Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, anak bongsu saya berumur 1 tahun 9 bulan, dan saya sudah melakukan dua kali caesar. Kehamilan sekarang terlalu awal dan berisiko untuk bekas jahitan caesar. Apakah boleh melakukan aborsi? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَوۡلَـٰدَكُمۡ خَشۡیَةَ إِمۡلَـٰقࣲۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُهُمۡ وَإِیَّاكُمۡۚ إِنَّ قَتۡلَهُمۡ كَانَ خِطۡـࣰٔا كَبِیرࣰا
Maksudnya: “Janganlah kalian membunuh anak-anak kalian kerana takutkan kemiskinan; kerana Kamilah yang pasti memberi rezeki kepada mereka begitu juga kalian. Sesungguhnya membunuh mereka itu adalah suatu kesalahan yang besar.”
(Surah al-Isra’: 31)
Imam al-Baidhawi berkata: “Orang-orang jahiliah dahulu membunuh anak mereka, antaranya mereka menanam anak perempuan mereka hidup-hidup kerana takutkan anak perempuan itu bakal mendatangkan kemiskinan, kefakiran dan sial dalam hidup mereka. Allah menegaskan bahawa perbuatan membunuh anak merupakan perbuatan yang begitu besar dosanya.” (Lihat Anwar al-Tanzil, 3/145)
Hukum asal menggugurkan bayi adalah dilarang dan ditegah, bahkan ia asalnya merupakan perkara yang haram dan berdosa; sama sahaja dengan tindakan membunuh anak yang ditegah dan dilarang secara jelas di dalam dalil-dalil syarak.
Namun, apabila si ibu berhadapan dengan kemudaratan, dan doktor menasihatkan agar mengutamakan kemaslahatan hayat si ibu, dibolehkan untuk terpaksa menggugurkannnya atas dasar keselamatan nyawa dan tubuh badan ibu. Sungguh pun begitu, tempoh yang dibenarkan untuk menggugurkan janin hanyalah sebelum roh ditiupkan kepada bayi di dalam kandungan tersebut.
Abdullah bin Mas’ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٍّ أَمْ سَعِيدٍ
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu juga (40 hari sama), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (perkara), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Imam Ibn Hajar al-Haitami mensyarahkan hadith berkata: “Dinukilkan daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa beliau berkata: Roh ditiupkan kepada janin pada hari ke-120, dan para ulama telah bersepakat bahawa roh ditiupkan kepada bayi di dalam perut ketika kandungan berusia 4 bulan.” (Lihat al-Fath al-Mubin Syarh al-Arba‘in, hlm. 205)
Sehubungan dengan itu, pengguguran bayi dan janin dijelaskan oleh para ulama tentang hukumnya, kami nyatakan bahawa berlaku perselisihan pendapat dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i sendiri berkenaan perkara ini;
- Haram secara mutlak, apa jua peringkatnya; sama ada sebelum atau selepas peniupan roh. Ini merupakan fatwa Imam al-Ghazali.
Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata: “Menggugurkan bayi semenjak ia merupakan air mani dan segumpal darah turut dikira sebagai jenayah, apatah lagi setelah ia ditiupkan roh dan mulai mendapat bentuk manusia, sudah tentu bertambah lagi kejahatan dan keburukan tindakan untuk menggugurkannya.” (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 2/51)
- Dibolehkan dengan sebab-sebab yang mendesak dan diakui pakar sebelum roh ditiup (1 – 3 bulan usia kandungan) namun hukum asalnya adalah tetap makruh, dan diharamkan selepas roh ditiupkan (selepas 4 bulan). Ini merupakan pendapat muktamad Imam al-Ramli dan lain-lain ashab al-hawasyi seperti Imam al-Qalyubi.
Imam al-Ramli menyatakan berkenaan hukumnya menerusi nas beliau:
“Para ulama mengatakan: Adapun pengguguran ketika bayi sudah ditiupkan roh kepadanya di dalam kandungan dan tempoh selepas itu hingga tempoh bersalin (4 bulan hingga 9 bulan); maka haram menggugurkannya, adapun sebelum tempoh ini, ia tidak boleh dihukum sebagai khilaf al-aula semata-mata, namun hukum asalnya adalah makruh; boleh jadi makruh tanzih (yang ringan) atau makruh tahrim (yang berat, ikut keadaan); pengharamannya lebih dipastikan jika lebih dekat dengan tempoh peniupan roh kepada bayi.” Imam al-Ramli juga menyimpulkan: “Pendapat yang rajih adalah pengharaman secara mutlak jika bayi sudah menggapai usia 4 bulan ke atas, dan dibolehkan (jika ada keperluan) bagi kandungan di bawah 4 bulan.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/442)
Imam Ahmad al-Qalyubi berkata ketika mensyarahkan kata-kata Imam al-Mahalli, kata beliau:
“Ya, dibenarkan untuk menggugurkan kandungan (jika berkeperluan) meskipun menggunakan sebarang ubat-ubatan sebelum tempoh bayi ditiupkan roh, dan ini berselisihan dengan apa yang difatwakan oleh Imam al-Ghazali (melarangnya).” (Lihat Hasyiah al-Qalyubi wa ‘Amirah ‘ala Syarh al-Mahalli, 4/160)
Pengguguran boleh dibenarkan atas nasihat pakar; demi menyelamatkan nyawa dan kesihatan tubuh badan si ibu, jika meneruskan kehamilan dan proses kelahirannya kelak bakal memudaratkan nyawa ibu. Sudah banyak kes ibu menanggung kemudaratan akibat tidak pulih luka pembedahan caesar yang sebelumnya.
Syariat Islam hadir untuk mengelakkan semua kemudaratan daripada berlaku. Dalam kes ini, Islam menitikberatkan keselamatan nyawa si ibu dan sedaya upaya mengelakkan daripada ibu ditimpa sebarang risiko penyakit dan luka berbahaya, yang bahkan boleh menyebabkan kematian. Abu Sa‘id al-Khudri R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh ada sebarang kemudaratan dan juga perbuatan yang mendatangkan bahaya atau juga perbuatan membalas mudarat dengan mudarat.”
Riwayat al-Hakim (2345) dan al-Baihaqi (11717)
Imam Ibn Hajar al-Haitami mensyarahkan hadith di atas: “Hadith ini melarang segala jenis kemudaratan dan bahaya, apa jua jenis dan keadaannya, kerana perkataan nakirah (iaitu perkataan ضَرَرَ dan ضِرَارَ) yang berada dalam konteks nafi (bersebelahan perkataan لَا) akan memberi konteks umum.” (Lihat al-Fath al-Mubin Syarh al-Arba‘in, hlm. 516)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa hanya dibenarkan untuk melaksanakan pengguguran dan aborsi hanya jika dinasihatkan oleh doktor atas dasar memelihara keselamatan nyawa dan kesihatan ibu. Jika ia terpaksa dilakukan kerana keperluan mendesak, hendaklah ia dilakukan segera iaitu sebelum kandungan berusia 120 hari, dan seboleh-bolehnya sebelum kandungan berusia 40 hari. Manakala jika kandungan sudah berusia lebih 120 hari, maka haram menggugurkan janin dalam kandungan kerana ia dianggap sebagai satu jenayah pembunuhan ke atas janin yang sudah ditiupkan roh, melainkan demi menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk. Sekalipun begitu, ia tertakluk kepada pengesahan dan saranan doktor (pakar).
Ini senada dengan resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang telah diputuskan pada 7 Mac 1990 ada menyatakan berkaitan persoalan hukum menggugurkan kandungan atas nasihat doktor. Secara ringkasnya, fatwa tersebut menyatakan:
- [1] “Menurut Ijma’ Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
- [2] Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami isteri.
- [3] Ijma’ Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.”
Fatwa ini juga selari dengan ketetapan daripada Majma’ Fiqh al-Islami yang menyatakan: “Sekiranya kandungan itu berusia 120 hari, maka haram hukumnya menggugurkannya, sekalipun ia didapati terdapat kecacatan, melainkan sekiranya mendapat pengesahan daripada pakar perubatan bahawa kandungan itu boleh menjejaskan nyawa ibu, maka ketika itu harus menggugurkannya kerana memelihara nyawa ibu lebih diutamakan”. (Lihat Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami, nom. 277)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ، وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah kehidupanku ini sebagai asbab penambahan segala kebaikan buat diriku. Dan jadikanlah kematianku kelak sebagai asbab terhentinya aku daripada segala keburukan.”
Wallahu a‘lam.