Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum berpuasa pada bulan Syaaban? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Berpuasa pada bulan Syaaban termasuk dalam perkara sunat. Begitu juga disunatkan untuk memperbanyakkan berpuasa di dalamnya. Selain itu terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Bahkan ada juga yang menceritakan bahawa Baginda SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ
Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda begitu banyak berpuasa berbanding bulan Syaaban.”
Riwayat al-Bukhari (1969) dan Muslim (1156)
Begitu juga riwayat daripada Ummu Salamah R.Anha, beliau berkata:
ما رَأيتُ رسولَ اللهِ صلّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ صامَ شهرَينِ مُتتابعَينِ، إلّا أنَّه كانَ يَصِلُ شعبانَ برمَضانَ
Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa selama dua bulan berturut-turut melainkan Baginda akan menyambung puasa Syaaban dengan Ramadhan.”
Riwayat al-Tirmizi (736), al-Nasa’ie (2352), Ibn Majah (1648) dan Ahmad (26562)
Sebahagian ulama menyebutkan, berpuasa pada bulan Syaaban seperti mana sunat rawatib yang dinisbahkan kepada solat-solat fardhu. Hal ini kerana ia seolah-olah mukadimah bagi bulan Ramadhan yakni seolah-olah sunat rawatib bagi bulan Ramadhan. Oleh yang demikian, disunatkan untuk berpuasa pada bulan Syaaban dan disunatkan juga untuk berpuasa enam hari dalam bulan Syawal seperti mana solat sunat rawatib sebelum solat fardhu dan selepasnya. Selain itu, puasa sunat pada bulan Syaaban juga mengandungi faedah dan manfaatnya. Di antaranya adalah untuk mempersiapkan diri dan membuat persediaan agar dirinya bersedia bagi menunaikan puasa di bulan Ramadhan. Dalam erti kata lain, dirinya akan lebih mudah untuk menunaikan puasa sebulan di bulan Ramadhan — kerana telah bersedia lebih awal lagi di bulan sebelumnya. (Lihat Fatawa al-Siyam li al-‘Uthaimin, hlm. 663)
Selain itu terdapat riwayat daripada Usamah bin Zaid, beliau telah bertanya kepada Rasulullah SAW:
يا رسولَ اللَّهِ ! لَمْ اَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا منَ الشُّهورِ ما تصومُ من شعبانَ؟ قالَ: ذلِكَ شَهْرٌ يَغفُلُ النَّاسُ عنهُ بينَ رجبٍ ورمضانَ، وَهوَ شَهْرٌ تُرفَعُ فيهِ الأعمالُ إلى ربِّ العالمينَ، فأحبُّ أن يُرفَعَ عمَلي وأَنا صائمٌ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku belum pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan daripada bulan-bulan yang lain, seperti mana engkau berpuasa dalam bulan Syaaban? Baginda menjawab: ‘Bulan ini dilalaikan oleh orang ramai, ia berada antara Rejab dan Ramadhan. Ia juga adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Maka aku suka amalanku diangkat, ketika itu aku sedang berpuasa’.”
Riwayat al-Nasa’ie (2357) dan Ahmad (21753)
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk memperbanyakkan puasa sunat dalam bulan Syaaban kerana nas yang sahih menunjukkan bahawa Baginda SAW sendiri memperbanyakkan puasa dalam bulan Syaaban ini. Tambahan lagi, di antara hikmah berpuasa pada bulan Syaaban juga adalah untuk mempersiapkan diri dari segi tubuh badan dan mental, agar lebih bersedia dan mudah untuk menunaikan puasa sebulan dalam bulan Ramadhan yang akan datang.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H