Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Semasa solat baru perasan ada sisa makanan dalam mulut. Apakah perlu dibuat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)
Dalam menjawab soalan ini, sebagaimana yang diketahui makan dan minum dengan sengaja ketika mendirikan solat termasuk dalam perkara yang membatalkan solat. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya bahawa makan dan minum merupakan perkara yang ditegah di dalam solat. Oleh itu, sekiranya seseorang makan dengan sengaja ketika sedang mendirikan solat, maka batallah solatnya sama ada ia banyak atau sedikit. Namun, jika dia makan dalam kuantiti yang sedikit kerana terlupa atau jahil, maka tidak batal solatnya, dan jika dalam kuantiti yang banyak maka batal solatnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/230).
Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyatakan, ashab al-Syafi‘i berpendapat, apabila makan dan minum ketika melakukan solat dengan sengaja, maka batal solatnya sama ada sikit atau banyak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/89).
Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menjelaskan, sekiranya tidak sengaja, maka batal solatnya sekiranya kadar yang banyak mengikut anggapan umum. Para fuqaha’ berpendapat kadar banyak yang dimaksudkan adalah apabila keseluruhan yang ditelan dengan kadar sebesar kacang kuda. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/169).
Seterusnya, berbalik kepada soalan di atas, berkenaan sisa makanan yang terdapat dalam mulut ketika solat, Imam al-Nawawi menyebutkan, sekiranya makanan yang terlekat di celahan gigi kemudian ditelan makanan tersebut dengan sengaja atau sesuatu yang turun dari kepala kemudian ditelannya secara sengaja maka batal solatnya tanpa sebarang khilaf. Selain itu, sekiranya menelan sesuatu yang sukar dihalang seperti bercampurnya air liur dengan makanan, tanpa sengaja atau menelan kahak yang sukar untuk menghalangnya, maka tidak membatalkan solatnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/90).
Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili turut menyebutkan, sekiranya di antara celahan gigi terdapat sisa makanan yang kadarnya tidak sebesar kacang kuda, dan menelannya tanpa disengajakan maka tidak membatalkan solatnya, dan jika sebaliknya maka batal solatnya. Begitu juga tidak membatalkan solatnya sekiranya menelan air liur yang banyak. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/230).
Seterusnya, berkenaan cara mengeluarkan makanan dari mulut ketika solat. Maka, kita boleh membuang atau mengeluarkannya dari mulut dengan cara meludahnya pada sapu tangan, tisu atau seumpamanya. Ini berdasarkan riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ، فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ، فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ: إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ، فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ ـ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ ـ فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ، أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ. ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ، ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ، فَقَالَ: أَوْ يَفْعَلْ هَكَذَا
Maksudnya: “Nabi SAW terlihat kahak di (dinding) kiblat, dan Nabi tidak menyukai akan hal itu sehingga terpapar (kemarahan) pada wajahnya. Lalu Baginda SAW pun bangun dan membuang (kahak) dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda: ‘Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan kiblat, maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) di sebelah kirinya atau di bawah kakinya.’ Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda: ‘Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini.’”
Riwayat al-Bukhari (405)
Imam al-Nawawi menyatakan dalam syarahnya bahawa meludah di bawah tapak kaki dan di sebelah kiri ketika solat hanyalah bagi mereka yang mendirikan solat di luar masjid (di tanah lapang). Bagi yang mendirikan solat di masjid, maka hendaklah menggunakan cara menyapu di baju seperti mana yang dianjurkan oleh Baginda SAW. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/39).
Bahkan Badruddin al-‘Aini menjelaskan lagi, larangan untuk meludah di dalam masjid adalah untuk memuliakannya daripada perkara yang kotor dan juga memuliakan arah kiblat. Selain itu, sebaiknya meludah di sebelah kiri dan jangan meludah di hadapan sesuatu benda yang mulia. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 4/149).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami katakan bahawa jika seseorang ketika solat baru menyedari ada sisa makanan dalam mulut, maka solatnya masih lagi dianggap sah dan tidak terbatal dengan sebab adanya sisa makanan itu dalam mulutnya. Akan tetapi solatnya terbatal dengan sebab menelan sisa makanan tersebut secara sengaja.
Adapun cara yang boleh dilakukan bagi orang dalam situasi tersebut; dia boleh memilih untuk membiarkannya tanpa menelannya, ataupun dia boleh mengeluarkannya dengan cara meludahnya pada sapu tangan atau tisu ke sebelah kiri. Dan tidak meludahnya ke lantai kerana dikhuatiri akan menyebabkan kotoran pada lantai masjid. Namun, jika dia mendirikan solat di luar kawasan rumah atau masjid seperti di tanah lapang, maka dia boleh meludahnya ke lantai sebelah kiri atau di bawah kakinya di bawah kakinya seperti mana yang disebutkan dalam hadith di atas.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”