Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa nabi dihantar menyusu dengan ibu susuan di perkampungan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ

Maksudnya: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: ‘Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad.’

(Surah Saff: 6)

Ibn Kathir menjelaskan: Nabi Isa berkata kepada Bani Israil, “Kitab Taurat telah memberi khabar gembira akan kenabianku dan aku sesuai lagi benar dengan apa yang dikhabarkan. Aku memberi khabar gembira akan kenabian yang datang sesudahku Dia adalah Rasul, Nabi yang ummi (buta huruf), orang Arab, orang Makkah, iaitu Ahmad.”

Nabi Isa AS adalah nabi terakhir dan penutup para nabi Bani Israil. Dia tinggal di kalangan Bani Israil dan memberi khabar gembira akan kenabian Nabi Muhammad, penutup para Nabi dan Rasul yang tidak ada risalah dan kenabian setelahnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/109)

Menjawab persoalan di atas, orang-orang Arab yang tinggal di bandar kebiasaannya menggunakan khidmat ibu-ibu susuan untuk anak-anak mereka bagi mengelakkan penyakit yang tersebar di kawasan bandar dan menguatkan tubuh badan anak-anak mereka. Mereka juga dihantar di kawasan-kawasan luar bandar supaya bahasa dan percakapan mereka dilatih dengan baik semenjak kecil.  (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/19;  al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 87)

Dr. Zaid bin Abd al-Karim al-Zaid dalam Fiqh al-Sirah (hlm. 41) menyebut: Hikmah yang tersembunyi di sebalik perjalanan Nabi SAW ke kawasan pedalaman yang jauh dari bandar untuk disusukan, sebagaimana yang menjadi kebiasaan para tokoh Arab pada zaman itu, termasuklah:

Pertama: Tempoh menyusu di kawasan pedalaman yang jauh dari bandar adalah untuk mengelak daripada pencemaran pergaulan bandar dan untuk menghirup udara segar desa. Lebih-lebih lagi, pada masa itu, kota Mekah dikunjungi oleh ramai pengunjung dari seluruh dunia dengan pelbagai latar belakang. Mereka datang untuk menunaikan haji, kunjungan, menjalankan perniagaan, dan sebagainya. Keadaan ini berpotensi mencemarkan pergaulan dan moral.

Oleh itu, adalah penting bagi pendidik untuk menjaga kesihatan anak-anak dan membiasakan mereka berada di luar untuk menikmati udara segar. Ini kerana, tindakan tersebut mempunyai kesan positif terhadap kesihatan dan kejiwaan anak-anak pada masa hadapan.

Banyak penyakit kejiwaan yang dialami oleh anak-anak rupanya disebabkan oleh kehidupan bandar yang menyediakan ruang bermain yang terlalu sempit untuk mereka. Penyebab ini sering kali tidak disedari oleh ibu bapa, mereka tidak membawa anak-anak ke tempat yang lebih luas, di mana udara segar diharapkan dapat memperbaharui keadaan kehidupan mereka. Konsep pendidikan moden banyak yang telah menekankan pentingnya melakukan aktiviti rekreasi ke kampung, gunung, pantai dan seumpamanya, kerana pemandangan seperti itu akan membuka cakrawala pemikiran dan berpotensi mencerdaskan anak. (Lihat al-Rasul al-‘Arabi al-Murabbi oleh Dr Abd al-Hamid al-Hasyimi, hlm. 87)

Kedua: Bayi-bayi yang dihantar (untuk diasuh) ke pedalaman adalah bertujuan untuk membiasakan mereka berbahasa Arab yang baik dan untuk mengelak kesilapan dalam berbahasa Arab. Ini menunjukkan betapa besarnya perhatian mereka terhadap bahasa tempatan mereka, iaitu bahasa Arab. Ini adalah satu pengajaran bagi kita untuk sentiasa menjaga bahasa Arab, bahasa al-Quran dan bahasa Sunnah yang mulia. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh Dr. Zaid bin Abd al-Karim al-Zaid, hlm. 52)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply