Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Hukum melakukan rawatan BBglow? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Rawatan BB glow

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu rawatan BB glow ini. Rawatan BB glow ialah prosedur invasif minima dan bukan pembedahan yang menggunakan pigmen berwarna yang sangat berkesan, diterapkan menggunakan jarum nano (sangat halus) atau jarum mikro untuk menembusi kulit. Ia merangsang peremajaan kulit dan pengeluaran kolagen. Serum BB glow menambah nutrien serta warna yang diingini pada kulit anda.

Rawatan ini membawa kepada pengurangan jeragat, kulit yang lebih cerah dan berseri, perubahan warna kulit yang berkurangan, tona kulit yang sekata, dan pengurangan kedutan dan garis halus. Ia adalah sejenis bentuk solekan separuh kekal yang boleh bertahan sehingga setengah tahun dengan jumlah rawatan dan penjagaan selepasnya yang betul.

Pakar terapi menggunakan pen jarum mikro (microneedling) dan serum Stayve putih dengan asas (foundation) di dalamnya untuk memberikan anda liputan segera, mengurangkan penampilan liang-liang, dan melicinkan garis halus serta kedutan. Serum ini mengandungi asid hialuronik untuk menjadikan kulit anda lebih bersinar dan lebih penuh serta vitamin C untuk merawat jeragat  dan hiperpigmentasi.

Serum ini juga merawat kulit anda dari dalam. Pakar terapi menggunakan pen jarum mikro untuk memasukkan asas (foundation) ke dalam kulit. Pen jarum mikro menggulung jarum-jarum kecil ke atas kulit yang menyebabkan trauma, memaksa badan masuk ke dalam mod pembaikan semula jadi, meningkatkan pengeluaran kolagen dan elastin. Pakar terapi boleh menyesuaikan kelajuan dan panjang jarum mengikut kawasan yang dirawat.

Pilihan warna BB glow Stayve yang tersedia termasuk Light (warna paling cerah untuk kulit normal), Light Rose (warna merah jambu cerah untuk kulit yang cerah), Medium (warna sederhana untuk kulit sederhana), Deep (warna gelap untuk kulit coklat atau gangsa), dan Deep Plus (warna untuk kulit yang sangat gelap).[1]

Hukum Rawatan BB Glow

Kami melihat prosedur rawatan BB glow ini sangat dekat/mirip bahkan mungkin sebahagian daripada rawatan yang menggunakan pen jarum mikro (microneedling). Berkenaan rawatan melalui prosedur microneedling, kami pernah menjawabnya dalam artikel kami dengan tajuk: #1583: Terapi Induksi Kolagen (microneedling).[2]

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Begitu juga sebagaimana yang kita ketahui, dalil yang sering kali dirujuk dan menjadi dasar dalam membahaskan berkenaan penentuan sama ada suatu prosedur rawatan kosmetik itu diharuskan ataupun tidak, adalah riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التَعْلِيلُ), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Oleh itu, berbalik kepada persoalan yang diajukan, secara umumnya kami melihat rawatan kecantikan melalui BB glow ini tujuannya adalah mengurangkan jeragat, menjadikan kulit lebih cerah dan berseri, mengurangkan kedutan dan garis halus agar tampak muda dan remaja. Prosedur ini dijalankan dengan menggunakan pen jarum mikro untuk memasukkan asas (foundation) ke dalam kulit. Pen jarum mikro menggulung jarum-jarum kecil ke atas kulit yang menyebabkan trauma, memaksa badan masuk ke dalam mod pembaikan semula jadi, meningkatkan pengeluaran kolagen dan elastin.

Di sana terdapat satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Soleh al-Fauzan dalam kitabnya:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Kemudian, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan, pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التَّغْيِيرُ المُؤَقَّت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Begitu juga Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali dalam persidangan mereka yang ke-18, di Putrajaya, Malaysia, dari 24-29 Jamadil Akhir 1428 Hijrah, bersamaan dengan 9-14 Julai 2007 khususnya berkaitan tajuk: “Al-Jirahah al-Tajmiliyyah wa Ahkamuha (Pembedahan Kosmetik dan hukum-hukumnya).” Di antara keputusan tersebut adalah tidak boleh melakukan pembedahan kosmetik yang tidak termasuk dalam rawatan perubatan dan bertujuan untuk mengubah kejadian yang asal (normal) kerana menurut hawa nafsu dan keinginan meniru orang lain seperti pembedahan mengubah bentuk muka supaya kelihatan dengan penampilan tertentu, atau bertujuan menipu dan menyelewengkan keadilan, mengubah bentuk hidung, membesarkan atau mengecilkan bibir, mengubah bentuk mata dan membesarkan tulang pipi.[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa prosedur rawatan BB glow ini adalah diharuskan sekiranya ada keperluan bagi melakukannya seperti untuk menghilangkan aib kerana kedutan yang berlebihan di wajahnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar, untuk tujuan rawatan seperti merawat liang yang membesar, mengembalikan rona kulit yang hilang akibat penuaan yang tidak normal dan seumpamanya.

Sekalipun begitu, ia juga terikat dengan syarat prosedur tersebut tidak memberikan mudharat kepada penerima rawatan tersebut dan bahan-bahan yang digunakan sebagai asas (foundation) atau dimasukkan ke dalam kulit semasa proses rawatan mesti diambil daripada bahan yang suci dan bukannya najis.

Adapun jika prosedur ini dilakukan untuk kecantikan tambahan semata-mata (tahsiniyyah), bukan untuk mengembalikan kecantikan kulit yang hilang akibat penuaan yang tidak normal kerana pemakanan yang tidak sihat, penyakit, kemalangan, dan hal-hal seumpamanya, atau terdapatnya penipuan bagi menghilangkan kedutan supaya dilihat lebih muda dari usianya yang sebenar, maka ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana dibimbangi ia termasuk dalam pengubahan yang diharamkan. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat).

Walau bagaimanapun, kami turut menasihatkan agar seseorang yang ingin mendapatkan rawatan BB glow ini, sebaiknya rujuklah terlebih dahulu pakar bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum melakukannya — yakni sama ada rawatan itu sesuai ataupun tidak buat mereka — bagi mengelakkan sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://rejuvenate.london/bb-glow. Diakses pada 31 Julai 2024.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1584-terapi-induksi-kolagen-microneedling/. Diakses pada 31 Julai 2024.

[3] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2283.html. Diakses pada 13 April 2023.

Leave a Reply