Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak tanya berkenaan hukum kita mengambil ubat “morning after” selepas melakukan hubungan kelamin bagi mengelakkan mengandung, adakah ia termasuk perancangan keluarga dan dibolehkan dalam Islam? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, kami ingin tegaskan di sini bahawa anak merupakan satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan yang mendirikan rumahtangga. Firman Allah SWT:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan menjadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta merezekikan kepada kamu dari benda yang baik (lagi halal).”

(Surah al-Nahl: 72)

Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan bahawa pasangan, anak-anak, dan rezeki yang baik merupakan nikmat Allah SWT yang sangat besar. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/412).

Dalam menjawab soalan di atas, secara ringkasnya, sebagaimana yang kami kerap kali sebutkan para ulama berbeza pendapat mengenai “perancangan keluarga” kepada sekurang-kurangnya dua pendapat iaitu dibenarkan dan tidak dibenarkan. Namun, dalam hal ini, kami cenderung kepada pendapat yang membenarkannya berdasarkan syarat-syarat yang telah digariskan.

Bagi ulama yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga kepada tanzim al-nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) dan tahdid al-nasl (تَحْدِيدُ النَّسْلِ).

Tanzim al-Nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan ‘azl (ejakulasi luar rahim), mengeluarkan air mani daripada kemaluan isteri selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:

  • Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
  • Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
  • Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ ﷺ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ

Maksudnya: “Kami melakukan ‘azl pada zaman Nabi SAW dan al-Quran sedang turun.”

Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)

Di dalam riwayat lain pula daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

 كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَبَلَغَ ذَلِكَ نَبِيَّ اللَّهِ ﷺ فَلَمْ يَنْهَنَا

Maksudnya: “Kami selalu melakukan ‘azl ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup dan Baginda mengetahuinya, tetapi Baginda tidak pernah menghalang kami melakukannya.”

Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)

Dapat difahami daripada hadith Jabir ini bahawa mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Rasulullah SAW masih hidup dan semasa al-Quran masih diturunkan, dan yang ingin dimaksudkan adalah perbuatan mereka tersebut tidak dilarang oleh syara‘.

Di dalam riwayat lain menyebutkan dengan jelas sebab mengapa sebahagian sahabat melakukan ‘azl ini. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

ذُكِرَ الْعَزْلُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ:‏ وَمَا ذَاكُمْ‏.‏ قَالُوا الرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الْمَرْأَةُ تُرْضِعُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ وَالرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الأَمَةُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ.‏ قَالَ: فَلاَ عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا ذَاكُمْ فَإِنَّمَا هُوَ الْقَدَرُ

Maksudnya: “Telah diceritakan kepada Nabi SAW tentang ‘azl, lalu Baginda bertanya: ‘Mengapa buat begitu?’ Sahabat berkata: ‘Ada lelaki yang mempunyai isteri yang masih menyususkan anak, maka dia tidak suka jika isterinya mengandung dengan melepaskan air mani dalam rahim. Dan ada lelaki yang mempunyai hamba perempuan, maka dia tidak mahu perbuatannya menyebabkan hamba tersebut mengandung’ Lalu Baginda bersabda: ‘Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, sesungguhnya ia (kehamilan) berdasarkan taqdir’.”

Riwayat al-Bukhari (2542) dan Muslim (1438)

Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, terdapat isyarat bahawa ada dua sebab dilakukan ‘azl pada zaman tersebut. Pertama, kerana tidak mahukan kelahiran anak dari hamba perempuan, baik kerana atas keinginan sendiri atau agar tidak susah untuk menjual hamba tersebut jika ia memiliki anak. Kedua, kerana tidak mahukan wanita yang sedang menyusui anak mengandung lagi, kerana perkara itu dapat membahayakan kesihatan anak yang menyusu. (Lihat Fath al-Bari, 9/307)

Meskipun ia pernah dilakukan oleh sahabat semasa hayat Rasulullah SAW, tidak bermakna ia merupakan amalan yang digalakkan atau diterima baik oleh Baginda SAW. Ini berdasarkan riwayat lain daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لَا تَفْعَلُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ كَتَبَ مَنْ هُوَ خَالِقٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.”

Dan Abu Sa‘id juga berkata:

لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا

Maksudnya: “Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.”

Riwayat al-Bukhari (7809)

Diriwayatkan juga daripada Sa‘id al-Khudri R.A bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ كُلِّ الْمَاءِ يَكُونُ الْوَلَدُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ خَلْقَ شَيْءٍ لَمْ يَمْنَعْهُ شَيْءٌ

Maksudnya: “Tidak semua air mani itu diperlukan untuk menjadi seorang bayi.  Dan apabila Allah ingin  menciptakan sesuatu, tiada apa yang dapat menghalang-Nya.”

Riwayat Muslim (1438)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, Rasulullah SAW tidak melarang secara jelas perbuatan ‘azl itu, akan tetapi Baginda SAW memberi isyarat bahawa sebaiknya perbuatan tersebut ditinggalkan kerana ianya tidak mendatangkan apa-apa faedah. Allah SWT Maha berkuasa menciptakan anak tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 9/307)

Manakala Tahdid al-Nasal (تَحْدِيدُ النَّسْلِ) atau membataskan anak pula menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran. Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin.

Pengecualian khusus hanya diberikan apabila terdapat kes-kes tertentu yang melibatkan masalah kesihatan sehingga mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin. Maka ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur 120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa pengambilan pil atau ubat selepas melakukan hubungan kelamin bagi mengelakkan mengandung adalah dibolehkan, dan ia termasuk dalam perancangan keluarga yang dibenarkan Islam kerana ia tidak melibatkan pemandulan kekal ataupun pengguguran anak sebagaimana syarat yang telah digariskan. Sekalipun begitu, hukumnya adalah makruh jika tiada sebarang sebab mahupun alasan atas perbuatan tersebut sama ada kerana faktor pendidikan, kewangan, dan lain-lain.

Hal ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh al-Bujairimi bahawa sesuatu yang melambatkan kehamilan untuk tempoh tertentu (sementara) dan tidak memutuskan kehamilan tersebut secara asalnya (keseluruhannya), maka ia tidaklah haram seperti mana yang zahir. Malah, jika perbuatan melambatkan kehamilan (yakni memperoleh anak itu) adanya sebab dan alasan (tertentu) seperti pendidikan anak, maka hukumnya juga tidak makruh. Sebaliknya jika tidak (yakni tanpa sebab dan alasan), maka hukumnya  adalah makruh. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi, 4/47).

Bahkan hal ini juga selari dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jumadil Akhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M, di mana mereka telah memutuskan, antara lain:

  1. Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki ataupun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syar‘i.
  2. Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh syara‘, berdasarkan persetujuan dan keredhaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan itu tidak mendatangkan mudharat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada. (Lihat Majallah al-Majma’ Siri 4, 1/73).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply