Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Selepas melakukan tawaf wada‘, saya telah melakukan solat sunat tawaf. Kesilapannya, saya telah melakukan solat hajat seterusnya. Setelah balik hotel saya telah menyedari kesilapan melakukan solat hajat. Saya telah pergi semula ke Masjidil Haram untuk tawaf wada‘ semula. Keadaan masa itu, penuh sesak dan pergerakan amat-amat perlahan. Saya tidak dapat meneruskan tawaf tersebut disebabkan kesuntukan masa. Pihak pengurusan minta jemaah balik segera ke hotel sebab masa bertolak pulang sudah tiba. Apakah status tawaf pertama saya adakah saya berdosa dan perlu bayar dam? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menyatakan bahawa tawaf wada‘ adalah amat dituntut bahkan ia disaran oleh Rasulullah SAW. Antaranya dapat dilihat melalui hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Makkah). Lalu Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya (di Makkah) al-Bait (Tawaf al-Wada‘).”
Riwayat Muslim (1327)
Imam al-Nawawi berkata, “Hadith ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan tawaf wada‘ dan apabila ditinggalkan maka wajib membayar dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/79)
Berkenaan hukum tawaf wada‘ bagi umrah, secara ringkasnya para ulama berbeza pendapat mengenainya kepada sekurang-kurangnya dua pendapat. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’, turut menyebutkan berkenaan perbezaan pendapat ini:
Pertama: Wajib. Inilah pendapat Ibn Abbas dan selainnya.
Kedua: Tidak wajib. Ini kerana sekiranya wajib, nescaya tidak diharuskan perempuan yang haid untuk meninggalkannya.
Al-Qadhi Abu al-Tayyib dan al-Bandaniji menyatakan hukumnya adalah sunat dan jika ditinggalkan tawaf wada‘, maka sunat juga membayar dam. Ini juga pendapat Imam al-Syafi‘i berdasarkan qaul qadim. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/253-254).
Bahkan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya bernombor 3318 pada tarikh 21 Ogos 2016 ketika ditanya berkenaan hukum tawaf wada‘, maka mereka menjawab: Para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum tawaf wada‘ kepada dua pendapat, pendapat pertama ialah ia diwajibkan dan ini merupakan pendapat para fuqaha’ daripada mazhab Hanafi, Hanbali, dan riwayat daripada Imam al-Syafi‘i. Pendapat kedua: Ia adalah disunatkan dan merupakan pendapat daripada Imam Malik, Dawud (al-Zahiri), Ibn al-Munzir, serta salah satu daripada dua pendapat al-Syafi‘i, dan juga apa yang difatwakan dalam Dar al-Ifta’al-Misriyyah bagi memudahkan jemaah haji dan mengangkat kesulitan bagi mereka.[1]
Berkenaan hukum tawaf wada‘ bagi umrah, kami tidak menafikan hal ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Bahkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan memilih pendapat yang mewajibkannya. Sekalipun begitu, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan ia adalah sunat dan bukannya wajib. Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1332: Hukum Tawaf Wada’ Ketika Umrah.[2]
Berbalik kepada soalan di atas, sebenarnya tawaf wada‘ yang dilakukan kali pertama itu sudah pun memadai dan tidak terbatal dengan hanya solat hajat yang dilakukan sejurus selepas selesai tawaf. Ini jelas sebagaimana resolusi yang dikeluarkan oleh Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi’ul Awwal 1440 Hijrah telah memutuskan berkenaan dengan Perkara-perkara Yang Diharuskan Selepas Tawaf Wada‘, iaitu:
Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada‘
- Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
- Berdoa di Multazam.
- Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
- Menunaikan solat sunat safar.
- Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
- Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
- Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.
Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)
- Makan dan minum di hotel.
- Qadha hajat.
- Menyalin dan menukar pakaian.
- Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
- Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
- Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
- Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
- Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
- Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
- Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
- Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
- Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
- Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada‘.
Seterusnya, berkenaan persoalan tuan iaitu “Saya tidak dapat meneruskan tawaf tersebut disebabkan kesuntukan masa,” kami mengandaikannya kepada dua keadaan. Keadaan pertama, sekiranya tuan tidak sempat pun memulakan tawaf, maka tawaf wada‘ kali pertama yang telah dilakukan itu sudah memadai dan tidak terbatal dengan hanya solat hajat yang dilakukan sejurus selepas tawaf.
Keadaan kedua, jika tuan sempat memulakan tawaf wada‘ sekalipun tidak sempat menyelesaikannya, maka tawaf wada‘ yang pertama dikira terbatal dan menjadi tawaf sunat. Begitu juga tidak dikira berdosa dan tidak diwajibkan membayar dam kerana tawaf wada‘ hanyalah disunatkan dan bukannya wajib (sebagaimana yang kami jelaskan sebelum ini). Apatah lagi, dia tidak sempat menyelesaikan tawaf wada‘ itu disebabkan kesuntukan masa untuk pulang ke tanah air, bukannya sengaja. Namun, disunatkan untuk membayar dam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar–alifta.org/ar/fatawa/12624/حكم–طواف–الوداع. Diakses pada 24 Julai 2024.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1328-hukum-tawaf-wada-ketika-umrah/. Diakses pada 24 Julai 2024.