Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah Saidina Uthman tidak menghadiri tiga peristiwa yang penting iaitu Perang Badar, Uhud dan Bai‘ah al-Ridhwan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Saidina Uthman bin ‘Affan R.A
Beliau ialah Abu ‘Amr dan Abu ‘Abdillah Uthman bin ‘Affan bin Abu al-‘As bin Umayyah bin ‘Abd Syams al-Qurasyi al-Umawi. Beliau merupakan khalifah ketiga daripada khulafa’ al-Rasyidin. Beliau termasuk dalam kalangan mereka yang terawal memeluk Islam. Beliau juga mendapat julukan Zu al-Nurain yang bermaksud pemilik dua cahaya. Hal ini kerana beliau berkahwin dengan dua orang puteri Rasulullah SAW, iaitu Ruqayyah dan Ummu Kulthum. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, Bhg. Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 149).
Selain itu, beliau juga terkenal sebagai seorang peniaga yang kaya dan pakar dalam bidang ekonomi namun sangat dermawan. Banyak bantuan ekonomi yang diberikan dalam membantu mengembangkan dakwah Islam. Antara kisah kedermawanan beliau dapat dilihat ketika berlakunya peperangan Tabuk. Dicatatkan bahawa Saidina Uthman bin ‘Affan telah menginfakkan sebanyak 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 512-513).
‘Abd al-Rahman bin Samurah R.A meriwayatkan bahawa Uthman bin ‘Affan datang kepada Nabi SAW menyerahkan seribu dinar yang dibawanya dalam saku bajunya, ketika Nabi SAW sedang mempersiapkan pasukan Perang Tabuk. Dia membukanya di pangkuan Nabi SAW. Aku melihat Nabi SAW membolak-balikkanya di pangkuannya, lalu Baginda bersabda:
مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ ، مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ
Maksudnya: “Tidak akan membahayakan Uthman apa yang dia lakukan setelah hari ini. Tidak akan membahayakan Uthman apa yang dia lakukan setelah hari ini.”
Riwayat al-Tirmizi (3701). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan dalam takhrij Zad al-Ma‘ad (3/461)
Begitu juga Huzaifah R.A pernah berkata: Uthman datang kepada Rasulullah SAW di mana ketika itu Baginda sedang mempersiapkan pasukan Tabuk. Uthman membawa sepuluh ribu dinar. Dia membentangkannya di hadapan Rasulullah SAW. Lalu Baginda membolak-balikkan dengan tangannya sambil bersabda:
غَفَرَ اللَّهُ لَكَ يَا عُثْمَانُ مَا قَدَّمْتَ وَمَا أَخَّرْتَ، وَمَا أَسْرَرْتَ وَمَا أَعْلَنْتَ، وَمَا أَخْفَيْتَ وَمَا أَبْدَيْتَ، وَمَا هُوَ كَائِنٌ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Semoga Allah mengampunimu wahai Uthman, apa yang telah lalu dan sekarang, apa yang engkau rahsiakan, apa yang engkau tampakkan, dan apa yang akan berlaku sehingga hari Kiamat.” (Lihat Fadha’il al-Sahabah oleh Imam Ahmad, 1/456; al-Syari‘ah oleh al-Ajurri, 4/2012; Tarikh Dimasyq, 39/57; Mu‘jam al-Sahabah oleh al-Baghawi, 4/332; Fadha’il al-Khulafa’ al-Rasyidin oleh Abu Nu‘aim, hlm. 84; Usd al-Ghabah, 3/484).
Selain itu, beliau juga termasuk dalam kalangan sahabat yang dikira sebagai mati syahid. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Qatadah, bahawasanya Anas bin Malik R.A menyampaikan kepada mereka bahawasanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَعِدَ أُحُدًا، وَأَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، وَعُثْمَانُ فَرَجَفَ بِهِمْ، فَقَالَ: اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ، وَصِدِّيقٌ، وَشَهِيدَانِ
Maksudnya: “Nabi SAW mendaki gunung Uhud bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman . Tiba-tiba gunung Uhud bergoncang. Maka Baginda berkata: ‘Diamlah wahai Uhud kerana sesungguhnya di atasmu ada seorang Nabi, Siddiq (Abu Bakar) dan dua orang syahid (Umar dan Uthman).’”
Riwayat al-Bukhari (3675)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa dikisahkan bahawa Saidina Uthman tidak ikut serta dalam beberapa peristiwa penting iaitu Perang Badar yang berlaku pada 2 hijrah dan Perang Uhud pada 3 hijrah serta Bai‘ah al-Ridhwan yang berlaku pada 6 hijrah. Hal ini sebagaimana yang dikisahkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Uthman bin Mauhab bahawa beliau berkata: “Seorang lelaki datang menunaikan haji di Baitullah, lalu melihat satu kaum yang sedang duduk. Maka lelaki itu berkata: “Siapakah mereka yang sedang duduk itu?” Mereka menjawab: “Mereka iti kaum Quraisy.” Dia bertanya: “Siapakah syeikh di antara mereka?” Mereka menjawab: “Ibn Umar.” Lelaki tersebut datang kepada Ibn Umar dan berkata:
إِنِّي سَائِلُكَ عَنْ شَيْءٍ أَتُحَدِّثُنِي؟ قَالَ: أَنْشُدُكَ بِحُرْمَةِ هَذَا البَيْتِ، أَتَعْلَمُ أَنَّ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ فَرَّ يَوْمَ أُحُدٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَتَعْلَمُهُ تَغَيَّبَ عَنْ بَدْرٍ، فَلَمْ يَشْهَدْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَتَعْلَمُ أَنَّهُ تَخَلَّفَ عَنْ بَيْعَةِ الرِّضْوَانِ فَلَمْ يَشْهَدْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَبَّرَ، قَالَ ابْنُ عُمَرَ: تَعَالَ لِأُخْبِرَكَ وَلِأُبَيِّنَ لَكَ عَمَّا سَأَلْتَنِي عَنْهُ، أَمَّا فِرَارُهُ يَوْمَ أُحُدٍ فَأَشْهَدُ أَنَّ اللَّهَ عَفَا عَنْهُ، وَأَمَّا تَغَيُّبُهُ عَنْ بَدْرٍ، فَإِنَّهُ كَانَ تَحْتَهُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ مَرِيضَةً، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ لَكَ أَجْرَ رَجُلٍ مِمَّنْ شَهِدَ بَدْرًا وَسَهْمَهُ». وَأَمَّا تَغَيُّبُهُ عَنْ بَيْعَةِ الرِّضْوَانِ، فَإِنَّهُ لَوْ كَانَ أَحَدٌ أَعَزَّ بِبَطْنِ مَكَّةَ مِنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ لَبَعَثَهُ مَكَانَهُ، فَبَعَثَ عُثْمَانَ، وَكَانَتْ بَيْعَةُ الرِّضْوَانِ بَعْدَمَا ذَهَبَ عُثْمَانُ إِلَى مَكَّةَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ اليُمْنَى: «هَذِهِ يَدُ عُثْمَانَ – فَضَرَبَ بِهَا عَلَى يَدِهِ، فَقَالَ – هَذِهِ لِعُثْمَانَ» اذْهَبْ بِهَذَا الآنَ مَعَكَ.
Maksudnya: “Aku ingin bertanya kepadamu tentang sesuatu; adakah kamu akan menceritakannya kepadaku?” Dia berkata pula: “Aku bertanya kepada kamu demi kehormatan Rumah ini (Baitullah); adakah engkau tahu bahawa Uthman bin Affan lari semasa perang Uhud?” Ibn Umar menjawab: “Ya.” Lelaki itu berkata lagi: “Adakah engkau tahu beliau tidak hadir di perang Badar dan tidak turut serta?” Beliau menjawab: “Ya.” Dia berkata: “Adakah engkau tahu beliau juga tidak hadir dan tidak ikut serta dalam Bai‘ah al-Ridhwan?” Beliau menjawab: “Ya.” Lalu lelaki tersebut bertakbir (tanda gembira mengetahui maklumat negatif tentang Uthman). Ibn Umar berkata: “Kemarilah! Aku akan memberitahu dan menjelaskan kepadamu pula isu yang engkau tanyakan kepadaku. Adapun isu Uthman lari dari Perang Uhud, maka aku bersaksi bahawa Allah telah mengampuninya. Tentang beliau tidak ikut serta dalam Perang Badar, sesungguhnya beliau beristerikan puteri Rasulullah SAW, dan saat itu isterinya sedang sakit, lalu Nabi SAW bersabda kepadanya: ‘Sesungguhnya untukmu pahala orang yang turut dalam perang Badar dan Baginda membahagikan bahagian harta rampasan kepada beliau. Sedangkan ketidakhadirannya dalam Bai‘ah al-Ridhwan, sesungguhnya seandainya ada seorang yang lebih dihormati di lembah Makkah berbanding Uthman bin ‘Affan, nescaya Baginda akan mengutusnya untuk menggantikan kedudukan Uthman. Baginda SAW mengutuskan Uthman, sementara Bai‘ah al-Ridhwan terjadi setelah Uthman pergi ke Makkah. Maka Nabi SAW mengisyaratkan dengan tangan kanannya dan bersabda: “Ini ialah tangan Uthman.” Lalu Baginda menepuk dengan tangannya yang satu lagi lalu bersabda: “Ini untuk Uthman.” Ibn Umar berkata: “Pergilah sekarang membawa keterangan ini bersamamu.”
Riwayat al-Bukhari (4066)
Hadith ini menunjukkan bahawa ketidakak hadiran Uthaman dalam Peperangan Uhud, adalah dalam kalangan mereka yang tersilap, dan Allah telah memaafkan mereka dan mengampuni mereka. Adapun ketidakhadirannya dalam Perang Badar, itu kerana isterinya, puteri Rasulullah SAW, sedang sakit, maka Nabi SAW memerintahkan dia untuk tinggal bersama isterinya dan berkata kepadanya: “Sesungguhnya bagimu pahala seorang lelaki yang menyertai Badar dan bahagiannya,” iaitu baginya pahala orang yang menyertai perang dan bahagiannya daripada harta rampasan perang. Adapun ketidakhadirannya dalam Bai‘ah Ridhwan pada hari Hudaibiyah, itu kerana dia adalah orang yang paling mulia nasabnya, maka Nabi SAW mengutusnya kepada Quraisy kerana kemuliaan dan nasabnya di kalangan mereka. Bai‘ah Ridhwan berlaku setelah Nabi SAW mengutusnya ke Makkah, maka Nabi SAW membai‘ah mereka yang hadir, kemudian Baginda memukul tangan kanannya ke atas tangan kirinya dan berkata: “Ini adalah tangan Uthman,“ lalu Baginda mengikat bai‘ah untuk Uthman sedangkan dia tidak hadir.[1]
Justeru berdasarkan peristiwa ini, kita dapat memahami dengan jelas bahawa ketidakhadiran Saidina Uthman dalam peristiwa penting ini disebabkan oleh beberapa faktor yang menghalangnya daripada menyertai peristiwa tersebut dan ia dimaafkan oleh syarak seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Hadith tersebut juga menunjukkan kedudukan istimewa Saidina Uthman di sisi Baginda sehingga Rasulullah sendiri mengikat Bai’ah untuknya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam.
Nota Hujung:
[1] Lihat https://dorar.net/hadith/sharh/14062 Diakases pada 26 Julai 2024