Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya sedang solat sunat subuh rakaat kedua. Datang seseorang dan menjadi makmum untuk solat fardhu Subuh. Perlukah saya kuatkan bacaan saya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, disunatkan bagi imam dan orang yang bersolat sendirian menyaringkan bacaan ketika solat Subuh, dua rakaat yang pertama solat Maghrib, Isyak, solat Jumaat, solat dua Hari Raya, solat Gerhana Bulan, solat Terawih dan solat Witir pada bulan Ramadhan, sementara solat yang lainnya sunat memperlahankan bacaan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/149).

Terdapat banyak hadith yang menunjukkan bahawa Baginda SAW menyaringkan atau menguatkan suaranya ketika solat jahriyyah. Di antaranya, riwayat daripada Jubair bin Mut‘im R.A, beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ الـمَغْرِبَ بِالطُّوْرِ

Maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Tur ketika mendirikan solat Maghrib.”

Riwayat al-Bukhari (765) dan Muslim (463)

Seterusnya dalam hadith Ibn Abbas R.Anhuma tentang kehadiran jin yang mendengar al-Quran daripada Nabi SAW ada menyatakan:

وَهْوَ يُصَلِّى بِأَصْحَابِهِ صَلاَةَ الْفَجْرِ، فَلَمَّا سَمِعُوا الْقُرْآنَ اسْتَمَعُوا لَهُ

Maksudnya: “Baginda mendirikan solat Subuh bersama-sama para sahabatnya. Tatkala para sahabat mendengar al-Quran, jin-jin turut mendengarnya.”

Riwayat al-Bukhari (773) dan Muslim (449)

Manakala dalil memperlahankan bacaan pada tempat-tempatnya pula adalah berdasarkan hadith, daripada Khabbab R.A, seseorang bertanya kepadanya:

أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِى الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قُلْنَا: بِمَ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ ذَاكَ؟ قَالَ: بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ

Maksudnya: “Adakah Rasulullah SAW membaca sesuatu ketika mendirikan solat Zuhur dan Asar? Beliau menjawab: ‘Ya.’ Kami bertanya lagi: ‘Bagaimanakah kamu tahu perkara tersebut?’ Khabbab menjawab: ‘Melalui pergerakan janggut Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (746)

Kemudian, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, disunatkan untuk menguatkan bacaan bagi seseorang yang solat secara bersendirian bagi solat-solat yang dibaca kuat (iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak) di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan jumhur. Malah, al-‘Abdari menyebutkan bahawa ini merupakan pendapat ulama keseluruhannya kecuali Abu Hanifah yang berpendapat bahawa menguatkan suara dan memperlahankannya bagi orang yang solat secara bersendirian adalah sama sahaja.

Hujah ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i ialah seseorang yang mendirikan solat secara bersendirian sama halnya seperti imam, yang berhajat kepada menguatkan bacaan untuk mentadabbur ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Oleh yang demikian, disunatkan baginya — yakni orang yang solat bersendirian — untuk menguatkan bacaannya seperti mana imam. Bahkan lebih utama lagi kerana dia lebih banyak dapat menghayati dan mentadabbur bacaannya (berbanding seorang imam) disebabkan oleh tiadanya perkaitan dengan orang lain. Begitu juga dia boleh membaca dan menguatkan bacaan tersebut bagi menghayati dan mentadabburnya sebagaimana yang dia kehendaki. Tambahan lagi, orang yang solat bersendirian juga berbeza halnya dengan makmum. Hal ini kerana makmum diperintahkan untuk mendengar bacaan imam supaya tidak mengganggu imam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/389-390).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa pada asalnya solat sunat yang disunatkan untuk dijaharkan adalah seperti solat sunat  Hari Raya, Istisqa, Tarawih dan lain-lain. Adapun solat sunat rawatib disunatkan untuk diperlahankan.

Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’(3/391) bahawa beliau menyatakan: Adapun solat Aidilfitri, solat minta hujan (istisqa‘), solat tarawih, dan solat gerhana bulan, disunatkan untuk membaca dengan suara yang kuat tanpa khilaf . Adapun solat sunat pada waktu siang, disunatkan untuk membaca dengan perlahan tanpa khilaf. Selain itu, solat sunat pada waktu malam selain daripada tarawih, penulis kitab al-Tatimmah berpendapat ia disunatkan untuk membaca dengan suara yang jelas, manakala al-Qadhi Husain dan penulis kitab al-Tahzib berpendapat ia disunatkan untuk membaca dengan pertengahan antara kuat dan perlahan. Adapun solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardhu, disunatkan untuk membaca dengan perlahan kesemuanya mengikut kesepakatan ulama kita. Al-Qadhi ‘Iyyadh dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim meriwayatkan bahawa sebahagian salaf membaca dengan suara yang kuat dalam solat sunat Subuh, tetapi majoriti ulama berpendapat membaca dengan perlahan seperti mazhab kita.

Justeru kami katakan dalam situasi ini, seseorang yang mendirikan solat sunat boleh membuat pilihan sama ada membacanya secara perlahan atau kuat ketika datangnya seseorang untuk solat di belakangnya sebagai makmum. Ini kerana sebahagian ulama berpandangan disunatkan untuk menjaharkannya dan sebahagian yang lain berpandapat bacaan tersebut perlu diperlahankan. Oleh yang demikian, dibolehkan baginya  membuat pilihan antara kedua-duanya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Leave a Reply