Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah keadaan orang kafir ketika dibangkitkan pada hari kiamat nanti?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ٱلْغَيْبَ إِلَّا ٱللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Seluruh makhluk di langit dan di bumi tidak mengetahui perkara ghaib selain Allah. Bahkan mereka juga tidak sedar bila mereka akan dibangkitkan’.”

(Surah al-Naml: 65)

Hari kebangkitan ini telah kami terangkan dalam artikel kami yang bertajuk: “Kebangkitan Semula Pada Hari Akhirat.” Hari kebangkitan ini tidak diketahui oleh sesiapa pun, meskipun dia adalah seorang nabi yang maksum. Syeikh Abu Muhammad ibn ‘Atiyyah berkata dalam al-Muharrar al-Wajiz (4/267), ayat ini diturunkan kerana orang-orang kafir banyak bertanya dan mendesak untuk tahu bilakah hari kiamat yang telah dijanjikan. Allah SWT mengkhabarkan bahawa tidak ada yang tahu waktu khusus tersebut melainkan Dia, maka ia datang dengan lafaz umum yang ditujukan kepada semua orang. Allah mengkhabarkan kepada umat manusia bahawa mereka sendiri tidak akan sedar bila mereka akan dibangkitkan. Ini jugalah hujah yang digunakan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha seraya berkata:

وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يُخْبِرُ بِمَا يَكُونُ فِي غَدٍ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللَّهِ الْفِرْيَةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengatakan bahawa dia mengetahui apa yang akan terjadi pada esok hari, maka sungguh dia telah melakukan pendustaan yang besar kepada Allah Azza wa Jalla.”

Riwayat Muslim (177)

Berkenaan persoalan yang saudara ajukan, keadaan manusia itu berbeza-beza apabila dibangkitkan kelak. Adapun sisi persamaan pada keadaan kesemua mereka, manusia kelak akan dibangkitkan pada awalnya dalam keadaan tidak berpakaian dan belum bersunat. Beginilah yang diriwayatkan dalam hadith Abdullah bin ‘Abbas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

خَطَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مَحْشُورُونَ إِلَى اللَّهِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا، ثُمَّ قَالَ: {كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَا ۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ} إِلَى آخِرِ الآيَةِ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا! وَإِنَّ أَوَّلَ الخَلاَئِقِ يُكْسَى يَوْمَ القِيَامَةِ إِبْرَاهِيمُ

Maksudnya: “‘Wahai manusia! Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan di hadapan Allah dalam keadaan tanpa alas kaki, bertelanjang dan tidak bersunat.’ Kemudian Baginda membaca:

كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَا ۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ

(Maksudnya: Sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.) [Surah al-Anbiya’: 104] Kemudian Baginda bersabda: ‘Ketahuilah! Sesungguhnya makhluk pertama yang diberikan pakaian pada Hari Kiamat ialah Nabi Ibrahim’.”

Riwayat al-Bukhari (4625) dan Muslim (2860)

Keadaan Orang Kafir

Pastinya keadaan orang Islam dan orang kafir itu mempunyai perbezaan ketika dibangkitkan kelak. Banyak nas-nas syara‘ yang mengisahkan kepada kita tentang kengerian hari kiamat serta musibah besar yang bakal menimpa golongan Kafir. Ketika mana mereka bangkit keluar daripada kubur, diceritakan dalam firman Allah SWT:

يَوْمَ يَخْرُجُونَ مِنَ ٱلْأَجْدَاثِ سِرَاعًۭا كَأَنَّهُمْ إِلَىٰ نُصُبٍۢ يُوفِضُونَ (٤٣) خَـٰشِعَةً أَبْصَـٰرُهُمْ تَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌۭ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْيَوْمُ ٱلَّذِى كَانُوا۟ يُوعَدُونَ (٤٤)

Maksudnya: “Iaitu pada hari mereka keluar dari kubur dan bergegas pergi seolah-olah berkejaran ke suatu papan tanda. (43) Pandangan mereka tunduk dan diselubungi kehinaan. Itulah hari yang telah dijanjikan kepada mereka. (44)”

(Surah al-Ma‘arij: 43-44)

Syeikh ‘Umar Sulaiman al-Asyqar, nas ini menggambarkan satu keadaan yang tergesa-gesa semasa mereka keluar dari kubur pada hari kiamat, menuju ke arah satu suara, sepertimana dahulu mereka bersegera menuju ke arah berhala-berhala yang mereka sembah di dunia. Akan tetapi, pada hari tersebut mereka bukan menuju ke sana dalam keadaan gembira, girang dan angkuh sebagaimana sebelum ini. Bahkan mereka pada hari tersebut dalam keadaan yang hina, pandangan mereka gerun, dijadikan keadaan mereka sepertimana yang telah Allah SWT janjikan semasa di dunia. (Lihat al-Qiyamah al-Kubra, hlm. 120)

Allah SWT juga berfirman di dalam ayat yang lain bahawa golongan Kafir yang mensyirikkan-Nya ini akan merasakan betapa sukarnya hari kiamat itu buat mereka:

فَتَوَلَّ عَنْهُمْ ۘ يَوْمَ يَدْعُ ٱلدَّاعِ إِلَىٰ شَىْءٍۢ نُّكُرٍ (٦) خُشَّعًا أَبْصَـٰرُهُمْ يَخْرُجُونَ مِنَ ٱلْأَجْدَاثِ كَأَنَّهُمْ جَرَادٌۭ مُّنتَشِرٌۭ (٧) مُّهْطِعِينَ إِلَى ٱلدَّاعِ ۖ يَقُولُ ٱلْكَـٰفِرُونَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَسِرٌۭ (٨)

Maksudnya: “Oleh itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan). Dan nantikan saat ketika mereka diseru oleh malaikat kepada perhimpunan hari kiamat yang dahsyat lagi menakutkan. (6) Pandangan mereka tertunduk ketakutan ketika mereka bangkit keluar beramai-ramai dari kubur seperti sekumpulan belalang yang berterbangan. (7) Mereka bergegas menuju ke suara penyeru itu. Orang kafir berkata: ‘Hari ini adalah hari yang sukar.’ (8)”

(Surah al-Qamar: 6-8)

Disebabkan keangkuhan mereka dengan mensyirikkan Allah SWT itulah, maka Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk membiarkan sahaja mereka itu dalam kekufuran sehinggalah tiba hari kiamat. Pada hari tersebut, ketika ada suara yang menyeru mereka kepada sesuatu yang dahulunya didustakan, mereka berkata: “Ini hari yang sukar.” Mereka sifatkan sebagai hari yang sukar kerana dahsyatnya kengerian dan kegelisahan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/441)

Orang Kafir juga akan mencela diri mereka sendiri dan berasa duka apabila ditiup sangkakala. Tidakkah kita melihat bagaimana Allah SWT gambarkan keadaan mereka apabila dibangkitkan:

وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ ٱلْأَجْدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنسِلُونَ (٥١) قَالُوا۟ يَـٰوَيْلَنَا مَنۢ بَعَثَنَا مِن مَّرْقَدِنَا ۜ ۗ هَـٰذَا مَا وَعَدَ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَصَدَقَ ٱلْمُرْسَلُونَ (٥٢)

Maksudnya: “Lalu ditiupkan sangkakala yang kedua, maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing untuk menghadap Tuhan mereka. (51) Pada ketika itu, orang yang tidak percayakan hari kebangkitan berkata: ‘Alangkah celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?’ Lalu dikatakan kepada mereka: ‘Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh para rasul’. (52)”

(Surah Yasin: 51-52)

Imam Ibn Kathir menukilkan sebuah kisah tentang seorang hakim yang dikelilingi oleh para sahabatnya, ketika mana dia mengalirkan air mata apabila ayat ini dibacakan. Kemudian dia berkata: “Kedahsyatan dan kengerian hari kiamat ini sungguh tidak terbayang oleh akal. Demi Allah, jika mereka berada dalam keadaan tertidur seperti yang zahir dari ucapan mereka, tidaklah mereka akan mencela diri sendiri saat pertama kali dibangkitkan, sedangkan ketika itu mereka belum lagi dibentangkan setiap amalan atau diadili tetapi mereka telah menyaksikan suatu bahaya besar. Benarlah bahawa kiamat itu mengandungi banyak perkara besar.” (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/303)

Al-Quran juga memberitahu kepada kita bagaimana mata gementar itu, iaitu mata terbeliak dan tidak berkelip, dalam keadaan hati mereka tidak tenang. Firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱللَّهَ غَـٰفِلًا عَمَّا يَعْمَلُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍۢ تَشْخَصُ فِيهِ ٱلْأَبْصَـٰرُ (٤٢) مُهْطِعِينَ مُقْنِعِى رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ ۖ وَأَفْـِٔدَتُهُمْ هَوَآءٌۭ (٤٣)

Maksudnya: “Janganlah engkau sangka wahai Muhammad bahawa Allah lalai daripada memerhatikan apa yang dilakukan orang-orang zalim. Allah hanya melewatkan azab mereka sehingga ke hari yang menyebabkan mata-mata mereka terbeliak kerana ketakutan. (42) Mereka menyahut panggilan ke Padang Mahsyar dengan tergesa-gesa, sambil mendongakkan kepala mereka dengan tergamam. Mata mereka tidak berkelip dan hati mereka kosong. (43)”

(Surah Ibrahim: 42-43)

Mata-mata mereka melilau tanpa berkelip, mereka terus melihat dan tidak berkelip walau sesaat kerana banyaknya kedahsyatan yang berlaku, banyak berfikir dan terlalu takut terhadap apa yang bakal menanti mereka. Moga Allah SWT melindungi kita semua dari keadaan begini. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/442)

Orang-orang Kafir pada hari kiamat nanti juga akan berada dalam keadaan yang ngeri, sepertimana firman-Nya:

يَوْمَ تُبَدَّلُ ٱلْأَرْضُ غَيْرَ ٱلْأَرْضِ وَٱلسَّمَـٰوَٰتُ ۖ وَبَرَزُوا۟ لِلَّهِ ٱلْوَٰحِدِ ٱلْقَهَّارِ (٤٨) وَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍۢ مُّقَرَّنِينَ فِى ٱلْأَصْفَادِ (٤٩) سَرَابِيلُهُم مِّن قَطِرَانٍۢ وَتَغْشَىٰ وُجُوهَهُمُ ٱلنَّارُ (٥٠)

Maksudnya: “Pada hari yang mana bumi dan langit diubah menjadi bumi dan langit yang lain. Pada hari tersebut, manusia berhimpun beramai-ramai di hadapan Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa. (48) Pada hari tersebut, kamu wahai Muhammad akan melihat orang-orang yang melakukan dosa diikat sesama mereka dengan belenggu. (49) Pakaian mereka diperbuat daripada tar yang cepat panas dan mudah terbakar. Muka-muka mereka pula diselimuti api. (50)”

(Surah Ibrahim: 48-50)

Allah SWT menjelaskan di sini bahawa tangan dan kaki orang Kafir kelak akan terbelenggu pada leher mereka, diikat dengan rantai. Mereka diberikan pakaian yang diperbuat dari tar yang biasa digunakan pada unta apabila ia menghidap penyakit kudis. Tar ini amat panas sehingga boleh mencederakan kulit, dan ia dijadikan pakaian sebelum mereka masuk ke dalam neraka sebagai permulaan azab sehinggalah mereka jatuh ke dalam api. Muka mereka pula akan dijilat api sehingga membakarnya, dan ini sebagai balasan terhadap dosa-dosa yang mereka lakukan semasa di dunia. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 17/52-57; al-Tahrir wa al-Tanwir, 13/253)

Orang yang mensyirikkan Allah SWT ini kelak akan bangkit dalam keadaan putus asa dan hilang pengharapan, sehingga lebih sanggup dibinasakan dan dijadikan tanah yang tidak bernyawa sahaja. Manakan hati tidak berasa demikian, setelah diyakini setiap kesalahan mereka pasti tidak akan dimaafkan. Firman Allah SWT:

وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ يُبْلِسُ ٱلْمُجْرِمُونَ

Maksudnya: “Dan pada hari berlakunya kiamat, orang-orang yang berdosa akan membisu serta berputus asa.”

(Surah al-Rum: 12)

Kata pengarang Tafsir al-Jalalain (hlm. 532), orang Musyrikin ketika itu putus ada dan hilang pengharapan kerana tidak ada lagi hujah balas. Orang-orang Kafir ini berkata sebagaimana yang direkodkan dalam al-Quran:

وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَابًا

Maksudnya: “Dan orang yang kafir akan berkata (pada hari kiamat): ‘Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)’.”

(Surah al-Naba’: 40)

Orang kafir pada hari itu berkhayal seandainya dirinya sewaktu di dunia berupa tanah dan bukan makhluk serta tidak dikeluarkan ke alam wujud, itu adalah lebih baik buat mereka. Demikian itu terjadi ketika dia menyaksikan azab Allah terpampang di hadapannya dan dia melihat semua amal perbuatannya yang telah dicatat oleh para malaikat juru tulis amal perbuatan, yang semuanya mulia lagi bertakwa. Semua amal perbuatannya penuh dengan kerosakan dan dosa-dosa. (Lihat Mahasin al-Ta’wil, 17/37)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami ringkaskan semula beberapa keadaan yang akan dihadapi orang Kafir pada hari kiamat kelak:

  • Tergesa-gesa semasa mereka keluar dari kubur.
  • Bangkit dalam keadaan yang hina.
  • Tampak pada pandangan mata mereka kegerunan dan ketakutan.
  • Mata mereka melilau dalam keadaan terbeliak dan tidak berkelip kerana ketakutan itu.
  • Merasakan betapa sukarnya hari kiamat.
  • Tangan dan kaki akan terbelenggu pada leher mereka, diikat dengan rantai.
  • Diberikan pakaian diperbuat dari tar yang panas dan membakar kulit.
  • Muka mereka akan dijilat api.
  • Mereka akan putus asa untuk kehidupan akhirat.
  • Mereka akan berharap untuk dijadikan tanah sahaja agar tidak dihitung amalannya.

Inilah beberapa keadaan yang digambarkan oleh syara‘ kepada kita tentang perihal orang-orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan menjadikan Islam sebagai agama anutan mereka. Semoga kita semua sentiasa dipelihara oleh Allah SWT, diteguhkan atas keimanan dan kembali kepada-Nya di atas agama fitrah ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْيِينَا بِالْإِيمَانِ وَأَمِتْنَا بِالْإِيمَانِ وَاحْشُرْنَا بِالْإِيمَانِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Ya Allah, hidupkanlah kami dengan iman, matikanlah kami dalam iman, bangkitkanlah kami dalam iman dan masukkanlah kami ke dalam Syurga dengan keimanan.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply