Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah berwuduk atau mandi wajib dalam kolam renang awam? Guna air tersebut untuk mengangkat hadas? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa kewajipan mengambil wuduk adalah ketika hendak mendirikan solat pada masa yang sama dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, secara umumnya, air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh jenis iaitu air hujan, air laut, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. Dalam erti kata lain, semua jenis air ini dikira sebagai air tahur (الطَّهُورُ) iaitu air yang suci lagi menyucikan, yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. Semua air itu dikatakan air mutlak. Ini kerana air tersebut sukar untuk dielakkan daripada perkara-perkara tersebut. Seterusnya, makna ia suci pada dirinya ialah jika ia terkena benda lain, benda itu tidak menjadikannya najis, manakala maksud menyucikan pula ialah mengangkat hadas dan menghilangkan najis.

Oleh kerana itu, tidak dinamakan sebagai tahur (الطَّهُورُ) jika air itu telah digunakan dalam kewajipan bersuci seperti kali pertama dalam wuduk atau mandi atau digunakan untuk menghilangkan najis sekalipun ia dimaafkan kerana ia tidak menyucikan yang lain. Begitu juga halnya air yang telah berubah salah satu sifatnya dengan sesuatu yang bersih, tidak lagi dinamakan sebagai tahur (الطَّهُورُ).

Kemudian air tahir (الطَّاهِرُ) atau musta‘mal ialah air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain. Jumlahnya sedikit, kerana tidak ada perubahan pada sifat-sifatnya dengan najis dan tidak ada najis yang mengenainya. Akan tetapi, air tersebut telah digunakan dalam kewajipan bersuci atau sunat bersuci seperti berkumur-kumur, memperbarui wuduk, mandi sunat, atau menghilangkan najis. Jika air tidak mengalami perubahan atau penambahan berat, maka ia tetap dianggap tahir (الطَّاهِرُ). Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Allah SWT telah menciptakan air yang suci lagi menyucikan (air tahur), tidak ada yang menjadikannya najis kecuali yang mengubah rasanya, baunya atau warnanya.” Jika air itu mengalami perubahan pada rasanya, baunya, atau warnanya yang signifikan sehingga ia tidak lagi disebut sebagai air mutlak dengan percampuran dengan sesuatu yang bercanggah dengan sifat air atau salah satu daripada sifatnya seperti bercampur dengan tar (قَطْرَان), maka air itu tidak lagi sah bersuci dengannya.

Jika air musta‘mal ini banyak, mencapai jumlah sebanyak dua qullah, maka ia menjadi air tahur mengikut pendapat yang paling sahih (asah). Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW: “Jika air berjumlah dua qullah, maka ia tidak membawa kotoran mahupun menjadi najis.” Oleh itu, air dua qullah itu tidak menjadi najis dengan sebab bersentuhan dengan najis, kecuali jika terjadi perubahan yang signifikan pada sifat-sifatnya, maka air tersebut menjadi najis menurut kesepakatan ulama. Perubahan ini sama ada secara hissi atau boleh juga secara taqdiri, yakni terdapat cairan najis yang sama dengan sifat-sifat air seperti air kencing yang telah kehilangan baunya.

Jika perubahan ini hilang dengan sendirinya atau melalui campuran air yang bersih, maka ia adalah suci, disebabkan telah hilang kenajisannya. Namun, jika perubahan ini hilang melalui kasturi, za‘faran atau tepung, maka air itu tidak dianggap menjadi suci. Begitu juga ia tidak dikira menjadi suci mengikut pendapat yang azhar, jika ia mengalami perubahan dengan tanah atau kapur. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79-82; al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).

Oleh yang demikian, kami katakan bahawa kebiasaannya kolam renang awam mencapai jumlah/ukuran dua qullah. Jadi, air kolam renang ini kekal dianggap mutlak sebagaimana sifat asalnya meskipun terjatuh najis ke dalamnya selagi mana tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW ketika ditanya tentang air di padang pasir yang sering didatangi oleh binatang buas dan binatang-binatang lain, Baginda bersabda:

إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

Maksudnya:Apabila air itu cukup dua qullah, ia tidak kotor.

Riwayat Abu Daud (63), al-Tirmizi (67), al-Nasa’i (52), Ibn Majah (517), Ibn Hibban (4/57), al-Hakim (1/224) dan Ahmad.

Dalam riwayat Abu Daud dengan lafaz:

فَإِنَّهُ لاَ يَنْجُسُ

Maksudnya: “Sesungguhnya air itu tidak menjadi najis.

Riwayat Abu Daud (65)

Keduanya, kami juga melihat timbulnya persoalan berkenaan kesahan wuduk dan mandi wajib berkemungkinan kerana air kolam renang biasanya dimasukkan klorin. Klorin ialah bahan kimia yang penting untuk beberapa proses penulenan air, nyahjangkitan, dan dalam pelunturan. Ozon boleh juga digunakan untuk membunuh bakteria, dan ia lebih disukai oleh kebanyakan majlis perbandaran untuk digunakan dalam minuman kerana ozon tidak membentuk sebatian organoklorin dan tidak tertinggal dalam air selepas rawatan.

Klorin juga digunakan secara meluas dalam pembuatan produk sehari-harian.

  • Digunakan (dalam bentuk asid hipoklorus ) untuk membunuh bakteria dan mikrob-mikrob daripada bekalan minuman dan kolam renang. Begitupun, kebanyakan bekalan air kecil-kecilan sekarang ini diklorinkan secara rutin.
  • Digunakan secara meluas di dalam pembuatan kertas, antiseptik, barangan pewarna, makanan, racun serangga, cat lukisan, produk-produk petroleum, plastik, ubat-ubatan, tekstil, pelarut, dan banyak produk pengguna yang lain.[1]

Pada asasnya, air yang bercampur dengan klorin adalah suci, kerana termasuk ke dalam air yang bercampur dengan sesuatu yang suci seperti kiambang, teratai dan lain-lain. Air ini harus untuk digunakan dalam urusan-urusan adat dan juga ibadah. Ini kerana klorin adalah suatu bahan yang suci. Apatah lagi, percampuran ini tidak mengubah rasa, bau dan warna air. Kalau berubah sekalipun, berubah dengan sesuatu yang suci. Perubahan yang sedikit itu, tidak menjadikan air itu najis mahupun mutanajjis. Selain itu, kebiasaannya perubahan air yang disebabkan oleh klorin tidak menyebabkan air menjadi rosak.

Di sana terdapat riwayat daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah R.Anha, katanya:

دَخَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ تُوُفِّيَتِ ابْنَتُهُ، فَقَالَ: اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا، أَوْ خَمْسًا، أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ، بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الآخِرَةِ كَافُورًا – أَوْ شَيْئًا مِنْ كَافُورٍ – فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي، فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَعْطَانَا حِقْوَهُ، فَقَالَ: أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ تَعْنِي إِزَارَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menemui kami ketika kewafatan puterinya, lalu bersabda: ‘Mandikannya sebanyak tiga atau lima kali atau lebih sekiranya engkau rasakan perlu, dengan menggunakan air serta daun bidara dan pada akhirnya letakkannya kapur barus (wangian) –  atau sesuatu daripadanya – (syak perawi). Apabila sudah selesai, beritahu kepadaku.’ Ketika kami sudah selesai kami memberitahu Baginda, lalu Baginda memberikan kepada kami kainnya dan bersabda: ‘Pakaikanlah kepadanya,’ iaitu kainnya.

Riwayat al-Bukhari (1253)

Dr. Basri bin Ibrahim menyebutkan, dalam hadith di atas ini, Rasulullah SAW memerintahkan mereka untuk memandikan jenazah anak perempuannya dengan air yang bercampur dengan daun bidara dan kapur barus. Keduanya adalah tumbuhan yang berbau harum. Ini membuktikan keharusan menggunakan air yang berubah dengan sesuatu yang suci, yang tidak mengeluarkannya daripada kesucian air tersebut dan nama mutlak yang terdapat padanya. (Lihat Isu-Isu Fiqh Halal dan Haram Semasa, 1/218).

Oleh kerana itu, air yang bercampur dengan sedikit klorin masih lagi dikira suci, sehinggakan ia boleh digunakan untuk berwuduk, minum, mandi dan lain-lain. Apatah lagi, tujuan klorin itu dimasukkan bukanlah bagi mengubah kemutlakan air tersebut lalu menyandarkannya kepada air yang lain, tetapi sebaliknya ia dimasukkan bagi tujuan menjamin sumber air bersih.  Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa sekiranya bahan yang tercampur dalam air itu sedikit, misalnya seperti za‘faran lalu air menjadi sedikit kuning, atau sabun atau tepung sehingga air menjadi putih sedikit, dan hal itu tidak disandarkan kepada perubahannya, maka pendapat yang sahih adalah air itu tetap dianggap sebagai tahur (suci lagi menyucikan) kerana penamaannya masih tetap disebut air (mutlak). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/103).

Begitu juga turut dinyatakan dalam Qurrah al-‘Ain bi Fatawa Isma‘il al-Zain (hlm. 47) bahawa perubahan air dengan benda keruh dan benda-benda suci lain tidak dapat merosakkan kesucian air meskipun baunya berubah. Air tersebut tetap kekal sebagai air yang suci lagi menyucikan sebagaimana asalnya. Jika benda yang dicampurkan ke dalamnya dengan tujuan untuk membersihkan atau mensterilkannya (daripada kuman/mikrob) dan bukannya untuk menyucikannya, maka hal itu dibolehkan dengan syarat benda-benda yang dimasukkan atau digunakan bagi tujuan tersebut bukan najis. Justeru, air tersebut boleh digunakan untuk berwuduk mahupun digunakan untuk bersuci yang lain (seperti mandi, membersihkan najis dan lain-lain) sama ada sebelum disterilkan atau selepasnya.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa diharuskan dan tidak mengapa untuk berwuduk dan mandi wajib dengan menggunakan air daripada kolam renang awam yang mengandungi klorin serta sah bersuci dengannya sebagaimana penggunaan air paip dan air-air seumpamanya  Hal ini kerana klorin adalah suci dan tidak menjadikan air rosak mahupun najis. Begitu juga kerana air kolam renang awam biasanya ukuranya mencapai dua qullah, dan ia kekal dianggap mutlak sebagaimana sifat asalnya meskipun terjatuh najis ke dalamnya selagi mana tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa dengan najis.

Meskipun begitu, jika terdapatnya air mutlak lain yang dapat digunakan untuk berwuduk dan mandi wajib seperti air paip dan air-air lain seumpamanya, maka sebaik-baiknya dahulukan dahulu penggunaan air tersebut.

Kami juga mengambil kesempatan di sini mengatakan bahawa penggunaan klorin dalam sumber air bersih pada masa sekarang adalah seperti ‘umum al-balwa.[2] Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang. Hal ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan.

Lebih-lebih lagi, pada masa kini, penggunaan klorin dalam kuantiti yang bersesuaian di dalam air bersih adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Bahkan ia sudah menjadi satu keperluan negara. Pihak berkuasa melihat perkara ini perlu dilakukan, demi menjamin sumber air bersih kepada rakyat, air tersebut tidak mengandungi kuman atau mikrob yang boleh mengancam kesihatan mereka. Oleh itu, rata-rata sumber air sekarang yang dibekalkan kepada rakyat atau masyarakat awam melalui paip-paip air mengandungi kuantiti klorin tertentu yang bersesuaian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Klorin. Diakses pada 7 November 2023.

[2] Iaitu sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku serta sukar dielakkan.

Leave a Reply