Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak bertanya tentang hukum menelan/ minum air ketika berwuduk atau ketika mandi wajib. Adakah perbuatan itu membatalkan wuduk atau mandi wajib kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Definisi Wuduk

Wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/69).

di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

  • Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  • Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  • Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  • Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  • Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Definisi Mandi Wajib

Mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Para ulama’ telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan al-Ghoyah wa al-Taqrib, 21)

Maka, apabila seseorang itu tidak sempurna mandi wajibnya, maka tidak sah mandi wajib tersebut dan perlu diulangi.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan minum air ketika wuduk atau mandi wajib tidaklah membatalkan kedua-duanya. Hal ini sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Walaupun begitu, sebaik-baiknya tidak perlu minum ketika berwuduk atau mandi. Bahkan khilaf lebih aula. Ini bertujuan agar ditumpukan kepada wuduk dan mandi kerana ia ibadat ghair ma’qul al-ma’na.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply