Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Allah SWT mengharamkan arak dan judi hanya untuk orang Islam sahaja atau larangan ini termasuk untuk orang bukan Islam? Bagaimana pula kita menyokong pemimpin yang membenarkan arak dan judi, adakah turut berdosa?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Imam al-Tabari menjelaskan, Allah SWT mengkhabarkan tentang apa yang telah Dia haramkan ke atas umat manusia. Sekiranya mereka menghalalkannya dan melanggar larangan tersebut, maka mereka akan termasuk dalam golongan yang melampaui batas dalam ketentuan-Nya. Lalu Allah berfirman: Wahai sekalian manusia yang mempercayai Allah SWT dan Rasul-Nya, sesungguhnya arak yang kalian minum itu, perjudian yang kalian bermudah-mudahan dengannya itu, pemujaan berhala dengan menyembelih binatang itu, serta menilik nasib yang kalian bersumpah dengannya, kesemua ini adalah suatu dosa dan busuk yang tidak disukai juga dibenci oleh Allah SWT. Maka tinggalkanlah perkara-perkara ini, tolaklah ia dan janganlah kalian melakukannya agar kalian semua berjaya dan mencapai kejayaan di sisi Allah SWT dengan meninggalkan hal-hal berikut. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 10/564)

Berdasarkan dalil ini, jelas sekali bahawa arak dan perjudian itu adalah perkara yang diharamkan oleh syara‘. Akan tetapi, timbul pula persoalan sama ada larangan-larangan seperti ini hanya khusus buat umat Islam kerana Allah SWT sebutkan: “Wahai orang-orang yang beriman,” atau larangan ini turut merangkumi masyarakat bukan Islam?

Perbahasan ini mempunyai perselisihan pendapat dalam kalangan ilmuwan Usul al-Fiqh, sama ada segala perintah Allah SWT turut ditujukan kepada orang bukan Islam atau tidak. Imam al-Haramain al-Juwaini sendiri mempunyai dua pendapat yang dalam isu ini, apabila beliau di dalam matan al-Waraqat secara zahirnya memasukkan golongan bukan Islam dalam kalangan mukallaf, sebagaimana yang disebutkan dalam syair Imam al-‘Amriti:

……………………. وَالْكَافِرُونَ فِي الْخِطَابِ دَخَلُوا

لِسَائِرِ الْفُرُوعِ لِلشَّرِيعَةْ وَفِي الَّذِي بِدُونِهِ مَمْنُوعَةْ

وَذَلِكَ الْإِسْلَامُ فَالْفُرُوعُ تَصْحِيحُهَا بِدُونِهِ مَمْنُوعُ

“……………………………………………..,

Dan golongan kafir termasuk dalam perintah Allah

dalam setiap masalah furu‘ syari‘ah,

dan dalam setiap hukum-hakam yang mana dilarang tanpanya

iaitu Islam. Maka masalah furu‘ ini,

Tidak sah hukumnya tanpa memeluk Islam.”

Menurut Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan, masalah furu‘ ini merujuk kepada hukum-hakam yang terkait dengan amal ibadah seperti perintah untuk mendirikan solat atau menunaikan zakat, begitu juga larangan seperti pengharaman zina dan minum arak. Pandangan yang memasukkan orang bukan Islam dalam kalangan mukallaf ini pada hakikatnya lebih kuat, kerana ia disokong oleh hujah al-Quran. Antaranya adalah firman Allah SWT:

مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ (٤٢) قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ (٤٣) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ ٱلْمِسْكِينَ (٤٤) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ ٱلْخَآئِضِينَ (٤٥) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ ٱلدِّينِ (٤٦) حَتَّىٰٓ أَتَىٰنَا ٱلْيَقِينُ (٤٧)

Maksudnya: “Apakah yang menyebabkan kamu dihumban ke dalam Neraka Saqar? (42) Mereka berkata: ‘Dahulu kami bukan dalam kalangan mereka yang menunaikan solat. (43) Kami juga tidak memberi makan kepada fakir miskin. (44) Kami sentiasa membicarakan kebatilan bersama-sama dengan orang-orang yang batil. (45) Kami pula mendustakan hari pembalasan ini. (46) Sehinggalah maut menjemput kami.’ (47)”

(Surah al-Muddatthir: 42-47)

Meskipun orang bukan Islam ini termasuk dalam segala perintah ke atas mukallaf, amal ibadah yang mereka dirikan itu tetap tidak selama mana mereka kekal dalam kekufuran. Allah SWT jelaskan di dalam firman-Nya:

وَمَا مَنَعَهُمْ أَن تُقْبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَاتُهُمْ إِلَّا أَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan Rasul-Nya”

(Surah al-Taubah: 54)

Keimanan itu merupakan syarat sah suatu ibadah itu, dan tidak ada sebarang kontradiksi antara isu syarat sah ini dengan isu merangkumkan orang-orang bukan Islam dalam kalangan mukallaf yang ditetapkan ke atas mereka perintah Allah SWT. (Lihat Syarh al-Waraqat fi Usul al-Fiqh, hlm. 81-82)

Kemudian, Imam al-Haramain al-Juwaini mengeluarkan pula orang bukan Islam dari kalangan mukallaf dalam kitabnya al-Burhan fi Usul al-Fiqh (1/18) kerana itu merupakan suatu perkara yang mustahil. Mustahil untuk memerintahkan orang bukan Islam untuk mengerjakan hukum-hakam furu‘ dengan meletakkan keislaman sebagai syarat sah ibadah. Keraguan dalam memasukkan orang bukan Islam sebagai mukallaf ini dijawab semula oleh ilmuwan selepas beliau. Imam ‘Ali bin Isma‘il al-Abyari ketika mensyarahkan kalam Imam al-Haramain al-Juwaini berkata, pandangan Imam al-Juwaini ini benar dari satu sudut, iaitu mustahil untuk kita katakan ibadah mereka itu sah meskipun dalam keadaan kufur, atau menjadikan kekufuran mereka itu sebagai syarat wajib untuk melakukan amal ibadah. Adapun perintah untuk solat ke atas orang bukan Islam, sedangkan mereka dalam keadaan kufur, ini bukanlah satu perkara yang mustahil. (Lihat al-Tahqiq wa al-Bayan fi Syarh al-Burhan, 1/367)

Imam Jalaluddin al-Mahalli menyebutkan, faedah merangkumkan orang bukan Islam dalam kalangan mukallaf berkenaan hukum halal dan haram, iaitu sebagai balasan kepada mereka. Selama mana mereka kekal untuk tidak memeluk Islam, maka selama itu juga amal ibadah yang dilakukan mereka tidak dikira sah. Akan tetapi, setiap perkara dosa atau kesalahan tidak akan diambil kira selepas mereka memeluk agama Islam; sebagai galakan buat mereka. (Lihat Syarh al-Waraqat oleh Jalaluddin al-Mahalli, hlm. 74)

Firman Allah SWT:

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِن يَنتَهُوا۟ يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا۟ فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ ٱلْأَوَّلِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.”

(Surah al-Anfal: 38)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan yang kami bawakan di atas, kami mengatakan bahawa orang bukan Islam turut sama turut diharamkan untuk meminum arak dan bermain judi; kerana mereka dikategorikan sebagai mukallaf yang ditetapkan ke atas mereka hukum-hakam syara‘. Pengharaman arak dan judi ini bukanlah dikhususkan buat umat Islam sahaja, sebaliknya orang bukan Islam juga wajib mematuhi perintah tersebut.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami terangkan kepada saudara berkenaan permasalahan ini. Semoga Allah SWT memelihara negara kita dari dua musuh utama bangsa manusia ini, yang pastinya boleh membawa kepada kebinasaan dan perpecahan dalam masyarakat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply