Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah yang terjadi kepada tangan Talhah ketika Peperangan Uhud? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”
(Surah al-Taubah: 111)
Al-Nasafi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah menggambarkan ganjaran mereka dengan syurga atas pengorbanan diri dan harta mereka di jalan-Nya sebagai suatu pembelian. Diriwayatkan: Allah berdagang dengan mereka dan menaikkan harga bagi mereka. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Takwil, 1/172 )
Saidina Talhah bin ‘Ubaidullah R.A
Beliau ialah Abu Muhammad Talhah bin ‘Ubaidullah bin Uthman bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al-Nadhr bin Kinanah al-Qurasyi al-Taimi al-Makki. Talhah bin ‘Ubaidullah memeluk Islam melalui Abu Bakar R.A. Menurut satu riwayat, Talhah sedang berada di Syam apabila seorang Pendeta (Rahib) memberitahu kepadanya tentang kedatangan seorang Nabi bernama Ahmad putera ‘Abd al-Muttalib. Setelah kembali ke Makkah, beliau memeluk Islam.
Beliau termasuk salah seorang yang mengikuti Perang Uhud dan menderita luka parah yang luar biasa. Beliau menjadikan dirinya sebagai perisai bagi melindungi dan mempertahankan Baginda SAW dalam peperangan tersebut.
Beliau juga antara 10 orang yang dijanjikan Syurga sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
عَشَرَةٌ فِي الْجَنَّةِ: أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ، وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعُثْمَانُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَلِيٌّ فِي الْجَنَّةِ، وَطَلْحَةُ فِي الْجَنَّةِ، وَالزُّبَيْرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعِيدُ بْنُ زَيْدِ فِي الْجَنَّةِ، وَأَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Sepuluh orang di syurga: Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Talhah di syurga, al-Zubair di syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di syurga, Sa‘ad bin Abu Waqqas di syurga, Sa‘id bin Zaid di syurga dan Abu ‘Ubaidah bin “al-Jarrah di syurga.”
Riwayat al-Tirmizi (3747); Ahmad (1/193); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (5/56) dan Ibn Hibban (7002). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Sahih Ibn Hibban menilai sanadnya sebagai sahih mengikut syarat Muslim.
Imam al-Nawawi menyebut bahawa memang sabit bahawa Nabi SAW memberi jaminan syurga kepada sepuluh orang sahabat. Namun begitu, sabit juga dalam hadith bahawa Nabi SAW turut memberi jaminan syurga kepada sahabat yang lain seperti cucu Baginda, Hasan dan Husain yang mana mereka merupakan penghulu para pemuda di syurga. Begitu juga dengan ‘Ukkasyah, Thabit bin Qais dan para sahabat yang lain.” (Lihat al-Minhaj Al-Muhaddithin, 8/248).
Syeikh Mahmud al-Misri dalam Ashab al-Rasul SAW (1/395-397) menyebut: Ketika perang Jamal, Talhah dan al-Zubair pada awalnya berada dalam pasukan Mu‘awiyah. Namun kemudian, keduanya berundur daripada peperangan tersebut. Hal itu ketika mereka berdua melihat ‘Ammar berperang di barisan Ali, maka keduanya teringat sabda Nabi SAW untuk ‘Ammar:
تَقتُلُكَ الفِئةُ الباغيةُ
Maksudnya: “Engkau akan dibunuh oleh kelompok pembangkang.”
Riwayat Muslim (2915) dan Ahmad (3/5)
Maka keduanya mengambil keputusan untuk berundur dan dan tidak ikut terlibat di dalam peperangan tersebut. Ketika itulah keduanya terbunuh. Al-Zubair diekori oleh seorang lelaki yang bernama ‘Amr bin Jurmuz, lalu dia membunuhnya dengan cara yang licik. Manakala Talhah pula, ada yang mengatakan bahawa dia terkena panah misteri yang tidak diketahui pemanahnya. Ada yang berkata, yang memanahnya ialah Marwan bin al-Hakam. Hal ini kerana terdapat riwayat daripada Qais, dia berkata: “Aku melihat Marwan bin al-Hakam melepaskan anak panah terhadap Talhah pada hari itu. Anak panah itu mengenai lututnya. Darah terus memancut keluar sehingga Talhah menemui kematian.”[1]
Begitu juga riwayat daripada Abu Sabrah, dia berkata, “Ketika Perang Jamal, Marwan bin al-Hakam melihat Talhah dan dia berkata, ‘Aku tidak membalas dendamku setelah hari ini.’ Lalu dia melepaskan anak panahnya kepadanya dan dia membunuhnya.”[2]
Imam al-Zahabi berkata: “Pembunuh Talhah memikul dosa yang sama dengan dosa pembunuh Ali.” Ali berkata: “Berikan khabar kepada pembunuh Talhah bahawa dia berhak atas neraka.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/35-37).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sahabat Rasulullah SAW Talhah bin Ubaidilah antara sahabat yang melindungi Baginda dari serangan musuh ketika Peperangan Uhud sehingga tangannya cedera dan lumpuh. Yang demikian adalah sebagaimana yang dikisahkan oleh Qais bahawa beliau berkata:
رَأَيْتُ يَدَ طَلْحَةَ شَلَّاءَ وَقَى بِهَا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ
Maksudnya: “Aku melihat tangan Talhah menjadi lumpuh kerana melindungi Nabi SAW pada perang Uhud.”
Riwayat al-Bukhari (4063)
Beliau menjadikan tangannya sebagai pelindung kepada Baginda pada hari itu sehingga tangannya menerima tusukan. Beliau mengalami 24 kecederaan pada hari Uhud. Dikatakan terdapat 75 antara tikaman, pukulan, dan lontaran. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 9/948)
Justeru, Talhah bin Ubaidillah merupakan seorang sahabat yang menunjukkan keberanian yang amat luar biasa dalam melindungi Rasulullah SAW semasa Perang Uhud. Kisah beliau yang melindungi Nabi sehingga tangannya menjadi lumpuh adalah bukti jelas kesetiaan dan kasih sayang beliau kepada Rasulullah SAW dan Islam. Dengan itu, beliau adalah antara mereka yang dijanjikan Syurga di akhirat kelak.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam
Nota Hujung:
[1] Kisah ini juga disebut dalam al-Isabah (5/235) oleh Ibn Hajar dan berkata, sanadnya sahih.
[2] Disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah (5/235) dan beliau berkata, sanadnya sahih.