Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum jiran bela kucing dengan bau dan buang najis merata rata hingga menyeksa hidung jiran tetangga? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, kami katakan bahawa secara umumnya, memelihara kucing dengan tujuan yang dibenarkan oleh syarak seperti menghalau tikus dan haiwan perosak seumpamanya adalah diharuskan. Lebih-lebih lagi kucing dihukumkan sebagai suci (bukannya najis) dan merupakan haiwan yang sering berkeliaran di sekeliling manusia.

Ini kerana pada asasnya, hukum asal setiap haiwan itu adalah suci (yakni bukan najis) melainkan ada nas yang menunjukkan sebaliknya seperti kenajisan babi, anjing atau seumpamanya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan (yang hidup) itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226). Justeru, kucing termasuk dalam haiwan yang suci dan bangkainya pula tergolong dalam kategori najis sederhana.

Selain itu, kucing dianggap sebagai haiwan yang suci (bukan najis) kerana ia selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)

Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33).

Keduanya, dalam menjaga kebajikan haiwan peliharaan bagi sesiapa yang memeliharanya, jangan dilupakan juga tanggungjawab untuk menjaga kebersihan sehingga tidak mengganggu jiran tetangga yang lain. Dalam hal ini, keharmonian jiran tetangga termasuk dalam perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya.

Ini jelas sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya.”

Riwayat Muslim (46)

Al-Mulla Ali al-Qari mensyarahkan hadith di atas dengan menyebutkan, tidak akan masuk syurga bersama orang yang selamat, apabila jirannya tidak merasa aman daripada kejahatannya. Di dalamnya mengandungi mubalaghah (berlebih-lebihan/hiperbola); kerana menjadikan “tidak aman” daripada kerosakan/kemudaratan sebagai sebab untuk menafikan kemasukannya ke dalam syurga, apatah lagi jika benar-benar terjadi kemudaratan dan kejahatan (tersebut)? (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/3109).

Bahkan, Nabi SAW menasihatkan para sahabatnya agar berbuat baik kepada jiran tetangganya kerana sikap dan keperibadian seorang Muslim sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jirannya. Ini seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَأَحَسِنْ جِوَارَ مَنْ جَاوَرَكَ تَكُنْ مُسْلِمًا

Maksudnya: “Dan berbuat baiklah kepada jiranmu, nescaya kamu menjadi seorang Muslim sejati.

Riwayat Ibn Majah (4357)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan diharuskan untuk memelihara kucing bagi tujuan yang dibenarkan oleh syarak seperti menghalau tikus dan haiwan perosak seumpamanya. Sekalipun begitu, keharusan ini terikat selagi mana ia tidak mengganggu ketenteraman awam dan jiran tetangga. Dalam erti kata lain, janganlah disebabkan kita memelihara kucing, menyebabkan kawasan persekitaran rumah (meskipun kawasan rumah kita sendiri) berbau busuk sehingga mengganggu jiran tetangga.

Justeru, wajib ke atas diri kita untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya. Janganlah kerana tindakan kita sendiri yang tidak memberi perhatian pada soal kebersihan menjadikan hukum asalnya, yakni diharuskan untuk memelihara kucing berubah menjadi haram, disebabkan mengganggu atau menyakiti jiran tetangga. Sehubungan dengan itu, bagi mereka yang memelihara kucing, tidak kira di dalam rumah mahupun di luar rumah, sediakanlah tempat khas kucing-kucing itu buang air di satu ruangan khusus jauh daripada ruangan utama, di samping kerap kali membuang najis kucing di tempat pembuangannya (pasir khusus), yakni tidak membiarkan najis itu terlalu lama berada di tempat pembuangan tanpa terbuang, agar tidak timbulnya bau yang tidak menyenangkan sehingga ia mengganggu orang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Leave a Reply