Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, boleh terangkan hikmah disebalik ujian yang menimpa manusia? Terima kasih Dato’ Seri.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Firman Allah SWT:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ
Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”
(Surah al-Mulk: 2)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau membawakan satu riwayat daripada jalur Ma‘mar, daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالْمَوْتِ، وَجَعَلَ الدُّنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ، وَجَعَلَ الْآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang kekal.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)
Jawapan paling utama dan paling penting bagi soalan ini adalah kita diuji dengan perkara yang tidak diingini kerana dunia adalah tempat ujian dan dugaan. Tempat untuk mendapat nikmat dan kesenangan semata-mata adalah di akhirat, itu pun jika kita layak mendapatkannya.
Kita dicipta oleh Allah untuk diuji ada diduga, sejauh mana kesabaran dan keteguhan kita. Kita diuji supaya jelas dalam kalangan kita ini; siapakah yang benar-benar beriman, dan siapakah yang gagal untuk memenuhi janji keimanan serta kepercayaan kepada Allah, malah kufur dan ingkar kepada-Nya.
Allah SWT berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٥٥ ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ ١٥٦ أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَٰتٌۭ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌۭ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ ١٥٧
Maksudnya: “Dan sungguh pasti Kami akan menguji kalian dengan beberapa perkara seperti perasaan takut, kelaparan yang dahsyat, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira untuk orang-orang yang bersabar [155] Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa dengan sebarang musibah, mereka berkata: “Kami ini milik Allah, kepada-Nya jua kami akan dikembalikan.” [156] Mereka itu orang-orang yang bakal beroleh doa-doa kebaikan dari Tuhan mereka, serta rahmat kasih-sayang-Nya. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah al-Baqarah: 155-157)
Imam Ibn Jarir al-Tabari menafsirkan ayat ini mengatakan: “Di dalam ayat ini, Allah mengatakan bahawa Dia pasti menguji manusia, bahkan Dia pasti akan menguji pengikut para Rasul dengan ujian-ujian yang begitu berat; supaya jelas terbukti siapakah yang benar-benar beriman dan mengikuti Rasul, dan siapakan yang akan berpatah-balik ke arah kekufuran.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 2/576)
Hal ini senada dengan firman Allah SWT dalam al-Quran:
وَلَنَبۡلُوَنَّكُمۡ حَتَّىٰ نَعۡلَمَ ٱلۡمُجَـٰهِدِینَ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰبِرِینَ وَنَبۡلُوَا۟ أَخۡبَارَكُمۡ
Maksudnya: “Dan pasti Kami akan menguji kalian sehingga Kami tahu siapakah yang benar-benar berusaha keras dalam kalangan kalian, begitu juga siapakah orang-orang yang sabar dalam kalangan kalian, dan kami pasti akan menguji keadaan kami kesemuanya.”
(Surah Muhammad: 31)
Ini bukanlah bererti Allah belum mengetahuinya, Dia telah pun mengetahui siapakah yang berjaya sabar dan siapakah yang gagal; namun Dia berkehendak untuk menzahirkan ketentuan-Nya kepada sekalian makhluk.
Imam Abu Muhammad al-Baghawi berkata menafsirkan ayat di atas: “Allah mengatakan bahawa Dia akan menguji manusia, sehingga jelas di mata sesama mereka; siapakah yang benar jujur bersabar dalam perjuangan, dan siapakah yang berdusta dan sekadar mendakwa dalam pengakuannya selama ini.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 7/329)
Prinsip ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran menerusi firman-Nya:
إِنَّا خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن نُّطۡفَةٍ أَمۡشَاجࣲ نَّبۡتَلِیهِ فَجَعَلۡنَـٰهُ سَمِیعَۢا بَصِیرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia itu daripada air mani yang pekat berlendir untuk Kami uji dia. Dan Kami jadikan dia mendengar jua mampu melihat.”
(Surah al-Insan: 2)
Kita dicipta, untuk diuji.
Selain itu, setiap ujian dan musibah akan menghapuskan dosa kita satu per satu, walau sekecil mana pun ujian tersebut, walau hanya sekecil duri yang mencucuk dan tidak begitu dirasai sakitnya. Tetap ada pengampunan dan ganjarannya. Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً ، أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
Maksudnya: “Tidaklah tusukan duri yang menimpa seorang Mukmin atau musibah lain yang lebih besar daripada itu; melainkan Allah akan meningkatkan darjatnya kerana musibah tersebut, atau mengampunkan satu dosanya.”
Riwayat Muslim (2572)
Setiap ujian tujuannya adalah untuk mengampunkan dosa kita sehingga kita bertemu Allah SWT dalam keadaan suci bersih tanpa sebarang noda dan dosa. Semuanya sudah dibersihkan kerana sabar menghadapi ujian yang menimpa. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ فِي نَفْسِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةٍ
Maksudnya: “Bala musibah sentiasa menimpa seorang Mukmin pada dirinya, hartanya dan anaknya; sehinggalah dia bertemu Allah kelak dalam keadaan bersih daripada sebarang dosa.”
Riwayat al-Tirmizi (2399)
Setiap hari kita berdosa, setiap hari juga kita diampunkan. Berkat ujian.
Ujian juga merupakan sebuah madrasah yang mendidik erti Tauhid, Tawakal dan penyerahan kepada Allah SWT. Inilah proses-proses yang menjadikan kita seorang insan yang lebih baik, dari masa ke masa, menjadi manusia terbaik.
Imam Ibn al-Qayyim berkata:
“Jikalau bukan kerana Allah SWT merawat sekalian hamba-Nya, dengan “ubatan” kesusahan, bala musibah dan kesukaran; nescaya mereka semua akan cenderung melampaui batas, melakukan kejahatan dan semakin degil. Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada hamba-Nya, Dia akan memberikan kepadanya ubatan berupa ujian, dugaan dan kesusahan berdasarkan sebatas kemampuannya, supaya dapat menghindarkan dirinya daripada penyakit-penyakit hati yang membinasakan, sehinggalah Allah sudah membersihkan dirinya, menyucikan dirinya dan menyempurnakan peribadinya, Allah akan memberikannya pangkat paling mulia sejak di dunia; iaitu pangkat penghambaan kepada-Nya, begitu juga pangkat tertinggi di akhirat, iaitu melihat kepada-Nya dan kedekatan bersama-Nya.” (Lihat Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad, 4/195)
Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, Baginda SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الْخَيْرَ عَجَّلَ لَهُ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الشَّرَّ أَمْسَكَ عَنْهُ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Apabila Allah menghendaki kebaikan untuk hamba-Nya, Dia akan menyegerakan hukuman buatnya di dunia ini. Dan apabila Allah menghendaki keburukan buat hamba-Nya, Dia akan menunda hukuman itu di dunia, sehinggalah Dia mengazabnya dengan begitu pedih di akhirat kelak.”
Riwayat al-Tirmizi (2396)
Apabila Allah uji, itu tanda Allah sayang. Inilah yang dipandang oleh ahli hakikat dan makrifat yang sebenar-benarnya. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسۡرَافَنَا فِیۤ أَمۡرِنَا وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَنَا وَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan kesilapan kami dalam setiap urusan kami, dan teguhkan telapak kaki kami, dan menangkanlah kami mengatasi orang-orang kafir.”
Wallahu a‘lam.