Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah benar jika seseorang memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1000 ekor kuda di jalan Allah SWT? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA berkata bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihatal-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa dakwaan ini berasal daripada hadith yang tidak ditemui sanadnya. Ia mirip kepada status tiada asal baginya (لَا أَصْلَ لَهُ). Kita tidak boleh menyandarkan kepada Rasulullah SAW secara pasti, melainkan bersama dijelaskan kelemahan dan kerapuhannya.

Untuk mendakwa sesuatu berkenaan ghaibiyyat (alam ghaib seperti pahala, dosa, ganjaran di akhirat), kita memerlukan dalil dan hujah daripada dalil-dalil syarak yang diterima (maqbul) di sisi para ulama. Namun, hadith ini tidak diterima dari sudut neraca penilaian para ulama kerana ketiadaan sanadnya.

Setakat kajian kami, kenyataan yang didakwa ini dijumpai di dalam sebuah hadith yang dinisbahkan oleh Imam al-Suyuti dalam kitab Lubab al-Hadith kepada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A tanpa sebarang sanad, didakwa Ibn Mas‘ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا ابْنَ مَسْعُوْدٍ، جُلُوْسُكَ سَاعَةً فِيْ مَجْلِسِ العِلْمِ، لاَ تَمَسُ قَلَماً، وَلاَ تَكْتُبُ حَرْفًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ عِتْقِ أَلْفِ رَقَبَةٍ، وَنَظَرُكَ إِلَى وَجْهِ العَالِمِ خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَلْفِ فَرَسٍ تَصَدَّقْتَ بِهَا فِيْ سَبِيْلِ اللهِ، وَسَلَامُكَ عَلَى الْعَالِمِ خَيْرٌ لَكَ مِنْ عِبَادَةِ أَلْفِ سَنَةٍ

Maksudnya: “Wahai Ibn Mas‘ud, dudukmu walaupun sebentar di dalam majlis ilmu, walaupun tanpa memegang pena dan menulis satu huruf pun adalah lebih baik daripada memerdekakan 1000 orang hamba, pandangan matamu kepada orang alim lebih bagus daripada 1000 kuda yang kamu sedekahkan di jalan Allah, salammu kepada orang alim lebih bagus daripada ibadah 1000 tahun.”

Berikut adalah gambar daripada petikan manuskrip kitab Lubab al-Hadith oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti yang disimpan di Perpustakaan Universiti al-Azhar, yang mengandungi hadith di atas:

Namun, hadith ini disandarkan kepada Rasulullah secara mu‘allaq iaitu secara tergantung, tanpa sebarang sanad. Hadith ini tidak ada asalnya (لَا أَصْلَ لَهُ); iaitu tidak diketahui dan belum dijumpai sanadnya. Ini mengakibatkan, kita tidak boleh menilai status kebenaran hadith ini.

Tanpa sanad, seseorang boleh mendakwa apa sahaja sesuka hatinya. Ini sudah pasti membuka pintu dan ruang yang besar untuk para penjahat berdusta atas nama Rasulullah SAW. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Imam Muhammad bin Sirin berkata:

الْإِسْنَادُ عِنْدِي مِنَ الدِّينِ وَلَوْلَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ، فَإِذَا قِيلَ لَهُ مَنْ حَدَّثَكَ ؟ بَقِيَ

Maksudnya: “Menurutku, sanad itu adalah sebahagian daripada agama. Tanpa sanad, semua orang boleh mendakwa apa sahaja sesuka hatinya. Apabila ditanya, ‘Siapakah yang menyampaikan kepadamu (hadith ini)?’ Maka, dia terdiam (kerana tidak tahu).” (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/15).

Bahkan, setiap hadith yang tidak mempunyai sanad adalah unta yang tidak terpelihara dan tidak terjaga, hilang dari milik tuannya. Ini bermaksud hadith tersebut tidak sahih dan tidak terpelihara. Imam Ibn Hibban menukilkan bahawa Imam Syu‘bah bin al-Hajjaj berkata:

كُلُّ حَدِيثٍ لَيْسَ فِيهِ حَدَّثَنَا، وَأَخْبَرَنَا فَهُوَ مِثْلُ الرَّجُلِ بِالْفُلَاةِ مَعَهُ الْبَعِيرُ لَيْسَ لَهُ خِطَامٌ

Maksudnya: “Setiap hadith yang tidak mempunyai haddathana dan akhbarana (tidak mempunyai sanad), maka ia adalah seperti seorang lelaki di padang pasir bersama seekor unta yang tidak mempunyai tali kekang.” (Lihat al-Majruhin, 1/37)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, jelaslah bahawa hadith yang menyebutkan berkenaan fadhilat “memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1000 ekor kuda di jalan Allah SWT” adalah tidak boleh dipercayai dan disebarkan kerana tiada/tidak ditemui sanadnya. Majoriti dan hampir keseluruhan ulama hadith mempunyai sangkaan yang kuat bahawa hadith yang tiada/tidak ditemui sanadnya dalam kitab-kitab hadith adalah dusta dan palsu.

Terdapat riwayat daripada al-Mughirah bin Syu‘bah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَدَّثَ عَنِّى بِحَدِيثٍ يُرَى أَنَّهُ كَذِبٌ، فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Sesiapa yang meriwayatkan hadith daripadaku, namun ada sangkaan bahawa hadith itu adalah hadith yang palsu (bukan sabdaanku); maka dia juga termasuk dalam kalangan orang-orang yang berdusta.”

Riwayat Muslim di dalam Muqaddimah al-Sahih (1/7)

Imam al-Nawawi menyebutkan, haram untuk meriwayatkan hadith palsu ke atas orang yang mengetahui bahawa ia adalah hadith palsu atau orang yang mempunyai sangkaan kuat bahawa ia adalah hadith palsu. Oleh itu, sesiapa yang meriwayatkan hadith yang dia yakini atau menurut sangkaan kuatnya bahawa ia adalah hadith palsu dan dia tidak menyatakan semasa dia meriwayatkannya bahawa ia adalah palsu, maka dia termasuk di dalam ancaman ini, tergolong dalam golongan yang mendustakan atas nama Rasulullah SAW. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/71).

Begitu juga al-Sakhawi turut menyatakan, cukuplah dengan penyataan ini (hadith yang disebutkan di atas) sebagai ancaman yang keras bagi sesiapa yang meriwayatkan hadith, sedangkan menurut sangkaannya hadith itu adalah dusta (palsu), apatah lagi jika dia yakin akan kepalsuannya tetapi tidak menjelaskannya; kerana Rasulullah SAW menjadikan muhaddith itu sebagai orang yang sama berkongsi/terlibat dalam pendustaan tersebut. (Lihat Fath al-Mughith, 1/311).

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي أَوْجَهَ مَنْ تَوَجَّهَ إلَيْكَ، وأقْرَبَ مَنْ تَقَرَّبَ إِلَيْكَ، وأفْضَلَ مَنْ سَألَكَ وَرَغِبَ إِلَيْكَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu yang paling hebat dalam ibadah sepanjang perjalanan menuju ke arah-Mu, dan hamba yang paling dekat di sisi-Mu, dan hamba-Mu yang paling terbaik dalam berdoa dan mengharapkan kurniaan-Mu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply