Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah yang memiliki kuda dikenakan zakat, begitu juga yang memiliki hamba?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini, apa yang disebut daripada kitab Sahih al-Bukhari, di mana Imam al-Bukhari telah menamakan satu tajuk dalam kitab Sahihnya, iaitu ‘بَابٌ: لَيْسَ عَلَى المُسْلِمِ فِي فَرَسِهِ صَدَقَةٌ’ (Bab: Seorang Muslim Tidak Wajib Mengeluarkan Zakat daripada Kudanya).

Kemudian beliau membawakan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ عَلَى المُسْلِمِ فِي فَرَسِهِ وَغُلاَمِهِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Seorang Muslim tidak diwajibkan membayar zakat pada kuda (tunggangannya) dan hambanya.”

Riwayat al-Bukhari (1463)

Seterusnya, Imam al-Bukhari juga menamakan satu tajuk dalam kitab Sahihnya, dengan: ‘بَابٌ: لَيْسَ عَلَى المُسْلِمِ فِي عَبْدِهِ صَدَقَةٌ’ (Bab: Tidak Diwajibkan ke atas Seorang Muslim Mengeluarkan Zakat Pada Hambanya).

Kemudian dibawakan satu hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ عَلَى المُسْلِمِ صَدَقَةٌ فِي عَبْدِهِ وَلاَ فِي فَرَسِهِ

Maksudnya: “Seorang muslim tidak berkewajiban mengeluarkan zakat daripada hambanya, dan tidak pula daripada kudanya (selain kuda perniagaan).”

Riwayat al-Bukhari (1464)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: ‘بَابٌ: لَيْسَ عَلَى المُسْلِمِ فِي فَرَسِهِ صَدَقَةٌ’ (Bab: Seorang Muslim Tidak Wajib Mengeluarkan Zakat daripada Kudanya). Imam al-Bukhari menyebutkan pada bab berikutnya, ‘بَابٌ: لَيْسَ عَلَى المُسْلِمِ فِي عَبْدِهِ صَدَقَةٌ’ (Bab: Tidak Diwajibkan ke atas Seorang Muslim Mengeluarkan Zakat Pada Hambanya). Lalu beliau menyebut hadis Abu Hurairah dengan lafaz yang sama seperti kedua judul bab melalui dua jalur periwayatan, hanya saja pada hadis pertama menggunakan lafaz “ghulaamihi” (غُلَامِهِ) sebagai ganti lafazh “abdihi” (عَبْدِهِ) yang terdapat pada hadis kedua.

Ibnu Rasyid berkata, “Maksud Imam al-Bukhari adalah menerangkan hukum jenis hamba dan kuda, kerana tidak ada perbezaan antara hamba yang memiliki hak untuk mengatur urusannya sendiri dan kuda yang dipakai untuk alat pengangkutan, yang tidak wajib dikeluarkan zakatnya. Selain itu, hamba itu juga tidak wajib dizakatkan, hanya saja sebahagian ulama Kufah mengatakan bahawa hamba itu wajib dikeluarkan zakatnya sesuai dengan perhitungan nilai (harga).”

Kemungkinan Imam al-Bukhari hendak mengisyaratkan hadis Ali, daripada Nabi SAW: ‘قَدْ عَفَوْت عَنْ الْخَيْلِ وَالرَّقِيقِ فَهَاتُوا صَدَقَة الرِّقَة’ (“Aku telah membebaskan kewajiban zakat kuda dan hamba, maka tunaikanlah zakat perak”). Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya dengan sanad yang hasan.

Kata al-Hafiz Ibn Hajar lagi:

 وَالْخِلَاف فِي ذَلِكَ عَنْ أَبِي حَنِيفَة إِذَا كَانَتْ الْخَيْل ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا نَظَرًا إِلَى النَّسْلِ، فَإِذَا اِنْفَرَدَتْ فَعَنْهُ رِوَايَتَانِ، ثُمَّ عِنْدَهُ أَنَّ الْمَالِكَ يَتَخَيَّرُ بَيْنَ أَنْ يُخْرِجَ عَنْ كُلِّ فَرَس دِينَارًا أَوْ يُقَوَّمَ وَيُخْرِجَ رُبْع الْعُشْرِ، وَاسْتَدَلَّ عَلَيْهِ بِهَذَا الْحَدِيثِ . وَأُجِيبَ بِحَمْلِ النَّفْيِ فِيهِ عَلَى الرَّقَبَةِ لَا عَلَى الْقِيمَةِ

Pendapat yang dinukil dari Abu Hanifah berbeza dengan pendapat di atas jika kuda tersebut terdiri dari kuda jantan dan betina dilihat dari keturunannya. Sedangkan jika kedua jenis tersebut terpisah, maka ada dua pendapat yang dinukil darinya. Menurutnya, pemilik harta boleh memilih antara mengeluarkan satu dirham sebagai zakat bagi setiap satu ekor kuda, atau diperhitungkan harga seluruh kuda kemudian dikeluarkan zakatnya sebesar 2.5 peratus. Namun pandangan Abu Hanifah dibantah berdasarkan hadis di atas. Tapi hujah ini dapat dijawab bahawa hadis tersebut hanya menafikan dikeluarkan zakat berupa hamba, bukan dalam bentuk harga.

 وَاسْتَدَلَّ بِهِ مَنْ قَالَ مِنْ أَهْلِ الظَّاهِر بِعَدَمِ وُجُوب الزَّكَاة فِيهِمَا مُطْلَقًا وَلَوْ كَانَا لِلتِّجَارَةِ ، وَأُجِيبُوا بِأَنَّ زَكَاةَ التِّجَارَةِ ثَابِتَة بِالْإِجْمَاعِ كَمَا نَقَلَهُ اِبْن الْمُنْذِر وَغَيْرُهُ فَيُخَصُّ بِهِ عُمُوم هَذَا الْحَدِيثِ . وَاللَّهُ أَعْلَمُ .

Hadis ini dijadikan juga sebagai dalil oleh mazhab al-Zahiri untuk menyatakan tidak wajib dikeluarkan zakat kuda dan hamba meskipun untuk diperdagangkan. Tetapi pendapat ini dijawab, bahawa zakat perdagangan telah ditetapkan berdasarkan ijma’ ulama seperti dinukilkan oleh Ibn al-Munzir dan selainnya. Maka, ijma’ ini telah membataskan keumuman hadis di atas. (Lihat Fath al-Bari, 5/78)

Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (5/311) menyebutkan, kaum Muslimin telah menyatakan ijma‘ (bersepakat) bahawa zakat diwajibkan pada unta, lembu dan kambing. Adapun kuda, baghal, keldai dan haiwan yang dilahirkan hasil kacukan silang antara kambing dan rusa, tidak diwajibkan zakat padanya. Hal ini adalah selagi mana ia tidak digunakan untuk perniagaan. Jika ia digunakan untuk perniagaan, maka diwajibkan zakat padanya.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ عَلَى الـمُسْلِمِ صَدَقَةٌ فِي عَبْدِهِ وَلاَ فِي فَرَسِهِ

Maksudnya: “Seorang Muslim tidak wajib mengeluarkan zakat daripada hambanya, dan tidak pula daripada kudanya (selain kuda perniagaan).

Riwayat al-Bukhari (1464) dan Muslim (982)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa zakat hanya wajib dikeluarkan daripada harta yang boleh dikembangkan atau disediakan untuk dikembangkan. Manakala harta-harta yang disediakan sebagai aset (property) atau untuk kegunaan tidak diwajibkan zakat padanya.

Syarak telah memberikan contoh harta-harta yang disediakan sebagai aset (property) yang tidak diwajibkan zakat, seperti hamba yang disediakan untuk memberi khidmat dan kuda yang disediakan untuk menunggang.

Ia menjadi dalil kepada prinsip zakat, dan bahawa zakat diwajibkan sebagai suatu bentuk untuk mendekatkan jurang/mengeratkan antara orang kaya dan miskin, dan bahawa zakat hanya diwajibkan pada harta yang boleh dikembangkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/311).

Bahkan  Imam al-Nawawi turut menyatakan, hadith ini adalah asal yang menunjukkan bahawa harta-harta yang disediakan sebagai aset (property) tidak diwajibkan zakat padanya. Begitu juga tidak diwajibkan zakat pada kuda dan hamba jika ia bukan disediakan untuk perniagaan. Ini adalah pendapat seluruh ulama dalam kalangan salaf dan khalaf, kecuali Abu Hanifah dan gurunya iaitu Hammad bin Abu Sulaiman dan Nafar mewajibkan zakat pada kuda. Namun, mereka tidak mempunyai hujah berkenaan hal tersebut dan hadith ini jelas menolak pendapat mereka itu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/55)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply