelanjakan harta majikannya, maka disyaratkan adanya izin daripada majikan.” Akan tetapi pendapat ini dikritik dengan mengatakan apabila hak isteri telah dipenuhi, lalu dia bersedekah dari sebahagian hartanya, maka hal itu menjadi haknya secara mutlak. Sedangkan apabila dia bersedekah dari harta selain yang menjadi bahagiannya, maka hendaklah dengan izin suaminya. (Lihat Fath al-Bari, 3/302)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”