Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan tentang kisah datuk Nabi SAW, iaitu Abdul Muttalib yang beri nama Muhammad dan buat kenduri utk kelahiran Nabi?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ
Maksudnya: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: ‘Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad.’
(Surah Saff: 6)
Ibn Kathir menjelaskan: Nabi Isa berkata kepada Bani Israil, “Kitab Taurat telah memberi khabar gembira akan kenabianku dan aku sesuai lagi benar dengan apa yang dikhabarkan. Aku memberi khabar gembira akan kenabian yang datang sesudahku Dia adalah Rasul, Nabi yang ummi (buta huruf), orang Arab, orang Makkah, iaitu Ahmad.”
Nabi Isa AS adalah nabi terakhir dan penutup para nabi Bani Israil. Dia tinggal di kalangan Bani Israil dan memberi khabar gembira akan kenabian Nabi Muhammad, penutup para Nabi dan Rasul yang tidak ada risalah dan kenabian setelahnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/109)
Al-Syaukani berkata: Ahmad merupakan nama lain bagi Nabi kita, Muhammad. Ia bermaksud yang lebih terpuji dan kebaikan baginda yang melebihi orang lain.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/221)
Berkenaan persoalan di atas, selepas dilahirkan, ibunya menyerahkan dia kepada datuknya, Abdul Muttalib. Abdul Muttalib menggendongnya dan membawa dia masuk ke dalam Ka’bah. Apabila hari ketujuh tiba, beliau menyembelih kambing dan menjemput masyarakat Quraisy. Setelah mereka selesai makan, mereka bertanya, “Wahai Abdul Muttalib, apakah nama anakmu yang menjadi sebab kamu menjemput kami?”
Abdul Muttalib berkata, “Aku telah menamakan dia Muhammad.”
Mereka bertanya lagi, “Bagaimana engkau dapat menamakan anakmu dengan nama yang bukan dari datukmu dan juga bukan nama yang biasa dikenali dalam kalangan kaummu?”
Abdul Muttalib menjawab, “Aku berharap agar seluruh penduduk bumi memujinya, begitu juga penduduk langit.”
Nama Muhammad merupakan nama yang jarang ditemui dalam kalangan Arab Jahiliah, kecuali bagi segelintir orang tua yang mengetahui bahawa Nabi akhir zaman akan bernama Muhammad. Mereka berharap anak mereka akan menjadi nabi, oleh itu mereka menamakan anak mereka Muhammad.
Selain itu, Allah SWT menjaga setiap individu yang bernama Muhammad pada waktu itu daripada mengaku sebagai nabi, atau orang lain menganggapnya sebagai nabi, atau bahkan menunjukkan sebarang perkara yang boleh menimbulkan keraguan di kalangan orang lain. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/259; Fiqh al-Sirah oleh Dr. Zaid bin Abd al-Karim al-Zaid, hlm. 41)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”