Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya dijaga oleh makcik saya belah bapak sejak lahir (anak angkat), dan saya tidak pernah disusukan badan oleh makcik. Saya akan melangsungkan perkahwinan akhir tahun ini. Bolehkah suami saya bersalaman dengan ibu angkat saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, oleh kerana persoalan di atas terkait juga dengan persoalan berkenaan susuan, maka kami mulakan jawapan kami dengan menjelaskan mengenainya di sini secara ringkas. Penyusuan atau dalam bahasa Arabnya dipanggil sebagai al-Rada‘ (الرّضَاع) adalah perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238). Manakala menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, al-Rada‘ ialah susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/119).

Pada asasnya, penyusuan yang memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan akan menyebabkan terjadinya hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمْ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنْ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini seperti mana anak yang dilahirkannya. Hal ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Saidina Hamzah R.A:

لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya:Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan saudara susuanku.”

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الوِلاَدَةُ

Maksudnya:Persusuan mengharamkan perkara yang diharamkan kerana nasab kelahiran.

Riwayat al-Bukhari (3105)

Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram muabbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/23).

Keduanya, Allah SWT telah menjelaskan wanita-wanita yang dikategorikan sebagai mahram, sama ada mahram selama-lamanya atau mahram secara sementara. Ini sebagaimana yang jelas disebutkan dalam firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا ٢٣ ۞ وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۖ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَـٰفِحِينَ ۚ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, emak-emak saudara kamu di sebelah bapa, emak-emak saudara kamu di sebelah ibu, anak-anak perempuan daripada adik-beradik lelaki dan anak-anak perempuan daripada adik-beradik perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusui kamu dan adik-beradik susuan kamu dan ibu kepada isteri kamu dan anak-anak tiri di bawah pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah bersetubuh dengan mereka, tetapi jika kamu belum lagi bersetubuh dengan mereka dan kamu telah menceraikan mereka maka tiada sebarang kesalahan kepada kamu untuk menikahi anak-anak tiri tersebut. Diharamkan juga kamu berkahwin dengan bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu dan diharamkan juga untuk kamu menghimpunkan dua beradik sebagai isteri kamu secara serentak kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (23) Dan diharamkan juga kamu berkahwin dengan perempuan yang bersuami, kecuali hamba perempuan yang kamu miliki melalui tawanan perang. Inilah ketetapan Allah ke atas kamu. Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan selain daripada mereka yang tersebut untuk kamu jadikan isteri dengan menggunakan harta kamu sebagai mas kahwin. Kamu jadikan mereka pasangan kamu dengan bernikah, bukan dengan berzina.”

(Surah al-Nisa’: 23-24)

Ayat di atas menyebutkan beberapa jenis mahram; sama ada mahram disebabkan nasab keturunan, atau disebabkan penyusuan, dan ada yang menjadi mahram disebabkan perkahwinan. Al-Qurtubi menyebut bahawa ayat ini adalah ayat yang muhkam dan ini adalah persepakatan yang tidak boleh disanggahi. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/98)

Bagi lelaki mahramnya yang bersifat al-ta’bid (التَّأْبِيدُ) boleh jadi disebabkan keturunan, perkahwinan,  dan susuan. Antaranya:

  • Ibu dan ke atas, termasuk nenek sama ada sebelah ayah atau ibu.
  • Anak perempuan dan ke bawah, termasuk cucu perempuan.
  • Saudara perempuan iaitu kakak atau adik perempuan.
  • Ibu saudara sebelah ayah dan ibu.
  • Anak perempuan kepada saudara lelaki dan perempuan.
  • Ibu tiri.
  • Menantu perempuan.
  • Ibu mentua.
  • Anak tiri perempuan.
  • Ibu susuan dan ke atas.
  • Adik beradik perempuan susuan.

Dan perempuan yang haram untuk dikahwini secara sementara adalah:

  • Adik beradik ipar, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan kakaknya.
  • Wanita yang masih bersuami.
  • Ibu saudara isteri dari sebelah ayah, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan si isteri.
  • Ibu saudara isteri dari sebelah ibu, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan si isteri.

Ini berdasarkan firman Allah SWT di atas, dan juga hadith Abu Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا

Maksudnya: “Tidak boleh untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama) antara seorang perempuan dengan ibu saudaranya (dari sebelah ayah) dan begitu juga dengan ibu saudaranya (dari sebelah ibu).”

Riwayat al-Nasa’ie (3288)

Oleh yang demikian, ibu mentua yakni ibu kepada isterinya termasuk dalam kalangan wanita yang haram dinikahinya selama-lamanya (mahram mu’abbad). Justeru, dibolehkan untuk suami bersalaman dengan ibu mentuanya, berdua-duaan mahupun bermusafir bersama.

Ketiganya, berbalik kepada soalan di atas, suami tidak boleh bersalaman dengan ibu angkat isterinya yang bukan ibu susuan kerana suaminya itu adalah lelaki ajnabi (asing) bagi ibu angkat isterinya dan tidak termasuk dalam mahram kepada ibu angkat isterinya itu kerana di antaranya dengan ibu angkat isterinya itu tidak ada apa-apa pertalian/hubungan kekeluargaan, termasuklah dari segi pertalian/hubungan susuan.

Sehubungan dengan itu, kami berpendapat bahawa tidak dibenarkan bagi suami untuk bersalaman dengan ibu angkat isterinya yang tiada sebarang pertalian susuan dengan isterinya kerana suami dengan ibu angkat isterinya itu tidak dikira sebagai mahram mu’abbad, bahkan kedua-duanya halal untuk berkahwin sesama mereka.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply