Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum solat di depan pintu masjid? Ini kerana, kami dapati saf bersambung berhampiran pintu sedangkan kami makmum masbuq.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sutrah dari segi bahasa bahawa bermaksud apa sahaja yang dapat menghalangi. Dalam istilah ilmu fiqh, sutrah bermaksud segala sesuatu yang tertegak di hadapan orang yang sedang solat. Ia sama ada dalam bentuk tongkat, tanah yang disusun, atau yang sepertinya bagi mencegah orang melintas di hadapannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/176-177)

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

سُئِلَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ عن سُتْرَةِ المُصَلِّي؟ فَقالَ: مِثْلُ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah ditanya ketika perang Tabuk tentang batas (sutrah) bagi orang yang solat. Baginda menjawab: Seumpama bahagian belakang pelana.”

Riwayat Muslim (500)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Apa yang diperolehi daripada hadith ini:

Pensyariatan menggunakan sutrah semasa solat adalah sah, kerana manfaat-manfaat yang membantu dalam menjaga solat, menjaganya daripada perkara yang mengurangkan pahalanya, serta melindungi orang yang lalu dan menghindari perasaan sukar dan kesulitan.

Sutrah itu perlu dengan kadar sepanjang dan lebar belakang badan, jika memungkinkan.

Jika seseorang yang solat tidak mempunyai sutrah yang mencukupi, maka ia boleh menggunakan seperti selendang atau seumpama dengannya.

Jika seseorang tidak dapat mendapatkan sutrah, maka dia boleh menggunakan garis atau sesuatu yang dapat dia letakkan di hadapannya,. Maksudnya, orang yang solat mesti menggunakan apa yang tersedia dan sesuai dengan kemampuannya, kerana Allah SWT tidak membebani melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Pensyariatan menggunakan sutrah adalah ketika berada di permukiman dan dalam permusafiran, di padang dan dalam bangunan.

Pensyariatan sutrah telah ditetapkan oleh para Sahabat R.Anhum sebelum Perang Tabuk, pada tahun kesembilan Hijrah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/64-65)

Dalam Fiqh al-Manhaji (1/392-393) disebutkan: “Sekatan (سُترَةٌ) adalah sebagai tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya, seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak didapati apa-apa pun buatlah tanda garisan sahaja.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk solat didepan pintu. Namun, sebaiknya solatlah di tempat yang tidak membahayakan dan mengganggu orang lain kerana dikhuatiri kepala dihempuk pintu ketika solat, menghalangi jalan, mengganggu orang dan seumpamanya. Oleh itu, solatlah ditempat yang sesuai dan tidak menghalang laluan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

(Surah Ibrahim: 40-41)

Leave a Reply