Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada jiran cina, ayahnya memberikan saya cerek air steel terpakai pada saya. Persoalannya, adakah saya boleh menggunakan cerek tersebut walaupun saya mengetahui jiran saya ada makan daging babi di rumahnya? Adakah cerek itu perlu disamak atau sebaliknya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada dua perbahasan. Pertamanya, daging babi dan seluruh bahagian-bahagiannya adalah haram dimakan. Pengharaman daging babi adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Keduanya, kita tidak boleh menggunakan apa-apa bekas yang telah digunakan untuk memasak bahan-bahan bernajis di dalamnya — seperti daging yang tidak disembelih mengikut syarak, arak dan seumpamanya — melainkan setelah dibersihkan bekas itu terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada riwayat Abu Tha‘labah al-Khusyani bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا

Maksudnya:Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang engkau sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya engkau mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah engkau makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut.’

Riwayat al-Bukhari (5478)

Para ulama menyebutkan, hadith ini dapat difahami bahawa bekas-bekas itu telah digunakan untuk memasak dan meminum bahan-bahan bernajis sebagaimana hal tersebut telah dinyatakan secara jelas dalam riwayat Abu Tha‘labah yang lain, katanya:

إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ، وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمْ الْخِنْزِيرَ، وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمْ الْخَمْرَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا، فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Maksudnya:Sesungguhnya kami telah berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan bekas-bekas minuman mereka. (Justeru, bolehkah kami menggunakan bekas-bekas itu)? Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika engkau dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah menggunakannya. Jika engkau tidak dapat selainnya, maka cucilah ia dengan air, kemudian makan dan minumlah (dengan menggunakannya).’

Riwayat Abu Daud (3839)

Al-Khattabi menyebutkan, hukum asal dalam perkara ini adalah jika diketahui bahawa orang bukan Islam itu memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan gelas-gelas mereka, maka tidak boleh menggunakan perkakas-perkakas itu melainkan setelah dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/257)

Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kenyataan al-Syirazi yang berpendapat makruh menggunakan bekas-bekas orang kafir dan pakaian-pakaian mereka sama ada mereka dalam kalangan Ahli Kitab atau selainnya, begitu juga sama ada mereka menggunakan najis dalam pengamalan agamanya atau selainnya adalah bermaksud jika tidak yakin atau pasti akan kebersihan bekas-bekas dan pakaian-pakaian itu. Hal ini kerana jika yakin dan pasti akan kebersihan perkakas-perkakas atau pakaian-pakaian mereka, maka ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa hukumnya tidak lagi makruh ketika itu untuk menggunakannya, sama seperti pakaian seorang Muslim. Di antara ulama yang menjelaskan hal ini ialah al-Mahamili dalam al-Majmu‘, al-Bandaniji, al-Jurjani dalam al-Bulghah, al-Baghawi, dua pemilik kitab al-‘Uddah dan al-Bayan dan selain mereka, dan kami tidak ketahui adanya perbezaan pendapat dalam masalah ini.

Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan lagi, apabila seseorang bersuci menggunakan bejana seorang kafir dan dia tidak tahu adakah bekas itu suci ataupun najis. Dalam hal ini, jika orang kafir itu daripada kalangan mereka yang tidak menggunakan najis dalam pengamalan agamanya, maka sah bersuci dengan bekas tersebut tanpa ada khilaf. Jika orang kafir itu daripada kalangan mereka yang menggunakan najis dalam pengamalan beragamanya, maka terdapat dua pendapat. Pendapat yang sahih dengan kesepakatan Ashab (ulama mazhab Syafi‘i) pada dua jalan bahawa sah bersucinya, dan ia merupakan nas Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm, Harmalah dan pendapat qadim. Inilah juga pendapat Ibn Abi Hurairah. Manakala pendapat yang kedua pula, tidak sah bersucinya, dan ini merupakan pendapat Abu Ishaq dan disahihkan — yakni dipilih — oleh al-Mutawalli. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/263-264.)

Tambahan lagi, pengarang al-Fiqh al-Manhaji ada menyebutkan bahawa perintah membasuh perkakas itu adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya. Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/37)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakan cerek besi pemberian orang bukan Islam itu kerana hukum asalnya adalah ia dikira suci dan bersih sehinggalah terdapat bukti atau dalil yang menunjukkan sebaliknya. Ini adalah berdasarkan kepada kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Apatah lagi, ini dikuatkan lagi menurut adat kebiasaan bahawa cerek hanya digunakan untuk memasak air dan bukannya apa-apa makanan basah. Cukuplah kita sekadar mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah ada menyebutkant:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّاهِرِ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya:Kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi.”(Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/324.)

Begitu juga, tidak diwajibkan untuk membasuh cerek tersebut, jika tidak kelihatan padanya tanda-tanda najis, sebaliknya hanya disunatkan untuk membasuhnya kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk bahan-bahan bernajis, dan sekali gus mematuhi saranan Nabi SAW sebagaimana hadith di atas.

Akan tetapi, jika jelas terdapat najis padanya atau bukti kuat yang menunjukkan perkara tersebut, maka hukumnya adalah wajib untuk membersihkan cerek/perkakas tersebut terlebih dahulu daripada najis berkenaan sebelum menggunakannya. Jika ia dalam kategori najis mutawassitah (sederhana), maka membersihkannya adalah dengan menggunakan air mutlak. Jika ia dalam kategori najis mughallazah (berat) pula, maka menurut mazhab al-Syafi‘i, hendaklah dibasuh tujuh kali dengan air mutlak serta salah satunya daripada basuhan air bercampur tanah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

Leave a Reply