Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, berapakah jumlah mereka yang ditawan dan dibunuh dalam perang Badar ? Siapakah tokoh-tokoh yang terbunuh dan ditawan dari kalangan mereka? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”
(Surah Ali Imran: 123)
Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa dalam peperangan Badar tentera islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW berjaya mengalahkan kaum Quraisy dari Makkah. Tentera islam berjaya mengorbankan 140 orang kaum musyrikin iaitu 70 orang daripada mereka telah terbunuh manakala 70 lagi berjaya ditangkap dan menjadi tawanan. Yang demikian boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib bahawa beliau berkata:
جَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الرُّمَاةِ يَوْمَ أُحُدٍ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جُبَيْرٍ، فَأَصَابُوا مِنَّا سَبْعِينَ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابُهُ أَصَابُوا مِنَ المُشْرِكِينَ يَوْمَ بَدْرٍ أَرْبَعِينَ وَمِائَةً، سَبْعِينَ أَسِيرًا، وَسَبْعِينَ قَتِيلًا قَالَ أَبُو سُفْيَانَ: يَوْمٌ بِيَوْمِ بَدْرٍ وَالحَرْبُ سِجَالٌ
Maksudnya: “Nabi SAW melantik Abdullah bin Jubair sebagai pemimpin pasukan pemanah ketika perang Uhud, dan korban di pihak tentera Muslimin adalah seramai 70 orang. Sementara Nabi SAW dan para sahabatnya mengorbankan kaum musyrikin pada perang Badar seramai 140 orang; 70 orang menjadi tawanan dan 70 orang lagi terbunuh di medan perang. Abu Sufyan berkata: “Hari ini sebagai balasan perang Badar, dan perang itu sifatnya silih berganti (maksudnya ada hari kalah dan menang).”
Riwayat al-Bukhari(3986)
Al-Baghawi menyebutkam bahawa : Muslimin telah mengalahkan orang-orang musyrik pada hari Perang Badar sehingga mereka membunuh tujuh puluh orang dari mereka dan menawan tujuh puluh orang lagi. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 4/100)
Begitu juga disebutkan dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (4/100) bahawa: Yang masyhur adalah bahawa tawanan pada hari Perang Badar berjumlah tujuh puluh orang, dan orang-orang musyrik yang terbunuh juga berjumlah tujuh puluh orang.
Selain itu juga al-Hafiz Ibn Hajar al- ‘Asqalani menyatakan: Inilah kebenaran tentang jumlah yang terbunuh. Pandangan oleh al-Bara’ juga bertepatan dengan pandangan Ibn ‘Abbas dan yang lain-lain. (Lihat Subul al-Huda wa al-Rasyad fi Sirah Khair al- ‘Ibad, 4/76)
Adapun antara yang terbunuh dari kalangan mereka adalah sepertimana berikut:
- Uqbah bin Abu Mu‘it
- Al-Harith Bin ‘Amir dibunuh oleh Khubaib bin Isaf
- Tu ‘aimah bin ‘Adi dibunuh oleh Ali dan dikatakan juga oleh Hamzah
- al-Nadhar bin Harith
- Zam‘ah bin al-Aswad yang dibunuh oleh Thabit bin al-Jaz’ah, dan ada yang mengatakan Hamzah dan Ali turut serta dalam membunuhnya.
Manakala dari kalangan mereka yang ditawan oleh tentera islam adalah:
- Al-’Abbas bin Abd Muttalib ditawan oleh Abu al-Yusr Ka’ab bin Amr bin ‘Abbad bin
- Aqil bin Abi Talib bin Abdul Muttalib, yang ditawan oleh Ubaid bin Aus bin Malik al-Ausi
- al-Sa’ib bin Ubaid
- Nu’man bin Amr bin Alqamah
- ‘Amru bin Abu Sufyan bin Harb
- Uqbah bin Abd al-Harith bin al-Hadhrami. (Lihat Nihayah al-Arb fi Funun al-Adab, 17/44-52)
Sebagai kesimpulannya kami katakan, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai jumlah kaum musyrikin yang terbunuh dan ditawan dalam peristiwa Badar. Namun, pandangan yang masyhur dan sering dirujuk adalah seperti yang dinyatakan dalam hadith Bukhari, iaitu 70 orang yang terbunuh dan 70 orang yang ditawan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam.