Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum berdua-duaan dengan tunang di dalam kereta? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Berhubung soalan di atas, kami nyatakan dengan tegas dan jelas di sini bahawa tunang adalah individu berstatus ajnabi dan bukan mahram. Ikatan pertunangan tidak menghalalkan apa-apa perkara. Pasangan tunang masih lagi berstatus ajnabiyyah (asing) sesama mereka. Mereka wajib saling menjaga batas antara sesama mereka. Oleh yang demikian, haram untuk mereka berdua-duaan secara khalwat di dalam kereta tanpa sebarang keuzuran.

Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Abbas R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu ada mahramnya.”

Riwayat Muslim (1341)

Berdasarkan hadith di atas, jelas menunjukkan perbuatan berkhalwat (berdua-duaan) di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah suatu yang dilarang di sisi syarak. Kalimat لاَ (La) di dalam hadith di atas merupakan La al-Nahiyah (larangan) yang melazimkan hukum haram.

Imam al-Suyuti berkata: “Imam al-Nawawi menyatakan bahawa makna ذُو مَحْرَمٍ di atas boleh jadi memikul dua makna: [1] mahram bagi si wanita seperti ayah atau saudara lelakinya, atau [2] mahram bagi lelaki, seperti ibu atau saudara perempuan kepada si lelaki. Jika ada sesiapa dalam kalangan mereka, maka itu tidak lagi dinamakan khalwat. Barulah diizinkan untuk bertemu dan duduk bersama.” (Lihat Syarh al-Suyuti ‘ala Sahih Muslim, 3/389)

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Ia dilarang kerana kedua-dua mempunyai kebarangkalian besar untuk melayan nafsu dan syahwat. Jika ada mahram dari perempuan, maka barulah dua pasangan (yang masih ajnabi) ini boleh bertemu dan duduk di satu tempat. Kewujudan mahram yang lebih bersifat ghirah untuk menjaga dan memelihara si wanita itu dapat menjamin keselamatan wanita daripada diapa-apakan.” (Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawa’id Muslim, 4/450)

Hikmah daripada larangan ini adalah apabila dua orang yang berlawanan jantina, yang bukan mahram dan ajnabi berada dalam keadaan berdua-duaan (khalwat), ia membuka pintu syaitan buat mereka berdua supaya melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina atau mukaddimah zina (permulaan) dalam rangka usaha merosakkan manusia serta menimbulkan fitnah yang besar kepada diri mereka.

Perkara ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan (yang bakal menggoda mereka berdua).”

Riwayat al-Tirmizi (2165)

Larangan ini merupakan ijma‘ dalam kalangan ulama Islam, persepakatan ini ditegaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al- ‘Asqalani. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/77)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas berkata: “Di dalam hadith ini terdapat dalil pengharaman untuk berdua-duaan dengan orang yang berstatus ajnabiyyah dan hanya dibolehkan untuk bertemu apabila ada mahram si perempuan yang menemani. Perkara ini disepakati oleh sekalian ulama.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/153)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa diharamkan untuk berdua-duaan antara pasangan tunang di dalam kereta atau di mana-mana tempat sekalipun, kerana kedua-duanya masih berstatus ajnabiyyah dan masih belum dihalalkan dengan hubungan pernikahan yang sah di sudut syarak. Perjumpaan antara pasangan bertunang hanya dibenarkan apabila ditemani mahram daripada mana-mana pihak.

Jagalah batasan dalam hubungan selagi belum dihalalkan dengan ikatan pernikahan yang sah. Segala tindakan kita bermula sejak sebelum kahwin akan mendatangkan kesan bagi kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga kelak, bahkan kesan kepada zuriat kita di masa akan datang.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata buat kami dan jadikanlah kami pemimpin dalam kalangan orang yang bertakwa.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply