#6525: Kelebihan Mereka Yang Syahid di Badar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah kelebihan mereka yang syahid dalam peperangan Badar?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu (pada ketika itu) lemah. Maka bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.

(Surah Ali ‘Imran: 123)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan: “Iaitu saat terjadi perang Badar yang bertepatan dengan hari Jumaat pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah. Hari itu disebut juga sebagaia Yaum al-furqan. Pada hari itu Allah SWT memuliakan Islam dan kaum Muslimin serta menghancurkan kesyirikan serta pendukungnya, sedangkan jumlah kaum Muslimin yang mengikut serta pada ketika itu sedikit…” Allah SWT memuliakan rasul-Nya dan memenangkan wahyu-Nya; Allah SWT menggembirakan wajah rasul-Nya serta pengikutnya; Allah SWT mengsengsarakan syaitan dan pengikutnya. Oleh sebab itu, Allah SWT mengingatkan bahawa Dia telah menolong kamu dalam peperangan Badar, ketika jumlah kamu sedikit, supaya mereka menyedari bahawa kemenangan itu semata-mata adalah anugerah daripada Allah SWT bukan disebabkan oleh kuantiti ataupun persiapan yang mantap. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/111).

Peperangan Badar

Peperangan dimulakan dengan beradu kekuatan tiga lawan tiga. Tiga orang pahlawan berkuda Quraisy ialah ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah dan al-Walid bin ‘Utbah. Manakala tiga pahlawan dari kalangan tentera Islam ialah ‘Ubaidah bin al-Harith, Hamzah dan ‘Ali. Akhirnya, ketiga-tiga pahlawan Islam tersebut berjaya mengatasi tiga orang musyrikin itu. Namun, Ubaidah telah mengalami cedera parah dalam pertempuran ini. Setelah itu, barulah peperangan secara besar-besarnya meletus.

Seramai 14 orang tentera Islam syahid terdiri daripada 6 dari kalangan Muhajirin dan 8 orang Ansar. Kira-kira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk ketua mereka yang paling tegar dalam kesyirikan, iaitu Abu Jahal. Turut terbunuh sebahagian pemimpin mereka. Yang ditawan pula seramai 70 orang. Kemenangan berpihak kepada orang Islam.

Setelah selesai peperangan Badar, Rasulullah SAW mengumpulkan mayat-mayat orang kafir dan meminta digali satu lubang besar dan dipanggil sebagai qalib. Kemudian sebelum dikambus, Rasulullah SAW berucap kepada mayat tersebut dengan menyatakan:

يا أَبا جَهْلِ بنَ هِشامٍ يا أُمَيَّةَ بنَ خَلَفٍ يا عُتْبَةَ بنَ رَبِيعَةَ يا شيبَةَ بنَ رَبِيعَةَ أَليسَ قدْ وَجَدْتُمْ ما وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فإنِّي قدْ وَجَدْتُ ما وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا

Maksudnya: “Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, bukankah kamu telah menemui kebenaran janji Rabb kamu? Sesungguhnya aku telah menemui kebenaran janji Rabbku yang dijanjikan padaku.”

Saidina Umar R.A yang mendengar ucapan Nabi SAW lalu berkata,

يا رَسولَ اللهِ، كيفَ يَسْمَعُوا وَأنّى يُجِيبُوا وَقَدْ جَيَّفُوا؟

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, bagaimana mereka dapat mendengar dan bagaimana mereka dapat menjawab.Lihatlah mereka telah menjadi bangkai.”

Nabi SAW bersabda:

والَّذِي نَفْسِي بيَدِهِ ما أَنْتُمْ بأَسْمع لِما أَقُولُ منهمْ، وَلَكِنَّهُمْ لا يَقْدِرُونَ أَنْ يُجِيبُوا

Maksudnya: ”Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak lebih mendengar ucapanku melebihi mereka. Hanya sahaja mereka tidak dapat menjawab.”

Riwayat Muslim (5121)

Untuk kisah lanjut, boleh merujuk dalam buku kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW (hlm.108).

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan bahawa mereka yang gugur syahid dalam peperangan Badar adalah mereka yang memiliki keistimewaan di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka dijanjikan Syurga Firdaus disebabkan pengorbanan mereka dalam menegakkan dan mempertahankan islam sehingga gugur di medan perang. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa beliau berkata:

أُصِيبَ حَارِثَةُ يَوْمَ بَدْرٍ وَهُوَ غُلاَمٌ، فَجَاءَتْ أُمُّهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَدْ عَرَفْتَ مَنْزِلَةَ حَارِثَةَ مِنِّي، فَإِنْ يَكُنْ فِي الجَنَّةِ أَصْبِرْ وَأَحْتَسِبْ، وَإِنْ تَكُ الأُخْرَى تَرَى مَا أَصْنَعُ، فَقَالَ: «وَيْحَكِ، أَوَهَبِلْتِ، أَوَجَنَّةٌ وَاحِدَةٌ هِيَ، إِنَّهَا جِنَانٌ كَثِيرَةٌ، وَإِنَّهُ فِي جَنَّةِ الفِرْدَوْس

Maksudnya: “Harithah meninggal dunia (syahid) ketika perang Badar ketika umurnya masih muda. Lalu ibunya datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, engkau telah mengetahui kedudukan Harithah di sisiku (yakni daku amat menyayanginya). Sekiranya dia berada di syurga, maka aku akan bersabar dan mengharapkan pahala daripada Allah semata-mata. Tetapi jika selain itu nescaya engkau akan lihat apa yang aku akan lakukan.” Baginda SAW bersabda: “Bertuahnya betul kamu ini! Adakah kamu sudah hilang akal? Adakah engkau kira syurga hanya ada satu sahaja? Sungguh, dia syurga-syurga itu banyak, dan sungguh dia berada di syurga Firdaus.”

Riwayat Bukhari (3982)

Hadith ini menunjukkan perkara berikut: Pertama: Keutamaan para syuhada dan pengumuman tentang mereka pada hari kiamat, di mana orang yang mati syahid akan dibangkitkan dengan lukanya yang mengalirkan darah, dan mengeluarkan bau wangi seolah-olah dia terbunuh pada saat itu. hikmahnya seperti yang dikatakan oleh al-Qasthalani adalah supaya terdapat saksi bahawa dia telah mengorbankan dirinya dalam ketaatan kepada Allah. Kedua: Mendorong para mujahid untuk ikhlas dalam niat dan menunjukkan tujuan hanya kepada Allah. (Lihat Manar al-Qari’ Syarh Mukhtasar Sahih Bukhari, 4/88)

Justeru berdasarkan hadith tersebut, jelas bahawa para syuhada’ Badar mendapat kedudukan yang sangat mulia di akhirat. Mereka dijanjikan Syurga Firdaus sebagai ganjaran atas pengorbanan besar mereka dalam mempertahankan dan menyebarkan Islam. Ini menunjukkan betapa tingginya nilai pengorbanan dan keberanian mereka di sisi Allah SWT. Benarlah apa yang  dijanjikan oleh allah kepada mereka sebagaimana firmannya:

 إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 111)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *