Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah Jibril menyertai peperangan Badar? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ

Maksudnya: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.”

(Surah al-Anfal:9)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini belaiau menyatakan bahawa: ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu, apabila hampir bertemu musuh kamu, kamu telah meminta pertolongan kepada Tuhan kamu dan memohon agar Dia membantu dan memberikan kemenangan kepada kamu, lalu Dia mengabulkan doa kamu dan menolong kamu dengan beberapa perkara. Antaranya: Allah telah menambah bilangan kamu dengan seribu malaikat yang datang dengan berturut-turut iaitu  sebahagian datang dengan disusuli oleh yang lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.316)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa  satu faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan tentera Islam dalam perang Badar ketika berhadapan dengan kaum musyrikin adalah kerana mereka mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Disebabkan doa dan tawakal kaum muslimin ketika itu Allah memakbulkan doa mereka dengan menghantar malaikat untuk membantu mereka dalam menghadapi musuh di medan perang.

Dinyatakan juga dalam hadith Bukhari bahawa Malaikat Jibril turut serta membantu tentera-tentera islam dalam perang Badar sehinggalah mereka beroleh kemenangan. Hal ini senagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn  ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari peperangan Badar:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَوْمَ بَدْرٍ: هَذَا جِبْرِيلُ، آخِذٌ بِرَأْسِ فَرَسِهِ، عَلَيْهِ أَدَاةُ الحَرْب

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda pada perang Badar: “Ini Jibril, dia sedang memegang kepala kudanya (yakni memegang tali kuda), dia memakai pakaian perang.”

Riwayat al-Bukhari (3995)

Hadith ini menunjukkan bahawa: Rasulullah SAW menunjukkan kepada seseorang pada hari Badar dan menarik perhatian para sahabat kepadanya, lalu beliau berkata: “Orang yang kalian lihat dengan mata kalian ini adalah Jibril, dan dia sedang memegang kepala kudanya atau kukunya, atau kekangnya, dalam keadaan bersenjata lengkap untuk berperang. (Lihat Manar al-Qari’ Syarh Mukhtasar Sahih Bukhari, 4/324)

Selain itu juga al-Baghawi menyatakan bahawa: Terdapat riwayat menyebut bahawa Jibril turun dengan lima ratus malaikat dan Mikail dengan lima ratus malaikat lagi dalam bentuk lelaki yang menunggang kuda putih. Mereka mengenakan pakaian putih dan di kepala mereka ada serban putih, yang dibiarkan jatuh hingga ke bahu mereka. (Lihat Ma ‘alim al-Tanzil, 3/332)

Justeru berdasarkan hadith dan perbincangan yang dibawakan di atas, jelaslah kepada kita bahawa antara malaikat yang dihantar oleh Allah SWT yang turut serta membantu melawan musuh-musuh Allah dalam peperangan Badar adalah Malaikat Jibril A.S  yang berupa bentuk seorang lelaki berkuda dan ia disaksikan sendiri oleh para sahabat pada ketika itu.

Selain itu juga, peristiwa ini mengajarkan kita bahawa pertolongan Allah SWT datang dalam pelbagai bentuk dan pada saat-saat yang paling kritikal. Ia juga mengingatkan kita untuk sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT dalam setiap keadaan, kerana hanya dengan izin-Nya kita dapat mencapai kejayaan dan keselamatan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam.

Leave a Reply