Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah qunut solat subuh sebelum rukuk atau selepas rukuk? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, menurut Syeikh Jad al-Haq, para fuqaha telah berbeza pendapat mengenai hal ini kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan bahawa qunut adalah selepas rukuk. Ini merupakan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam al-Majmu‘, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat tempat qunut adalah selepas rukuk iaitu selepas bangkit daripada rukuk — yakni ketika iktidal. Ini juga merupakan pendapat Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab dan Uthman bin ‘Affan. Ibn al-Munzir telah menukilkan perkara tersebut daripada mereka seperti mana katanya: “Kami telah meriwayatkannya daripada Umar, Ali, Ibn Abbas, Abu Musa al-Asy‘ari, al-Bara’, Anas dan lain-lain. Ini juga merupakan pendapat Imam Malik dan Ishaq.” Selain itu, al-Baihaqi juga meriwayatkan perkara tersebut daripada mereka dan daripada Anas. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/506)
Pendapat pertama ini adalah berdasarkan kepada hadith sahih daripada ‘Asim, katanya:
سَأَلْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ عَنِ القُنُوتِ، فَقَالَ: قَدْ كَانَ القُنُوتُ قُلْتُ: قَبْلَ الرُّكُوعِ أَوْ بَعْدَهُ؟ قَالَ: قَبْلَهُ، قَالَ: فَإِنَّ فُلاَنًا أَخْبَرَنِي عَنْكَ أَنَّكَ قُلْتَ بَعْدَ الرُّكُوعِ، فَقَالَ: كَذَبَ، إِنَّمَا قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ الرُّكُوعِ شَهْرًا، أُرَاهُ كَانَ بَعَثَ قَوْمًا يُقَالُ لَهُمْ القُرَّاءُ، زُهَاءَ سَبْعِينَ رَجُلًا، إِلَى قَوْمٍ مِنَ الـمُشْرِكِينَ دُونَ أُولَئِكَ، وَكَانَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَهْدٌ، فَقَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا يَدْعُو عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Anas bin Malik mengenai qunut. Lalu beliau menjawab: ‘Baginda SAW membaca qunut (di dalam solatnya).’ Aku bertanya lagi: ‘(Baginda melakukannya) sebelum rukuk atau selepasnya?’ Beliau menjawab: ‘Sebelumnya.’ Aku berkata: ‘Sesungguhnya si fulan mengkhabarkan kepadaku daripada engkau bahawa engkau mengatakan sesudah rukuk.’ Lalu beliau berkata: ‘Orang itu berdusta. Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca qunut sesudah rukuk selama sebulan. Aku berpendapat Baginda mengutus satu golongan yang mana mereka dikenali sebagai al-Qurra’, kira-kira seramai 70 orang lelaki kepada satu kaum Musyrikin yang mana bilangannya kurang daripada mereka. Terdapat perjanjian (damai) antara mereka dan Rasulullah SAW. (Akan tetapi, mereka mengingkari perjanjian tersebut) Oleh itu, Rasulullah SAW membaca qunut (di dalam solat) selama sebulan mendoakan ke atas mereka (agar ditimpakan laknat kerana mengingkari janji).’”
Riwayat al-Bukhari (1002)
Dalam riwayat yang lain, Muhammad bin Sirin bertanya kepada Anas R.A:
هَلْ قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ؟ قَالَ: نَعَمْ، بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا
Maksudnya: “Adakah Rasulullah SAW melakukan qunut dalam solat Subuh? Beliau menjawab: ‘Ya, Baginda melakukan qunut dalam solat, tidak berapa lama selepas rukuk’.”
Riwayat Muslim (677)
Begitu juga dengan sebuah hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:
أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ مِنَ الفَجْرِ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ العَنْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا» بَعْدَ مَا يَقُولُ «سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ» فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ}
Maksudnya: “Beliau mendengar Rasulullah SAW apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat terakhir solat Subuh, Baginda mengucapkan: ‘Ya Allah, laknatlah fulan, fulan dan fulan.’ Baginda mengucapkannya selepas mengucapkan: “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ” (Allah Menerima pujian orang yang memuji-Nya, dan hanya bagi Engkau segala pujian). Lalu Allah menurunkan ayat (yang bermaksud): “لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ” (“Kamu tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu…”) – sehingga Firman-Nya – “فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ” (“kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim!”) [Surah Ali ‘Imran: 128].”
Riwayat al-Bukhari (4069)
Seterusnya Imam al-Nawawi juga menyebutkan, terdapat sebahagian ulama yang berpendapat bahawa dibolehkan — diberi pilihan — untuk berqunut sebelum rukuk mahupun selepasnya sebagaimana dinukilkan oleh Ibn al-Munzir daripada Anas, Ayyub al-Sikhtiyani dan Imam Ahmad kerana hadith-hadith telah datang dengan kedua-duanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/506)
Selain itu, Ibn Qudamah menyatakan, tempat untuk berqunut adalah selepas rukuk sebagaimana yang dinaskan oleh Imam Ahmad. Hal ini juga turut diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Abu Qilabah, Abu al-Mutawakkil, Ayyub al-Sikhtiyani dan al-Syafi‘i. Walau bagaimanapun, terdapsat riwayat daripada Imam Ahmad bahawa beliau berpendapat qunut adalah selepas rukuk. Namun, jika seseorang itu melakukan qunut sebelum rukuk, maka tidak mengapa. (Lihat al-Mughni, 2/112)
Pendapat kedua pula menyatakan tempat qunut adalah sebelum qunut. Ini merupakan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Maliki dan Hanafi sebagaimana disebutkan oleh Ibn Qudamah. Selain itu, diriwayatkan juga perkara tersebut daripada Ubai, Ibn Mas‘ud, al-Bara’, Ibn Abbas, Anas, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, ‘Ubaidah, ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila dan Humaid al-Tawil. (Lihat al-Mughni, 2/112)
Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ubai bin Ka‘ab, beliau berkata:
ويقنُتُ قبلَ الرُّكوعِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW membaca qunut sebelum rukuk.”
Riwayat al-Nasa’ie (1699)
Begitu juga riwayat daripada Ibn Mas‘ud bahawa Nabi SAW melakukan qunut sebelum rukuk. Di dalam al-Mudawwanah ada disebutkan bahawa Imam Malik pernah ditanya mengenai seseorang yang melakukan qunut solat Subuh sebelum rukuk dan tidak mengangkat takbir untuk melakukan qunut. Beliau menjawab, perkara tersebut adalah luas, sama ada melakukannya sebelum rukuk atau selepas rukuk. Akan tetapi secara peribadinya aku cenderung kepada pendapat sebelum rukuk. Selain itu, diriwayatkan bahawa Ibn Sirin, al-Rabi‘ bin Khuthaim dan ‘Abidah al-Salmani melakukan qunut sebelum rukuk. (Lihat al-Mughni, 2/112; al-Mudawwanah, 1/192-193)
Syeikh Jad al-Haq turut menukilkan daripada Nail al-Autar bahawa perkataan Anas R.A yang menyebutkan: “Sesungguhnya qunut adalah sebelum rukuk.” Al-Baihaqi menyatakan riwayatnya berkenaan ‘qunut sebelum rukuk’ adalah lebih banyak dan terpelihara. (Lihat Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mu‘asirah, 1/321)
Seterusnya, Syeikh Jad al-Haq juga membuat kesimpulan dengan menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan qunut dalam solat Subuh selepas rukuk, maka sesungguhnya dia telah mengikuti — yakni menepati — sunnah Rasulullah SAW, yang diikuti oleh para sahabat selepasnya dan diamalkan oleh para imam mujtahid, fuqaha dan ahli hadith. Begitulah juga bagi sesiapa yang berqunut sebelum rukuk dalam solat Subuh mahupun solat witir, maka sesungguhnya dia juga telah mengikuti sunnah.
Tambahan lagi, qunut seperti ini bukanlah bidaah yang dilarang kerana berpegang dengan khabar, yang telah diperbincangkan dalam kalangan fuqaha dan ahli hadith yang thiqah. Begitu juga qunut bukanlah hanya khusus apabila berlaku suatu peristiwa dan bencana lalu cukup sekadar itu, selepas jelas terdapatnya penukilan daripada para imam dan ahli hadith secara terperinci bahawa al-Khulafa’ al-Rasyidin turut melakukan qunut bukan ketika berlakunya peristiwa mahupun bencana. (Lihat Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mu‘asirah, 1/319-325)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, selepas mengambil kira suasana dan waqi‘ negara kita, Malaysia, kami berpendapat bahawa qunut solat Subuh, tempatnya adalah selepas rukuk sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i.
Kami juga mengambil kesempatan di sini, menyeru kepada semua, lebih-lebih lagi dalam suasana negara kita yang dilanda dengan pelbagai ujian, dugaan dan musibah seperti Covid 19, banjir dan lain-lain, marilah sama-sama kita melakukan dan memperbanyakkan bacaan qunut dalam solat-solat kita, sama ada fardhu mahupun sunat. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan dalam musibah yang sedang melanda negara kita ini, sekali gus menghilangkannya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H