Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh jelaskan kepada kami apakah perkara yang dilarang keras oleh syarak dalam berjual beli ? dan  Apakah hukum bagi seseorang yang menjual arak atau babi walaupun dia tidak minum dan makan daripadanya. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Urusan jual beli di dalam Islam melibatkan 3 rukun yang utama:

  • Pihak yang melakukan akad, iaitu penjual dan pembeli.
  • Barang yang diakadkan, iaitu barang jualan dan wang yang dijadikan tukaran.
  • Lafaz akad, iaitu lafaz jual dan beli. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/323)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, syarak melarang keras mana-mana individu muslim daripada terlibat dalam jualan barang atau produk-produk yang melibatkan perkara-perkara yang haram seperti penjualan arak, Bangkai, Khinzir dan Berhala. Yang demikian sebagaimana  yang diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda pada pembukaan Makkah:

إنَّ اللَّهَ ورَسولَه حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ والمَيْتَةِ، والخِنْزِيرِ والأصْنامِ، فقِيلَ: يا رَسولَ اللَّهِ، أرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ؛ فإنَّها يُطْلى بها السُّفُنُ، ويُدْهَنُ بها الجُلُودُ، ويَسْتَصْبِحُ بها النّاسُ؟ فَقالَ: لا، هو حَرامٌ، ثُمَّ قالَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ عِنْدَ ذلكَ: قاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ؛ إنَّ اللَّهَ لَمّا حَرَّمَ شُحُومَها جَمَلُوهُ، ثُمَّ باعُوهُ، فأكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala.” Ditanyakan (oleh seseorang): “Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?” Nabi SAW bersabda: “Tidak boleh, itu  adalah haram.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: “Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.”

Riwayat Bukhari (2237)

Dalam hadith ini dinyatakan pengharaman jual beli empat jenis benda, iaitu: arak, bangkai, babi, dan patung-patung. Hikmah di sebalik larangan ini adalah kerana arak merosakkan akal dan merosakkan masyarakat. Bangkai pula adalah makanan yang kotor dan hanya mendatangkan mudarat serta penyakit. Babi pula dianggap sebagai haiwan yang tidak mempunyai rasa cemburu, jadi mereka yang memakannya akan menjadi seperti itu, yang merosakkan fitrah dan akhlak. Larangan jual beli benda-benda ini bertujuan untuk melindungi harta, kerana membelanjakan wang untuk perkara seperti ini adalah sia-sia. Agama Islam datang untuk melindungi lima perkara ini: akal, agama, tubuh badan, harta, dan akhlak. (Lihat Syarh Ahadith al-Ahkam, oleh Dr Salim al- ‘Ajmi, hlm.301)

Justeru berdasarkan hadith di atas, transaksi jual beli yang dilakukan yang melibatkan perkara-perkara yang diharamkan ini adalah tidak sah dan terbatal. Ini kerana ia dilarang keras oleh syarak sebagaimana yang dijelaskan dalam hadith di atas. Antara hikmah larangan syarak ini adalah bertujuan melindungi individu daripada sebarang kemudaratan baik pada akal, badan, akhlak, agama mahupun harta.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam

Leave a Reply