Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah pembahagian fitnah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَن يَعْتَصِم بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Maksudnya“Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).”

(Surah Ali-Imran: 101)

Ibn Kathir ketika manafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: berpegang teguh kepada Allah dan bertawakal kepada-Nya adalah asas dalam petunjuk, persediaan untuk menjauhi kesesatan, jalan menuju kepada kebenaran, dan cara untuk mencapai matlamat yang diinginkan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/86)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa fitnah menurut al-Munawi ialah: ujian atau musibah yang menunjukkan perkara-perkara yang tersembunyi. Manakala, menurut Majid al-Kailani pula fitnah adalah: ujian yang boleh merosakkan akal, harta, atau menyesatkan dari kebenaran. (Lihat al-Tauqif ‘ala Muhimmat al-Ta’arif, hlm.257, Falsafah al-Tarbiahal-Islamiyyah, hlm.184)

Dinyatakan dalam Nudrah al-Na‘im fi Makarim Akhlak Rasul al-Karim (1/7) bahawa Adapun pembahagian fitnah, Ibn Qayyim menyebutkan: Fitnah ada dua jenis iaitu fitnah syubhat (keraguan) yang merupakan jenis fitnah yang lebih besar, dan fitnah syahwat (nafsu). Kedua-duanya boleh berlaku bersama pada seseorang, atau salah satu daripadanya sahaja atau boleh berlaku juga  secara berasingan. Perinciannya adalah sebagaimana yang berikut:

Jenis pertama: Fitnah syubhat (keraguan)

Ini berpunca daripada kelemahan dan kekurangan ilmu, terutama apabila digabungkan dengan niat yang rosak dan keinginan yang tidak baik. Fitnah ini akhirnya membawa kepada kekufuran dan kemunafikan, dan ia merupakan fitnah bagi para munafik serta pengikut bida‘ah, mengikut darjat bida‘ah mereka.

Fitnah ini boleh timbul daripada kefahaman yang salah, berita yang palsu, atau niat yang buruk dan hawa nafsu yang diikuti. Ia merupakan hasil daripada kebutaan dalam pengetahuan dan niat keinginan yang fasad. Tidak ada cara untuk selamat dari fitnah ini melainkan dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW  dan menjadikannya sebagai hakim dalam segala urusan agama, baik yang zahir mahupun yang batin.

Jenis kedua: Fitnah Syahwat

Nafsu yang menggoda kepada dosa dan perkara yang haram adalah banyak, seperti nafsu terhadap harta, nafsu terhadap perbuatan yang keji, nafsu terhadap minuman keras, nafsu terhadap hiburan, nafsu terhadap pembunuhan, dan lain-lain. Nafsu-nafsu yang pelbagai ini, termasuk nafsu terhadap harta dan makanan serta minuman, boleh membawa kepada kemewahan, kemalasan, dan kelemahan, serta ketidakmampuan untuk menahan diri daripada perkara-perkara yang merosakkan agama dan kehidupan dunia. Ia juga membawa kepada kecenderungan untuk mengejar perkara yang haram.

Apabila seseorang diberi kekayaan dan dapat memenuhi keinginannya terhadap nafsu-nafsu yang haram ini, maka kebolehan untuk menahan diri menjadi semakin sedikit. Jika seseorang diuji dengan banyak harta, terutamanya dengan kurangnya ilmu, kurangnya kebijaksanaan, kurangnya akal yang bijaksana, kekurangan teman yang baik yang dapat membimbing ke arah kebaikan, serta banyaknya orang yang tersesat dan yang membawa kepada sebab-sebab kebinasaan, maka bahaya akan meningkat dan musibah dalam agama akan bertambah. Allah SWT berfirman:

وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ

Maksudnya:  “Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.”

(Surah Hud:234)

Syeikh Abd Rahman al-Sa’di menyatakan bahawa: Mereka mengikuti apa yang mereka nikmati daripada kesenangan dan kemewahan, dan mereka tidak ingin menggantinya. Mereka adalah orang-orang yang zalim, dengan mengikuti apa yang mereka tenggelam dalam kemewahan tersebut, oleh itu layaklah bagi mereka menerima hukuman, dan azab menimpa mereka hingga mereka dibinasakan. Dalam hal ini, terdapat galakan untuk umat ini agar dalam kalangan mereka terdapat golongan yang memperbaiki kerosakan yang dilakukan oleh manusia, teguh dalam menjalankan agama Allah, menyeru orang-orang yang sesat ke jalan hidayah, bersabar atas gangguan daripada mereka, dan menyedarkan mereka daripada kesesatan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.391)

Selain tu juga, kemewahan mempunyai akibat yang buruk baik dalam pakaian, makanan, minuman, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya. Ia membawa kepada kesudahan yang berbahaya dengan melanggar larangan Allah, kelemahan dalam melaksanakan kewajipan yang Allah tetapkan, melanggar batasan, tidak mengambil peduli terhadap bahaya hukuman, serta kemurkaan Allah SWT. (Lihat Kitab Durus al-Syeikh Abd  ‘Aziz bin Baz, 13/3)

Sebagai kesimpulannya adalah pembahagian fitnah terbahagi kepada 2 bahagian iaitu fitnah syubhat yang boleh memberi kesan terhadap pegangan akidah seseorang itu dan fitnah syahwat yang melibatkan dosa dosa individu berkenaan dengan keinginan duniawi. Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim yang beriman hendaklah menangkis dan menghindari segala bentuk  fitnah yang mungkin memberi kesan buruk terhadap diri dan agama.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

 

Wallahu a‘lam

Leave a Reply