Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya adakah benar amalan mengazankan bayi selepas dilahirkan tidak diamalkan oleh nabi kita, Nabi Muhammad SAW? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Dalam menjawab soalan di atas, diriwayatkan oleh Abu Rafi‘ R.A yang menceritakan bahawa:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيًّ حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ بِالصَّلَاةِ

Maksudnya: “Aku melihat bahawa Rasulullah SAW mengumandangkan azan seperti masuk waktu solat di telinga al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah R.Anha.”

Riwayat al-Tirmizi (1594) dan Abu Daud (5105)

Berkenaan azan di telinga bayi, para ulama berbeza pendapat tentang amalan ini. Perbezaan tersebut kami huraikan seperti berikut:

Mazhab Hanafi: Sunat

Disunatkan untuk mengumandangkan azan di telinga bayi di sisi muktamad mazhab Hanafi berdasarkan hadith di atas.

Imam Ibn ‘Abidin berkata: (Imam al-Haskafi berkata: Dan tidak disunatkan azan untuk selainnya) iaitu: selain waktu solat, namun azan juga disunatkan untuk dikumandangkan pada telinga bayi yang baru lahir termaktub di dalam kitab Hasyiah al-Bahr al-Ra’iq yang ditulis oleh Imam Khairuddin al-Ramli: “Mazhab al-Syafi‘iyyah menganjurkan azan pada beberapa tempat, antaranya adalah azan pada telinga bayi baru lahir. Aku (Khairuddin al-Ramli) katakan: Pendapat ini tidak menyimpang daripada pendapat mazhab kita (Hanafi).” (Lihat Radd al-Muhtar ‘ala Durr al-Mukhtar, 1/385)

Mazhab Maliki: Makruh

Imam Malik menghukumkan sebagai makruh amalan azan kepada bayi yang baru lahir. Hal ini kerana, Imam Malik tidak berpegang dengan hadith di atas. Ada ulama yang mendha‘ifkan hadith Abu Rafi‘ di atas seperti Imam Yahya bin Ma‘in, Imam Ibn Hibban dan Imam al-Juzjani. (Lihat al-Tahqiq fi Masa’il al-Rijal, 2/281)

Namun ada sebahagian ulama terkemudian (muta’akhkhirin) mazhab Maliki pula membenarkannya, seperti Imam ‘Abd al-Rahman bin ‘Affan al-Juzuli dan Imam Abu ‘Abdillah al-Hattab.

Imam al-Hattab menyatakan, Syeikh Abu Muhammad ibn Abi Zaid dalam kitab al-Jami‘ min Mukhtasar al-Mudawwanah menyebutkan, Imam Malik memakruhkan amalan azan di telinga bayi yang baru lahir. (Ibn Abi Zaid) juga berkata dalam kitab al-Nawadir selepas perbahasan akikah, pada permulaan bab khatan dan al-khifadh bahawa Imam Malik mengingkari amalan mengumandangkan azan di telinga bayi selepas dilahirkan. Manakala Imam ‘Abd al-Rahman al-Jazuli berkata: “Namun, sebahagian ahli ilmu menghukum mustahab (dianjurkan) bagi amalan mengumandangkan azan dan iqamah di telinga bayi. Aku (al-Hattab) berkata: “Masyarakat kita telah terbiasa mengamalkannya, aku tidak memandang amalan ini sebagai suatu masalah. (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, 1/434)

  • Mazhab al-Syafi‘i: Sunat

Disunatkan untuk mengumandangkan azan kepada telinga bayi yang baru lahir di sisi mazhab al-Syafi‘i berdalilkan hadith di atas.

Imam Ibn Qasim al-Ghazzi menyebutkan, disunatkan untuk mengumandangkan azan di telinga kanan bayi sejurus selepas dilahirkan, dan melafazkan iqamah di telinga kirinya. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, hal. 316)

Imam Zainuddin al-Malibari pula mengatakan: “Disunatkan untuk mengumandangkan azan di beberapa tempat selain ketika masuk waktu solat, iaitu ketika:

  • Di telinga orang yang kemurungan
  • Di telinga orang yang dirasuk dan mengamuk
  • Di telinga orang yang terlalu marah
  • Di telinga orang atau haiwan yang buruk atau kasar perangainya
  • Ketika berlakunya api marak dan kebakaran
  • Ketika hantu atau syaitan menjelma di hadapan
  • Di belakang rombongan musafir ketika hendak pergi
  • Di telinga kanan bayi, dan iqamah di telinga kiri bayi.

(Lihat Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrah al-‘Ain, hal. 150)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Disunatkan azan di telinga bayi supaya kalimat pertama yang bayi itu dengari ketika lahir ke dunia adalah kalimat tauhid sepertimana dia bakal diingatkan tentang tauhid kelak ketika ditalqinkan semasa pengebumian jenazahnya kelak.” (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 2/234)

Imam Sulaiman al-Jamal berkata: “Sunat azan di telinga kanan bayi dan iqamah di telinga kiri bayi, walaupun dilakukan oleh wanita. Hal ini kerana, ini bukanlah azan untuk menandakan masuk waktu solat yang merupakan tugas lelaki, sebaliknya azan ini adalah semata-mata zikir dan mengambil berkatnya. Imam al-Syabramalisi menyatakan, disunatkan azan sekalipun bayi itu lahir dalam keluarga kafir. Tujuannya adalah supaya kalimat zikir kepada Allah menjadi kalimat yang pertama dia dengar dan mengelakkan dirinya daripada gangguan syaitan, dan supaya bayi daripada keluarga kafir tersebut akan kembali ingat fitrah tauhid tersebut suatu hari nanti lantas menjadi asbab dirinya masuk Islam kelak. (Lihat Futuhat al-Wahhab bi Taudhih Syarh Minhaj al-Tullab, 5/267).

  • Mazhab Hanbali: Sunat

Disunatkan untuk melaungkan azan di telinga kanan bayi dan iqamah di telinga kirinya, di sisi mazhab Hanbali berdalilkan hadith di atas.

Imam Mansur al-Buhuti berkata: “(Imam al-Hajjawi menyebutkan) disunatkan untuk melafazkan azan di telinga kanan bayi) sama ada bayi lelaki mahupun bayi perempuan (selepas dilahirkan dan) hendaklah (melafazkan iqamah di telinga kirinya).” (Lihat Kasysyaf al-Qina‘ ‘an Matn al-Iqna‘, 3/28).

Kesimpulannya

Secara kesimpulannya, bagi menjawab persoalan di atas, kami cenderung kepada pendapat majoriti mazhab iaitu mazhab Hanafi, al-Syafi‘i dan Hanbali yang menganjurkannya dan menghukum amalan ini sebagai sunat berdasarkan hadith di atas, yang mana hadith tersebut dinilai sebagai hasan sahih di sisi Imam al-Tirmizi.

Imam al-Tirmizi menilainya sedemikian meskipun zahir sanadnya ada dikritik oleh sebahagian ulama. Imam al-Tirmizi mengulas: “Hadith ini hasan sahih, dan para ulama (salaf) mengamalkan hadith ini.” (Lihat Jami‘ al-Tirmizi, 3/339)

Dalam masa yang sama, kami tidak mengingkari kewujudan pendapat mazhab yang memakruhkannya iaitu mazhab Maliki kerana enggan mengamalkan hadith tersebut atas dasar kritikan sebahagian ulama hadith.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, jadikanlah isteri-isteri kami dan anak-anak zuriat keturunan kamu sebagai penyejuk mata kami dan jadikanlah kami ini pemimpin dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply