Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah Raqib dan ‘Atid itu adalah malaikat atau sifat kedua-duanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami nyatakan bahawa dua sifat ini adalah untuk malaikat yang ditugaskan untuk menulis semua yang dilakukan oleh anak Adam, sama ada kebaikan atau kejahatan, dan kedua-duanya mempunyai sifat-sifat ini. Malaikat yang berada di sebelah kanan sifatnya adalah raqib dan ‘atid, begitu juga dengan malaikat yang di sebelah kiri sifatnya juga adalah raqib dan ‘atid.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِۦ نَفْسُهُۥ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ ٱلْوَرِيدِ ١٦ إِذْ يَتَلَقَّى ٱلْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ ٱلْيَمِينِ وَعَنِ ٱلشِّمَالِ قَعِيدٌۭ ١٧ مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (16), Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya (17). Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

(Surah Qaf: 16-18)

Imam al-Qurtubi menyebutkan bahawa bagi lafaz “al-Raqib” terdapat tiga pandangan:

  • Ia adalah orang yang mengawasi dan memerhatikan perkara-perkara.
  • Ia adalah penjaga, menurut pendapat al-Suddi.
  • Ia adalah orang yang melihat/menyaksikan (ada di tempat kejadian), menurut pendapat al-Dhahhak.

Manakala bagi lafaz “‘atid” terdapat dua pandangan:

  • Ia adalah orang yang hadir dan tidak akan hilang.
  • Ia adalah penjaga yang sedia, sama ada untuk menjaga atau untuk menyaksikan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 11/17).

Selain daripada itu, Ibn Kathir menyebutkan dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (7/398) ketika menafsirkan ayat, “ إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ” iaitu dua malaikat yang mencatat amalan manusia. Seterusnya ayat, “عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ” bermaksud mereka memerhatikan dengan teliti. Kemudian ayat, “مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ” bermaksud setiap perkataan yang diucapkan oleh anak Adam. Seterusnya ayat, “إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ” pula bermaksud sentiasa ada malaikat yang memantau (mengawasi) dan mencatatnya, sehinggakan tidak ada satu perkataan mahupun pergerakan yang terlepas tanpa dicatat. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَـٰفِظِينَ ١٠ كِرَامًۭا كَـٰتِبِينَ ١١ يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu (10), (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu) (11); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

(Surah al-Infitar: 10-12)

Selain itu, Syeikh Ibn al-‘Uthaimin juga ada menyatakan, raqib bermaksud yang sentiasa mengawasi dan memerhatikan siang dan malam, serta tidak pernah berpisah dengan manusia. Manakala ‘atid pula bermaksud yang sentiasa hadir dan tidak mungkin digantikan oleh yang lain, Jadi ia sentiasa ada dan hadir untuk mengawasi dan tidak akan terlepas apa-apa. (Lihat Tafsir al-Hujurat – al-Hadid oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, hlm. 92).

Demikianlah juga al-Nasafi ada menyatakan bahawa raqib bermaksud yang menjaga/mengawasi, manakala ‘atid pula bermaksud yang hadir dan selalu ada. Tafsiran yang sama turut disebutkan dalam Tafsir al-Jalalain, kemudian ditambah bahawa kedua-dua perkataan itu (yakni raqib dan ‘atid) mengandungi makna muthanna (kata ganti nama yang merujuk kepada dua). (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 3/365; Tafsir al-Jalalain, hlm. 690).

Berbalik kepada soalan di atas, jelas bahawa pendapat yang menyatakan, salah satu dari dua malaikat pencatat itu bernama Raqib, dan yang satu lagi bernama ‘Atid, adalah bertentangan dengan makna ayat yang jelas.

Dr. Umar Sulaiman al-Asyqar menyebutkan, sebahagian ulama menyatakan bahawa di antara malaikat ada yang bernama Raqib dan ‘Atid, berdasarkan firman Allah SWT:

 مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

(Surah Qaf: 18)

Namun, apa yang disebutkan itu tidak benar. Ini kerana Raqib dan ‘Atid di sini adalah sifat-sifat kedua-dua malaikat yang mencatat amalan hamba-hamba Allah. Makna Raqib dan ‘Atid adalah dua sifat bagi malaikat yang selalu hadir dan menyaksikan, tidak berpisah dengan hamba (manusia), dan bukanlah maksudnya itu adalah nama bagi dua malaikat tersebut. (Lihat ‘Alam al-Mala’ikah al-Abrar, hlm. 12).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat dan ingin tegaskan sekali lagi bahawa raqib dan ‘atid merupakan dua sifat bagi malaikat yang ditugaskan untuk mencatat semua perkara yang dilakukan oleh anak-anak Adam, tidak kira perbuatan baik atau maksiat, dan kedua-dua malaikat itu memiliki sifat-sifat ini. Jadi, malaikat pencatat yang berada di sebelah kanan sifatnya adalah raqib dan ‘atid, begitulah juga malaikat pencatat yang berada di sebelah kiri sifatnya juga ada raqib dan ‘atid iaitu sentiasa ada, hadir untuk menyaksikan dan mengawasi segala perkataan dan tindak-tanduk anak-anak Adam, serta tidak akan terlepas apa-apa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply