Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya baca di internet tentang ular al-Syuja‘ al-Aqra‘, katanya ia akan menyeksa orang yang tinggalkan solat. Boleh datangkan sumber hadith serta syarahnya berhubung pasal ular ini? Adakah betul ia akan menyeksa orang yang tidak solat seperti yang disebarkan di internet? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (42) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (43)

Maksudnya: “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” (42) Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”

(Surah al-Muddatthir: 42-43)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa hadith yang berlegar-legar dalam kalangan orang ramai tentang hukuman bagi orang yang meninggalkan solat, yang di dalamnya ada disebutkan tentang ular yang bernama al-Syuja‘ al-Aqra‘ yang menyeksa orang yang meninggalkan solat kerana lalai mengerjakannya, adalah hadith palsu dan tidak sahih daripada Rasulullah SAW.

Dikatakan bahawa hadith itu adalah sebagaimana berikut:

وَمَنْ تَهَاوَنَ عَنْ الصَّلَاةِ عَاقَبَهُ اللَّهُ بِخَمْسَ عَشْرَةَ عُقُوبَةً: خَمْسَةٌ فِي الدُّنْيَا، وَثَلَاثَةٌ عِنْدَ الْمَوْتِ، وَثَلَاثٌ فِي قَبْرِهِ، وَثَلَاثٌ عِنْدَ خُرُوجِهِ مِنْ الْقَبْرِ. فَأَمَّا اللَّوَاتِي فِي الدُّنْيَا: فَالْأُولَى تُنْزَعُ الْبَرَكَةُ مِنْ عُمْرِهِ، وَالثَّانِيَةُ تُمْحَى سِيمَا الصَّالِحِينَ مِنْ وَجْهِهِ، وَالثَّالِثَةُ كُلُّ عَمَلٍ يَعْمَلُهُ لَا يَأْجُرُهُ اللَّهُ عَلَيْهِ، وَالرَّابِعَةُ لَا يُرْفَعُ لَهُ دُعَاءٌ إلَى السَّمَاءِ، وَالْخَامِسَةُ لَيْسَ لَهُ حَظٌّ فِي دُعَاءِ الصَّالِحِينَ. وَأَمَّا الَّتِي تُصِيبُهُ عِنْدَ الْمَوْتِ، فَإِنَّهُ يَمُوتُ ذَلِيلًا، وَالثَّانِيَةُ يَمُوتُ جَائِعًا، وَالثَّالِثَةُ يَمُوتُ عَطْشَانًا وَلَوْ سُقِيَ بِحَارَ الدُّنْيَا مَا رُوِيَ مِنْ عَطَشِهِ. وَأَمَّا الَّتِي تُصِيبُهُ فِي قَبْرِهِ: فَالْأُولَى يَضِيقُ عَلَيْهِ الْقَبْرُ حَتَّى تَخْتَلِفَ أَضْلَاعُهُ، وَالثَّانِيَةُ يُوقَدُ عَلَيْهِ الْقَبْرُ نَارًا فَيَنْقَلِبُ عَلَى الْجَمْرِ لَيْلًا وَنَهَارًا، وَالثَّالِثَةُ يُسَلَّطُ عَلَيْهِ فِي قَبْرِهِ ثُعْبَانٌ اسْمُهُ الشُّجَاعُ الْأَقْرَعُ، عَيْنَاهُ مِنْ نَارٍ وَأَظْفَارُهُ مِنْ حَدِيدٍ طُولُ كُلِّ ظُفْرٍ مَسِيرَةُ يَوْمٍ يُكَلِّمُ الْمَيِّتَ فَيَقُولُ: أَنَا الشُّجَاعُ الْأَقْرَعُ، وَصَوْتُهُ مِثْلُ الرَّعْدِ الْقَاصِفِ يَقُولُ أَمَرَنِي رَبِّي أَنْ أَضْرِبَك عَلَى تَضْيِيعِ صَلَاةِ الصُّبْحِ إلَى بَعْدِ طُلُوعِ الشَّمْسِ، وَأَضْرِبَك عَلَى تَضْيِيعِ صَلَاةِ الظُّهْرِ إلَى الْعَصْرِ، وَأَضْرِبَك عَلَى تَضْيِيعِ صَلَاةِ الْعَصْرِ إلَى الْمَغْرِبِ، وَأَضْرِبَك عَلَى تَضْيِيعِ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ إلَى الْعِشَاءِ، وَأَضْرِبَك عَلَى صَلَاةِ الْعِشَاءِ إلَى الْفَجْرِ. فَكُلَّمَا ضَرَبَهُ ضَرْبَةً يَغُوصُ فِي الْأَرْضِ سَبْعِينَ ذِرَاعًا فَلَا يَزَالُ فِي الْقَبْرِ مُعَذَّبًا إلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَأَمَّا الَّتِي تُصِيبُهُ عِنْدَ خُرُوجِهِ مِنْ الْقَبْرِ فِي مَوْقِفِ الْقِيَامَةِ فَشِدَّةُ الْحِسَابِ وَسَخَطُ الرَّبِّ وَدُخُولُ النَّارِ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mengabaikan solat, maka Allah akan menghukumnya dengan lima belas hukuman; lima hukuman di dunia, tiga hukuman ketika mati, tiga hukuman di dalam kubur, dan tiga hukuman ketika keluar dari kubur. Adapun hukuman yang di dunia: pertama, dihilangkan keberkatan daripada umurnya; kedua, dihapuskan tanda orang soleh daripada wajahnya; ketiga, setiap amal yang dilakukan tidak mendapat pahala daripada Allah; keempat, doanya tidak diangkat ke langit; dan kelima, dia tidak mendapat bahagian dalam doa orang-orang yang soleh. Adapun hukuman yang menimpanya ketika mati: pertama, dia mati dalam keadaan hina; kedua, dia mati dalam kelaparan; dan ketiga, dia mati dalam keadaan dahaga yang tidak akan hilang walaupun diberi minum dari seluruh lautan dunia. Adapun hukuman yang menimpanya di dalam kubur: pertama, kuburnya menjadi sempit sehingga tulang rusuknya berselisih; kedua, dinyalakan api di dalam kuburnya dan dia dibalik-balikkan di atas bara siang dan malam; dan ketiga, diserahkan kepadanya seekor ular bernama al-Syuja‘ al-Aqra‘, matanya daripada api dan kukunya daripada besi, panjang setiap kuku sejauh perjalanan sehari. Ular itu berkata kepada mayat: ‘Aku ialah al-Syuja‘ al-Aqra‘,’ dan suaranya seperti guruh ribut. Ular itu berkata: ‘Tuhanku memerintahkanku untuk memukulmu kerana mengabaikan solat Subuh sehingga terbit matahari, dan memukulmu kerana mengabaikan solat Zuhur sehingga Asar, dan memukulmu kerana mengabaikan solat Asar sehingga Maghrib, dan memukulmu kerana mengabaikan solat Maghrib sehingga Isyak, dan memukulmu kerana mengabaikan solat Isyak sehingga Subuh.’ Setiap kali ular itu memukulnya dengan satu pukulan, dia terbenam ke dalam bumi sejauh tujuh puluh hasta. Dia terus diseksa di dalam kubur sehingga hari kiamat. Adapun hukuman yang menimpanya ketika keluar dari kubur di hari kiamat: pertama, perhitungan yang sangat berat; kedua, kemurkaan Tuhan; dan ketiga, masuk ke dalam api neraka.” (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba‘ir, 1/226-227).

Abu ‘Ammar Muhammad bin Abdullah Bamusa ada menyebutkan dalam kitabnya sebilangan ulama yang menilai dan menghukum hadith ini sebagai batil (palsu). Di antaranya ialah:

  1. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Lisan al-Mizan (5/294) no. (7853) menyebutkan: Ia adalah hasil rekaan Muhammad bin Ali bin ‘Abbas al-Baghdadi al-‘Attar, yang mendakwa bahawa Abu Bakar bin Ziyad al-Naisaburi mengambilnya daripada al-Rabi‘ daripada Imam al-Syafi‘i daripada Imam Malik daripada Sami daripada Abu Soleh daripada Abu Hurairah R.A yang memarfu‘kannya: (Sesiapa yang mengabaikan solatnya…) dan ini adalah jelas batil (palsu) daripada hadith-hadith rekaan.
  2. Al-hafiz al-Zahabi dalam al-Mizan (3/653) no. (7969).
  3. Al-Suyuti.
  4. Al-‘Iraqi dalam karya kedua-dua mereka berkenaan hadith-hadith palsu. al-Khutab al-Minbariyyah oleh al-Sudhan (3/127).
  5. Ibn ‘Iraq dalam Tanzih al-Syari‘ah (2/113-114) no. (94).
  6. ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah Ibn Baz dalam al-Tuhfah al-Karimah fi Bayan Ba‘dh al-Ahadith al-Dha‘ifah wa al-Saqimah (14) menyatakan: “Hukuman bagi mereka yang meninggalkan solat..,” adalah termasuk daripada hadith-hadith batil yang direka-reka ke atas Nabi SAW seperti yang dijelaskan oleh para hafiz daripada kalangan ulama seperti al-Hafiz al-Zahabi dan al-Hafiz Ibn Hajar dan selain mereka berdua. Kemudian beliau berkata: Bagaimana mungkin seorang Mukmin merelakan dirinya untuk menyebarkan hadith palsu, padahal telah sahih daripada Nabi SAW bahawa beliau bersabda (yang bermaksud): “Sesiapa yang meriwayatkan daripadaku satu hadith sedangkan dia tahu bahawa hadith itu adalah dusta maka dia termasuk salah seorang daripada kalangan pendusta.” Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Selain itu, beliau turut menyebutkan dalam al-Fatawa (1/97) dan (4/147): Hadith ini adalah palsu atas Nabi SAW, tidak ada asas yang menunjukkan ia adalah sahih seperti yang dijelaskan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Mizan dan al-Hafiz Ibn Hajar dalam Lisan al-Mizan. Ramai orang di banyak negara mencetak dan mengedarkan hadith ini kepada orang ramai, dengan tujuan untuk menunjukkan jenayah mereka yang meninggalkan solat! Beliau juga berkata: Sepatutnya bagi sesiapa yang mendapati kertas yang mengandungi hadith yang disebutkan itu, dia harus membakarnya dan menasihatkan orang yang mengedarkannya untuk membela Nabi SAW dan melindungi sunnahnya daripada kebohongan para pendusta. Apa yang terkandung dalam al-Quran yang agung dan sunnah yang sahih daripada Nabi SAW tentang betapa besarnya urusan solat dan peringatan daripada mengabaikannya serta ancaman kepada orang yang melakukan hal itu (yakni mereka yang mengabaikan solat) adalah sudah mencukupi. Dan tidak perlu lagi kepada kebohongan para pendusta.
  7. Al-Lajnah al-Da’imah (4/468-470) fatwa nombor (8689) menghukum hadith ini sebagai batil.
  8. Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam Majmu‘ Fatawa (12/75-76) menyebutkan: Hadith ini adalah rekaan yang direka-reka atas nama Rasulullah SAW. Jadi tidak halal bagi sesiapa untuk menyebarkannya kecuali dengan menjelaskan bahawa ia adalah palus supaya orang-orang sedar mengenainya — yakni berkenaan kepalsuan dan kebatilannya.
  9. Masyhur dalam Akhta’ al-Musallin (hlm. 447) dinyatakan: Hadith ini adalah batil.

Ini adalah sebagaimana dinukilkan dan disebutkan oleh Abu ‘Ammar Muhammad bin Abdullah Bamusa dalam Is‘af al-Akhyar bi ma Isytahara wa lam Yasih min al-Ahadith wa al-Athar wa al-Qisas wa al-Asy‘ar, 2/33-34).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa hadith yang menyebutkan tentang ular yang bernama al-Syuja‘ al-Aqra‘ yang menyeksa orang yang meninggalkan solat kerana lalai mengerjakannya, adalah hadith palsu dan tidak sahih daripada Rasulullah SAW.

Namun, di sana terdapat hadith sahih yang menybutkan tentang Syuja‘ Aqra‘ ini, tetapi ia bukanlah suatu hukuman buat mereka yang meninggalkan solat. Sebaliknya, ia berkenaan orang yang Allah SWT berikan harta kepadanya, namun dia tidak menunaikan zakatnya. Daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا، فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ، ثُمَّ يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ – يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ – ثُمَّ يَقُولُ أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ، ثُمَّ تَلاَ: (لَا يَحْسِبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ) الآيَةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang Allah SWT berikan harta kepadanya, namun tidak menunaikan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu akan dijelmakan menjadi seekor ular yang sangat berbisa, licin kulit kepalanya dan memiliki dua taring berbisa (atau dua titik hitam di atas kedua matanya). Ia akan membelitnya pada hari kiamat. Kemudian, ia akan mematuknya dengan kedua rahangnya (taringnya), lalu berkata: “Akulah  hartamu, akulah simpananmu.” Kemudian, Baginda membaca: “لَا يَحْسِبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ” (Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil…) (Surah Ali ‘Imran: 180).

Riwayat al-Bukhari (1403)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Leave a Reply