Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum mengeluarkan mani menggunakan lubang kemaluan palsu (sex toy) ketika isteri dalam haid? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mu’minun: 7)

Imam al-Syafi‘i ketika mengulas ayat di atas menyebutkan: “Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Begitu juga tidak halal perbuatan beronani.” (Lihat Al-Umm, 5/102)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, sifat orang yang beriman yang mendapat kejayaan mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya adalah mereka yang memelihara kemaluan daripada liwat, zina dan selainnya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/759-760)

Dalam menjawab soalan ini, pertamanya, kami katakan bahawa pada asasnya penggunaan alat-alat bantuan seks bagi tujuan hubungan kelamin suami isteri adalah diharuskan selagi mana tidak memudaratkan dan tidak najis. Perkara ini adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 telah membincangkan Hukum Menggunakan Alat-Alat Bantuan Untuk Tujuan Hubungan Kelamin. Muzakarah telah memutuskan bahawa harus menggunakan alat bantuan untuk tujuan hubungan kelamin selagi mana ia tidak memudaratkan dan tidak najis. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islamda Malaysia, terbitan JAKIM, hlm. 161).

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa alat bantuan seks yang diharamkan untuk digunakan semasa hubungan intim suami isteri seperti yang melibatkan penetrasi dan penembusan di dubur kerana ia jelas diharamkan dalam syarak. Begitu juga alat bantuan seks yang melibatkan perbuatan yang diharamkan oleh syarak seperti onani dengan menggunakan boneka seks, lubang kemaluan palsu dan seumpamanya.

Keduanya, kami melihat perbuatan mengeluarkan air mani menggunakan lubang kemaluan palsu boleh disamakan atau mirip dengan perbuatan onani. Secara umumnya, seseorang tetap tidak dibolehkan untuk melakukan onani dengan menggunakan tangannya sendiri. Hal ini kerana seseorang itu hanya dibolehkan melakukan onani dengan tangan pasangannya. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/97) bahawa istimna’ ialah perbuatan meminta untuk mengeluarkan air mani. Manakala dari segi istilah pula, istimna’ adalah mengeluarkan air mani tanpa melalui persetubuhan (jimak), sama ada secara haram seperti mengeluarkan air mani dengan tangannya sendiri kerana adanya keinginan syahwat, atau dengan cara yang tidak diharamkan (yakni cara yang halal) seperti mengeluarkan air mani dengan tangan isterinya (pasangannya).

Justeru, penggunaan lubang kemaluan palsu adalah tidak dibolehkan dan ia termasuk dalam perbuatan melampaui batas-batas Allah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya:Dan mereka yang menjaga kehormatannya (5) kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5-7)

Jadi, bersedap-sedapan dengan menggunakan lubang kemaluan palsu atau benda-benda seumpamanya adalah termasuk dalam bentuk perbuatan melampaui batas-batas Allah SWT sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas. Hal ini kerana ia termasuk dalam mencari kepuasan nafsu dengan selain daripada yang dibenarkan iaitu sama ada dengan isteri atau hamba sahayanya. Ini adalah sebagaimana disebutkan dalam Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir (hlm. 446) bahawa sesiapa yang melakukannya terhadap selain isteri dan hamba sahaya perempuan mereka, maka dia adalah orang yang melampaui batas, zalim, dan berdosa.

Imam al-Syafi‘i menyatakan, ayat di atas jelas menerangkan agar setiap orang Mukmin menjaga kemaluan mereka kecuali pada isteri-isteri mereka dan juga kepada hamba perempuan yang dimiliki serta pengharaman bagi selain daripada keduanya. Ayat ini juga menjadi dalil kepada halalnya pernikahan dan halalnya perbuatan talazzuz (bersedap-sedapan) dan sebagainya pada faraj isteri dan hamba perempuan yang dimiliki selain ia menjelaskan bahawa perbuatan istimna‘ (onani) tidak termasuk dalam perkara yang dihalalkan baginya. (Lihat al-Umm, 5/155).

Seterusnya, turut dinyatakan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (16/421) bahawa hukum mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah haram, dan ramai daripada kalangan ulama yang berpegang dengannya. Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata: “Mengahwini hamba perempuan adalah lebih baik darinya (mengeluarkan mani dengan sengaja).” Mereka kesemuanya berpegang pada dalil yang sama iaitu pada surah al-Mukminun ayat 5-7.

Bahkan perkara ini turut diakui oleh pakar-pakar fisiologi dan juga doktor-doktor perubatan bahawa perbuatan mengeluarkan air mani dengan sengaja boleh membawa kepada pembunuhan keinginan seksual dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu tidak dapat mengeluarkannya (air mani) ketika persetubuhan melainkan dengan cara mengeluarkannya sendiri dengan menggunakan tangan seterusnya mengabaikan tanggungjawabnya dan tugasnya sebagai seorang suami. Perbuatan ini juga membunuh fungsi alatnya (kemaluan) atau mengurangkan kebersamaan suami isteri. Maka, kesemua kerosakan dan juga keburukan ini amatlah dilarang daripada berlaku ke atas diri manusia.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa menggunakan lubang kemaluan palsu bagi melampiaskan nafsunya atau mengeluarkan air maninya sekalipun ketika isteri sedang haid adalah tidak dibolehkan dan haram kerana ia termasuk dalam perbuatan onani yang dilarang dan melampaui batas-batas Allah SWT. Sebaliknya, kami mencadangkan sekiranya suami itu datang keinginannya untuk melakukan hubungan intim ketika isterinya sedang haid, dia boleh meminta isterinya mengeluarkan air mani menggunakan tangan isterinya, dan bukannya menggunakan tangannya sendiri mahupun alat-alat bantuan yang lain. Ini kerana mengeluarkan mani dengan alat-alat ini termasuk dalam perbuatan mengeluarkan air mani tanpa melalui jalan persetubuhan atau dipanggil sebagai istimna’ (onani), dan istimna’ hanya dibolehkan dengan menggunakan tangan pasangannya yang sah sahaja.

Kami tidak dapat menafikan di sana terdapat dalam kalangan ulama mengharuskan onani bagi menahan syahwat yang bergelora dalam diri seseorang yang boleh menyebabkannya melakukan zina. Contohnya, seorang lelaki yang ingin bersetubuh dengan isterinya, namun tidak boleh disebabkan haid, maka dibolehkan untuk istimna‘ (onani) dengan menggunakan tangannya sendiri bagi mengelakkan dan menjauhkan dirinya daripada melakukan perbuatan zina. Ini kerana mengambil (melakukan) mafsadah (kerosakan) yang ringan bagi menghalang daripada mafsadah yang berat di antara keduanya. Bahkan diwajibkan pula. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj oleh al-Haitami, 1/389); Hasyiah al-Syabramalisi dalam Nihayah al-Muhtaj, 1/331).

Sekalipun begitu ia tidak menjadikan perbuatan tersebut diharuskan/dibolehkan ke atasnya untuk dilakukan kerana ia tetap haram. Akan tetapi dibenarkan bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih besar ke atas dirinya iaitu perbuatan zina. Apatah lagi, di sana syarak telah membenarkan untuk beronani dengan menggunakan tangan isterinya yang sah. Justeru, kenapa perlu memilih untuk tetap melakukan perkara yang dilarang dan ditegah oleh syarak sedangkan jalan keluar/penyelesaian telah pun ditunjukkan oleh syarak — iaitu dengan menggunakan tangan isterinya yang sah.

Tambahan lagi, tidaklah dibuka pintu yang membicarakan mengenainya melainkan dengan sebab filem-filem yang rendah nilai akhlaknya (seperti pornografi dan seumpamanya) yang dibawa masuk kepada kita oleh budaya globalisasi. Sedangkan apa yang Allah SWT telah halalkan buat kita adalah lebih banyak lagi daripada perkara yang diharamkan-Nya. Lebih-lebih lagi, terdapat kajian menunjukkan penggunaan alat-alat bantuan seks terdedah kepada risiko penyakit jangkitan kelamin serta kecelaruan minda akan terjadi akibat ketagihan dengannya.. Oleh itu, sewajarnya penggunaannya dijauhi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply