Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah perbuatan bersumpah dengan nama nenek moyang adalah perkara yang ditegah oleh syarak? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi, kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.”

(Surah al-Maidah: 89)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat  ini beliau menyatakan bahawa: Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, iaitu sumpah yang diucapkan tanpa niat atau tujuan, atau sumpah yang diucapkan dengan menyangka ia benar, tetapi ternyata sebaliknya. Allah SWT menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu ikat dengan sungguh-sungguh, iaitu sumpah yang kamu azamkan dan niatkan dalam hati kamu (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.242)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa syarak melarang seseorang bersumpah melainkan dengan nama Allah atau sifat-sifat-Nya  bahkan sesiapa yang bersumpah selain daripada-Nya dia dihukumkan telah melakukan syirik dan terjatuh dalam kekufuran. Larangan ini boleh difahami melalui sebuah hadith sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

ألا إنَّ اللَّهَ يَنْهاكُمْ أنْ تَحْلِفُوا بآبائِكُمْ، فمَن كانَ حالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، وإلّا فَلْيَصْمُتْ

Maksudnya: “Ketahuilah, sesungguhnya Allah melarang kamu daripada bersumpah dengan nama bapa-bapa kamu maka, sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (6108) dan Muslim (1646)

Hadith ini menunjukkan bahawa: Rasulullah SAW sangat cakna dalam menolak kemungkaran; kerana ketika beliau mendengar kemungkaran tersebut, beliau segera memanggil mereka dan tidak membiarkannya berlalu. Pada zahirnya, Nabi SAW memanggil mereka dari jarak jauh dan tidak menunggu untuk sampai kepada mereka dan bercakap dengan cara biasa, tetapi Baginda segera memanggil mereka dan memberitahu mereka apa yang diwahyukan oleh Allah mengenai larangan tersebut. (Lihat Syarh Ahadith al-Ahkam, oleh Dr Salim al- ‘Ajmi, hlm. 411)

Begitu juga Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ كَفَرَ أَوْ أَشْرَكَ ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah dengan yang selain daripada Allah, maka sesungguhnya dia telah kafir atau syirik.”

Riwayat Abu Dawud (3251), al-Tirmizi (1535) dan Ahmad (6072).

Al-Syaukani menjelaskan bahawa ungkapan ‘kafir’ atau ‘syirik’ dalam hadith di atas adalah bagi menjelaskan kesungguhan dari segi celaan dan teguran dalam hal bersumpah itu. (Lihat Nail al-Autar, 8/261)

Justeru berdasarkan hadith-hadith yang dibawakan di atas, jelaslah kepada kita bahawa seseorang tidak boleh bersumpah dengan nama nenek moyang sepertimana adat kebiasaan  yang dilakukan oleh golongan Jahiliyyah. Namun, sebarang sumpah yang dilafazkan hendaklah disandarkan hanya dengan nama-nama atau sifat-sifat Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Wallahua‘lam

Leave a Reply