Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya terdengar kuliah yang disampaikan seorang penceramah, beliau kata setiap nabi diberikan peluang untuk memilih antara terus hidup dan diwafatkan oleh Allah. Soalan saya, benarkah maklumat ini?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
Maksudnya: “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Surah Ali Imran: 144]
Pertama sekali, isu yang diutarakan oleh saudara ini berkait rapat dengan urusan ghaib, dan kami tidak mengatakan sesuatu tentang urusan ghaib melainkan terdapat dalil yang sahih menerusi al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT dalam al-Quran:
وَمَا تَدْرِى نَفْسٌۢ بِأَىِّ أَرْضٍۢ تَمُوتُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۢ
Maksudnya: “Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.”
(Surah Luqman: 34)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman pula:
قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ٱلْغَيْبَ إِلَّا ٱللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ
Maksudnya: “Katakanlah lagi: ‘Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)’.”
(Surah al-Naml: 65)
Seterusnya, persoalan tentang pilihan yang diberikan kepada para nabi ini, ia thabit berdasarkan nas-nas hadith dan ia termasuk dalam salah satu kelebihan yang hanya diberikan kepada mereka sahaja, sebagaimana yang digariskan oleh ulama Islam. (Lihat Fath al-Bari, 10/131; al-Rusul wa al-Risalat, hlm. 91)
Dalam sebuah hadith daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ نَبِيٍّ يَمْرَضُ إِلَّا خُيِّرَ بَيْنَ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ. وَكَانَ فِي شَكْوَاهُ الَّذِي قُبِضَ فِيهِ أَخَذَتْهُ بُحَّةٌ شَدِيدَةٌ، فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ: {مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ}، فَعَلِمْتُ أَنَّهُ خُيِّرَ
Maksudnya: “‘Tidak ada seorang Nabi pun yang menderita sakit melainkan (mereka) disuruh memilih antara dunia dan akhirat.’ (Aisyah berkata): ‘Ketika saat sakit yang mana Baginda wafat dalam keadaan sakit itu, Baginda mengalami kesukaran bernafas, ketika itu aku mendengar Baginda mengucapkan:
مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ
(Maksudnya: Bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh.) [Surah Al-Nisa’: 69]. Maka (pada saat itulah) aku tahu yang Baginda diberi pilihan’.”
Riwayat al-Bukhari (4586)
Pilihan yang Allah SWT berikan ini merupakan bukti penghormatan yang luar biasa kepada mereka, dalam meninggikan kedudukan mereka di sisi Allah SWT, serta untuk mengeluarkan dari mereka rasa rindu yang mendalam dan kasih sayang mereka kepada-Nya serta apa yang ada di sisi-Nya. (Lihat al-Mufhim li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 6/328)
‘Abd al-Ra’uf al-Munawi berkata, Allah SWT memberikan pilihan kepada nabi sama ada untuk kekal di dunia atau kembali ke akhirat; agar ketibaannya ketika bertemu Allah itu ibarat ketibaan kekasih yang ikhlas. Hal ini juga kerana orang-orang beriman kurang yakin terhadap Rasulullah SAW, maka Allah SWT berikan kepada Baginda pilihan untuk kembali kepada-Nya kerana Dia adalah Tuhannya yang berhak berbuat demikian. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/501)
Disebutkan juga tentang pilihan ini, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id Al-Khudri R.A, katanya: Rasulullah SAW berkhutbah kepada orang ramai seraya bersabda:
إِنَّ اللَّهَ خَيَّرَ عَبْدًا بَيْنَ الدُّنْيَا وَبَيْنَ مَا عِنْدَهُ، فَاخْتَارَ ذَلِكَ العَبْدُ مَا عِنْدَ اللَّهِ، قَالَ: فَبَكَى أَبُو بَكْرٍ، فَعَجِبْنَا لِبُكَائِهِ: أَنْ يُخْبِرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ عَبْدٍ خُيِّرَ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هُوَ المُخَيَّرَ، وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ هُوَ أَعْلَمَنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ مِنْ أَمَنِّ النَّاسِ عَلَيَّ فِي صُحْبَتِهِ وَمَالِهِ أَبَا بَكْرٍ، وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلًا غَيْرَ رَبِّي لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ، وَلَكِنْ أُخُوَّةُ الإِسْلاَمِ وَمَوَدَّتُهُ، لاَ يَبْقَيَنَّ فِي المَسْجِدِ بَابٌ إِلَّا سُدَّ إِلَّا بَابَ أَبِي بَكْرٍ
Maksudnya: “‘Sesungguhnya Allah memberi pilihan kepada seorang hamba di antara dunia, dan apa yang ada pada-Nya. Maka hamba tersebut memilih apa yang ada di sisi Allah.’ Abu Sa‘id al-Khudri berkata: Abu Bakar pun menangis. Kami merasa hairan atas sikapnya menangis hanya kerana Rasulullah mengkhabarkan tentang seorang hamba yang telah diberi pilihan. Ternyata Rasulullah SAW ialah hamba yang diberi pilihan dalam kisah itu. Abu Bakar merupakan orang yang paling berilmu dalam kalangan kami. Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya manusia yang paling banyak berkorban untukku dalam persahabatan dan hartanya ialah Abu Bakar. Sekiranya aku (boleh) mengambil khalil (sahabat rapat) selain tuhanku, nescaya aku akan menjadikan Abu Bakar sebagai khalil. Akan tetapi (antara kami ialah) ukhuwwah (persaudaraan) Islam dan kasih sayangnya (sesama muslim). Semua pintu hendaklah ditutup, kecuali pintu Abu Bakar’.”
Riwayat al-Bukhari (3654) dan Muslim (2382)
Syeikh Badruddin al-‘Aini berkata, yakni Allah SWT memberikan pilihan kepada Baginda SAW antara terus kekal hidup di dunia ini atau rehlah kembali ke akhirat. (Lihat Umdah al-Qari, 17/39)
Saidina Abu Bakr R.A menangis kerana beliau tahu bahawa hamba yang diberikan pilihan itu adalah Rasulullah SAW sendiri. Beliau sedih akan berlakunya perpisahan, terputusnya wahyu dan segala macam kebaikan yang selama ii berterusan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/150)
Berdasarkan dalil-dalil ini, jelaslah bahawa maklumat yang saudara peroleh tersebut adalah benar. Adapun bagaimana pilihan tersebut diberikan kepada para nabi, Allah SWT jua yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu tentang hal-hal ghaib. Semoga kita semua beroleh manfaat dari perbincangan ringkas ini.
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”