Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca mengenai sejenis burung yang dikenali sebagai burung galapagos yang merupakan penghisap darah. Kemudian, timbul soalan. Adakah burung ini halal atau haram dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas berkenaan burung galapagos ini dahulu. Sebenarnya, burung galapagos ini merupakan salah satu burung yang terdapat di Kepulauan Galapagos itu. Ini kerana  Kepulauan Galapagos terkenal sebagai rumah bagi banyak makhluk yang pelik dan luar biasa. Salah satu haiwan yang paling menarik adalah burung finch vampire (Geospiza difficilis septentrionalis). Burung yang luar biasa ini adalah subspesies daripada burung finch tanah berparuh tajam yang hidup di Pulau Darwin dan Pulau Wolf, dan mempunyai beberapa perbezaan tingkah laku yang ketara daripada burung finch tanah berparuh tajam yang lain.

undefined

Gambar di atas: Burung finch vampire (Vampire Ground Finch) sedang memakan biji benih. (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Vampire_ground_finch#/media/File:Vampire_finch_(4229090408).jpg)

Burung ini mendapat nama biasa daripada dietnya yang luar biasa. Kadang-kadang, ia meminum darah burung Nazca atau burung booby berkaki biru. Biasanya, burung finch tanah berparuh tajam makan biji benih dan serangga, tetapi bekalan makanan ini sering kali berkurangan di Pulau Darwin dan Pulau Wolf. Burung finch vampire mengembangkan tingkah laku yang luar biasa ini untuk menambah dietnya.

Burung finch vampire menggunakan paruh tajamnya untuk mematuk bulu dan kulit burung booby sehingga darah keluar, dan meminum darah yang berkhasiat untuk memperkayakan dietnya apabila biji benih dan serangga berkurangan. Anehnya, burung booby tidak kisah burung finch vampire meminum darah mereka. Dipercayai bahawa tingkah laku ini berkembang daripada burung finch vampire yang memetik parasit dari bulu burung booby.

Vampire Finch

Gambar di atas: Burung finch vampire (Vampire Ground Finch) sedang menghisap darah dari burung lain. (Sumber gambar: https://www.galapagosislands.com/nature/wildlife/birds/vampire-finch.html)

Sepanjang zaman, burung finch kadang-kadang mengeluarkan darah ketika mengeluarkan serangga dari burung booby. Mengeluarkan parasit memberikan manfaat kepada kedua-dua burung finch dan burung booby. Burung finch mendapat makanan yang berkhasiat, dan burung booby terhindar daripada perosak di bulunya. Apabila burung finch mengeluarkan darah, mereka menyesuaikan diri untuk mendapatkan suplemen diet ini.

Burung ini mempunyai dimorfisme seksual. Jantan berwarna hitam manakala betina berwarna kelabu dengan corak jalur coklat. Sebagai penyesuaian kepada cara hidupnya yang unik, burung finch vampire telah berkembang dengan paruh yang terbesar dan paling tajam di antara semua subspesies burung finch tanah berparuh tajam.[1]

Memakan burung galapagos

Dalam menjawab persoalan di atas, burung galapagos termasuk dalam jenis haiwan yang tidak disebutkan secara jelas dalam al-Quran mahupun sunnah berkenaan kehalalan mahupun keharamannya. Di sana terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Bahkan al-Mawardi dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir ada menjelaskan berkenaan tiga kelompok haiwan yang terkait dengan hukum halal dan haram, di mana beliau menyatakan, adapun binatang darat ada dua jenis: Jenis yang melata (hidup di tanah) dan jenis yang terbang. Perbahasan dalam bab ini mencakupi binatang halal dan haram yang terbahagi menjadi tiga bahagian. Pertama, binatang yang ketentuan halalnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran atau sunnah (hadith). Kedua, binatang yang ketentuan haramnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran  atau sunnah (hadith). Ketiga, binatang yang ketentuan halal atau haramnya tidak ditentukan oleh nas al-Quran atau sunnah. Dalam hal ini, dua ayat (iaitu ayat 4 surah al-Ma’idah dan ayat 157 surah al-A‘raf) dan hadith Nabi SAW boleh dijadikan sebagai dasar/kayu ukur  dalam menentukan kehalalan atau keharamannya.

Adapun ayat yang dimaksudkan adalah firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah al-Ma’idah: 4)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa dijadikan yang baik-baik itu sebagai halal.

Manakala ayat kedua pula adalah firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa apa yang baik-baik itu dijadikan sebagai halal, manakala apa yang buruk itu dijadikan sebagai haram. Ayat ini lebih umum daripada ayat yang pertama kerana ayat pertama hanya khusus pada penghalalan yang baik-baik, sedangkan ayat ini merangkumi penghalalan yang baik-baik dan pengharaman yang buruk-buruk. Maka Dia menjadikan yang baik itu halal dan yang buruk itu haram. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/132).

Justeru, dapat difahami bahawa standard kehalalan sesuatu makanan atau minuman itu bergantung kepada sama ada ia tayyibat (benda yang baik-baik) ataupun tidak, begitu juga sebaliknya di mana makanan atau minuman itu dikira sebagai haram disebabkan oleh khaba’ith (benda yang buruk).

Demikianlah juga Imam al-Haramain al-Juwaini turut menyebutkan, di antara usul (atau asas) yang dapat dijadikan sebagai rujukan dalam soal penghalalan dan pengharaman sesuatu ialah apa yang dianggap baik dan dianggap buruk. Imam al-Syafi‘i telah menjadikannya sebagai dasar utama dan menetapkannya berdasarkan dengan firman Allah SWT (dalam surah al-Ma’idah ayat 4 yang bermaksud): “Katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’” (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 18/210)

Malah, al-Suyuti juga ada menjelaskan berkenaan haiwan yang susah untuk ditentukan statusnya; sama ada ia halal atau haram sebagaimana beliau nyatakan bahawa haiwan yang susah untuk diketahui berkenaan kehalalan atau keharamannya, ada dua pendapat. Pendapat yang kuat di antara dua pendapat itu adalah halal hukumnya seperti mana dikatakan oleh al-Rafi‘i. Manakala al-Mutawalli pula berpendapat, haiwan seperti itu adalah haram untuk dimakan. Namun, Imam al-Nawawi menyelisihi pendapat ini dengan menyatakan, pendapat yang lebih dekat (dengan kebenaran) dan selari dengan pendapat Imam al-Syafi‘i adalah halal. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 60).

Oleh yang demikian, burung galapagos sebagaimana yang kami nyatakan sebelum ini tidak terdapat nas syarak yang jelas mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Apatah lagi ia juga bukanlah burung yang memiliki kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu haiwan sebagai makanan, sebaliknya dietnya yang asal hanyalah biji bening dan serangga..

Larangan untuk memakan burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam (yang digunakan untuk memburu) adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

Namun, burung galapagos ini kemudiannya mengalami perubahan di mana burung ini beralih kepada menghisap darah sebagai sumber nutrisi tambahan. Perubahan ini terjadi disebabkan oleh kekurangan sumber makanan dan air bersih di habitat mereka. Ini menunjukkan kepada fleksibiliti dalam dietnya untuk bertahan hidup.

Sehubungan dengan itu, kami melihat ia berkait rapat dengan perbincangan ulama berkenaan haiwan jallalah kerana darah dihukumkan sebagai najis. Ibn Manzur, Abu Daud dan pengarang Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ mendefinisikan haiwan jallalah sebagai haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya, yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336). Manakala di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, haiwan jallalah didefinisikan sebagai haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/260). Sebahagian ulama yang lain pula menyebut bahawa haiwan jallalah ialah haiwan yang makan tahi dan najis, tidak kira haiwan tersebut adalah unta, lembu, kambing, ayam, angsa atau lain-lain. (Lihat Raudah al-Talibin, 3/278; Nail al-Autar, 8/139-140; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558).

Manakala berkenaan hukum haiwan jallalah pula, secara ringkasnya, kami berpendapat bahawa hukum memakan daging haiwan jallalah adalah makruh dan bukannya haram kerana ia adalah perkara yang mendatang (bukan kekal pada zat), yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Namun, jika haiwan itu dikuarantin terlebih dahulu dan diberi makanan bersih, maka hukumnya kembali kepada harus (tidak makruh). Penjelasan lanjut mengenainya bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #506 Memakan Ikan Keli yang Dipancing dari Kolam Najis.[2]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat burung galapagos atau vampire ground finch adalah halal dan harus dimakan selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan hukum sebaliknya, serta tidak memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Ini kerana pada asalnya, ia bukanlah burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam (yang digunakan untuk memburu), yang mana syarak melarang daripada memakannya. Begitu juga ia  merupakan burung yang hanya memakan biji benih dan serangga, dan bukannya penghisap darah sejak awalnya. Akan tetapi perubahannya itu terjadi disebabkan oleh kekurangan sumber makanan di habitatnya menjadikan mereka terpaksa berubah/beralih kepada diet yang lain untuk bertahan hidup. Oleh yang demikian, meskipun kami berpendapat ia diharuskan untuk dimakan, tetapi hukumnya adalah makruh (sebagaimana haiwan jallalah yang lain), jika pemakanannya yang berunsur darah itu menjejaskan atau memberi kesan kepada dagingnya.

Walaupun begitu, kita juga amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia dan lain-lain, adakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk mendapatkan dan memakan burung tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung: 

[1] Lihat https://www.galapagosislands.com/nature/wildlife/birds/vampire-finch.html. Diakses pada 25 Julai 2024.

[2] Lihat Lihat https://maktabahalbakri.com/506-memakan-ikan-keli-yang-dipancing-dari-kolam-najis/. Diakses pada 29 Ogos 2023.

Leave a Reply