Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sahihkah hadith mengenai larangan menyebut Saidina ke atas Rasulullah SAW dalam solat iaitu “لا تسودوني في الصلاة”? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tersebar dalam kalangan awam berkenaan satu kenyataan yang disangkakan sebagai hadith, iaitu:
لا تُسَوِّدُونِي فِي الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Janganlah kamu mensaidkan aku — yakni menyebutkan ‘saidina’ ke atas Nabi Muhammad — dalam solat.”
Kenyataan dengan lafaz seperti ini bukanlah hadith daripada Nabi SAW. Bahkan para ulama telah menjelaskan mengenai perkara ini. Di antaranya, Imam al-Sakhawi dan Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan hadith ini tidak ada asalnya. (Lihat al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 135; al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/151)
Begitu juga ramai dalam kalangan fuqaha mengingkari hadith ini dalam kitab-kitab mereka sebagaimana yang disebut dalam Rad al-Muhtar, al-Fawakih al-Dawani, dan Nihayah al-Muhtaj. (Lihat Rad al-Muhtar, 1/513; al-Fawakih al-Dawani, 2/359; Nihayah al-Muhtaj, 1/530)
Selain itu, Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf juga ada mengemukakan pendapat bahawa kenyataan ini bukannya hadith, bahkan pendustaan atau maudu‘. Dalam syarah al-Durr dan hasyiahnya, kita disunatkan untuk menyebut ‘saidina’ ketika selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dalam tasyahud. Hal ini kerana menambahkan dengan perkhabaran yang waqi‘ termasuk dalam jenis adab yang baik. Selain itu, ia lebih baik daripada meninggalkannya sebagaimana yang disebut oleh Syeikh al-Ramli dalam syarahannya ke atas al-Minhaj al-Nawawi. (Lihat Fatawa Syar‘iyyyah, hlm. 258)
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kenyataan “لا تُسَوِّدُونِي فِي الصَّلَاةِ” ini bukanlah hadith Nabi SAW bahkan ia suatu pendustaan terhadap Nabi SAW dan tiada asalnya sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama. Walau bagaimanapun, kita disunatkan untuk menyebut lafaz ‘Saidina’ ketika selawat ke atas Baginda SAW dalam tasyahud kerana ia termasuk dalam adab yang baik. Justeru, menyebutkannya adalah lebih baik daripada meninggalkannya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H