Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum membuang air besar di sungai yang mengalir? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa kita dilarang untuk membuang air sama ada air kecil apatah lagi air besar ke dalam air yang tidak mengalir dan pegun di sebuah tempat. Larangan ini berdasarkan arahan Rasulullah SAW menerusi sabdaan baginda menerusi hadith Abu Hurairah R.A:

لَا يَبُولَنَّ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ الَّذِي لَا يَجْرِي ثُمَّ يَغْتَسِلُ مِنْهُ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu kencing pada air yang tidak mengalir (yang pegun dalam sebuah bekas/tempat); kemudian dia bersuci pula menggunakan air tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (239) dan Muslim (282)

Berdasarkan hadith di atas, kita diharamkan membuang air kecil ke dalam air yang tidak mengalir. Adapun kawasan air mengalir dengan banyak seperti sungai dan yang semisalnya; maka tidak diharamkan. Namun yang lebih baik adalah tidak melakukannya; iaitu tidak membuang air besar di sungai, laut dan sebagainya adalah yang terbaik.

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas sekali gus menyatakan pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i yang tidak menganjurkan perbuatan membuang air kecil atau besar ke dalam air yang banyak dan mengalir seperti sungai dan lain-lain, Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut hadith ini, diharamkan untuk kita membuang air sama ada kecil atau besar ke dalam air yang tidak mengalir, begitu juga air yang tidak mengalir sebahagian daripada juzuknya seperti tasik (الْبِرَك). Adapun jika air tersebut begitu banyak dan ia mengalir, maka tidak diharamkan. Namun seeloknya tidak melaksanakan sedemikian.

Dan sekiranya saliran air itu mengalir namun keadaannya sedikit, maka sebahagian besar dalam kalangan ashab kita memakruhkannya, dan pendapat terpilih (al-mukhtar) di dalam mazhab adalah ia diharamkan, kerana ia boleh mengotorkannya dan menajiskannya, ini berdasarkan pendapat yang masyhur di dalam mazhab al-Syafi‘i dan selainnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/187)

Imam Sulaiman al-Jamal menfatwakan: “(Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: Dan) janganlah seseorang itu mengqadha’ hajatnya (di dalam air yang pegun, tidak mengalir) jangan juga di dalam lubang, begitu juga di tempat arah angin bertiup, dan begitu juga tempat orang ramai berkumpul, dan di bawah pohon yang berbuah; kerana ada larangan untuk membuang air di kawasan-kawasan ini seperti yang diriwayatkan di dalam hadith Sahih Muslim; begitu juga hukumnya dengan membuang air besar di kawasan ini, bahkan buang air besar lebih utama untuk dilarang dan ditegah. Larangan ini adalah makruh sekiranya air itu sedikit dan ada kebarangkalian untuk disucikan dengan mengalirkan banyak air ke atasnya. Adapun air yang mengalir, termaktub di dalam kitab al-Majmu‘ (oleh Imam al-Nawawi): daripada sebahagian besar ulama mazhab yang menghukum makruh untuk membuang air besar pada air mengalir yang sedikit, dan tidak makruh pada air mengalir yang banyak. Kemudian (al-Nawawi) berkata: “Lebih utama untuk mengharamkan kencing pada air mengalir yang sedikit secara mutlak, kerana ia boleh merosakkan saliran air itu keseluruhannya, adapun kepada air mengalir yang melimpah banyak; maka yang lebih baik adalah tidak membuang air (kencing) ke dalamnya.” (Lihat Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 1/88)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa mengelakkan atau menghindarkan diri daripada membuang air besar ke dalam sungai adalah lebih baik.  Apatah lagi, perbuatan itu boleh mendorong kepada aktiviti mencemarkan sungai serta menimbulkan ketidaksenangan kepada masyarakat awam yang memanfaatkan sungai serta alam sekitar. Menyakiti orang lain adalah diharamkan di sisi syarak. Lebih-lebih lagi, kini banyak tandas awam sudah disediakan di kawasan-kawasan rekreasi sungai.

Namun, jika benar dia dalam keadaan terdesak, maka pilihlah bahagian sungai yang jauh daripada orang ramai (tidak digunakan/tidak menjadi tumpuan orang ramai), yang airnya banyak serta mengalir. Dia hendaklah memastikan najis itu hilang dan pergi bersama arus sungai. Ini bagi menjamin kebersihan kawasan itu serta mengelakkan ketidaksenangan orang ramai untuk menggunakan kawasan sungai tersebut.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bersuci.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply