Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah surah al-Mulk menjadi penghalang kepada Azab Kubur?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Surah al-Mulk merupakan penghalang kepada azab kubur, dan memberi syafaat kepada mereka yang membacanya pada hari kiamat. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
سُورَةُ تَبَارَكَ , هِيَ الْمَانِعَةُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Maksudnya: Surah Tabarak adalah yang menghalang dari azab kubur
Riwayat Abu al-Syeikh dalam Tabaqat al-Muhaddithin (4/11) dan dalam Tabaqat al-Asbahaniyin (264), Ibn Mardawih dalam al-Durar al-Manthur (8/231). Hadith ini dinilai Sahih sebagaimana dalam Sahih al-Jami’ (3643)
Hadis ini disokong oleh hadis Ibn Abbas R.Anhuma yang berkata:
ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لَا يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ المُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لَا أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ المُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هِيَ المَانِعَةُ، هِيَ المُنْجِيَةُ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ»
Maksudnya: “Sebahagian daripada sahabat Nabi SAW mendirikan khemah di atas kubur, dan dia tidak menyangka bahawa itu adalah kubur, tiba-tiba dia mendengar seseorang membaca surah ( تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ المُلْكُ) hingga selesai. Lalu dia mendatangi Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku mendirikan khemah di atas kubur, dan aku tidak menyangka bahawa itu adalah kubur, tiba-tiba aku mendengar seseorang membaca surah (تَبَارَكَ المُلْكِ) hingga selesai. Rasulullah SAW bersabda: ‘Ia adalah penghalang, ia adalah penyelamat yang menyelamatkannya dari azab kubur.’
Riwayat al-Tirmizi (2890), Ibn Nasr (66), dan Abu Nu’aim dalam al-Hilyah (3/81). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini hasan gharib berdasarkan wajh ini. Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (4/473) menyatakan bahawa dalam sanad ini tedapat Yahya bin Amr bin Malik al-Nakari yang merupakan perawi yang dhaif
Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam tahqiqnya tehadap al-Musnad (13/354) berkata: “Berkenaan kelebihan Surah Tabarak, Abdul Razzaq meriwayatkan dalam al-Musannaf (6025), dan melalui jalurnya al-Tabarani dalam al-Kabir (8651) daripada Sufyan al-Thauri, daripada ‘Asim bin Abi al-Najud, daripada Zir bin Hubaisy, daripada Ibn Mas’ud berkata: Ia adalah penghalang, menghalang azab kubur, dan sanadnya hasan.
Diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A:
كُنَّا فِي عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُسَمِّيْهَا الْمَانِعَةَ
Maksudnya: Kami pada zaman Rasulullah SAW menyebutnya sebagai penghalang.”
Riwayat al-Nasa’i dalam Amal al-Yaum wal-Lailah (711), dan al-Tabarani (10254)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda:
سُورَةٌ مِنَ الْقُرْآنِ ثَلَاثُونَ آيَةً، تَشْفَعُ لِصَاحِبِهَا حَتَّى يُغْفَرَ لَهُ: تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Maksudnya: Surah dalam al-Quran tiga puluh ayat, memberikan syafaat kepada pemiliknya sehingga diampuni baginya: تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Riwayat Ahmad (7975), Abu Dawud (1400), al-Tirmizi (2891), dan Ibn Majah (3786) dan dihasankan oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah
Maka diharapkan bagi pembaca surah ini yang selalu membacanya, ia akan menyelamatkannya dari azab kubur, dan akan memberikan syafaat kepadanya pada hari kiamat sehingga diampunkan dosanya.
Sesiapa yang terselamat daripada azab kubur dan berada dalam kenikmatan, maka dia termasuk orang yang diharapkan selamat pada hari kiamat, sebagaimana diriwayatkan daripada Hani, maula Uthman, katanya: Uthman, apabila berdiri di atas kubur menangis sehingga membasahi janggutnya, lalu dikatakan kepadanya: Kamu mengingati syurga dan neraka tetapi tidak menangis, dan kamu menangis disebabkan ini? Beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ القَبْرَ أَوَّلُ مَنْزِلٍ مِنْ مَنَازِلِ الآخِرَةِ، فَإِنْ نَجَا مِنْهُ، فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ مِنْهُ، وَإِنْ لَمْ يَنْجُ مِنْهُ، فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ
Maksudnya: Sesungguhnya kubur adalah tempat persinggahan pertama daripada rumah-rumah akhirat, jika dia selamat darinya, maka apa yang selepasnya lebih mudah daripadanya, dan jika dia tidak selamat darinya, maka apa yang selepasnya lebih sukar daripadanya
Riwayat Ahmad (454), al-Tirmizi (2308), dan Ibn Majah (4267) dan dihasankan oleh Syeikh al-Albani, dan disahihkan oleh Syeikh Syu’aib al-Arnaut.
Abu al-‘Ala Muhammad Abd al-Rahman al-Mubarakfuri berkata: “(Sesungguhnya kubur adalah rumah pertama dari rumah-rumah akhirat), antaranya ialah penampilan di hari kiamat ketika perhitungan, berdiri di hadapan timbangan, melintasi titian sirat, dan akhirnya syurga atau neraka. Dalam beberapa riwayat, disebutkan bahawa ia adalah tempat persinggahan terakhir dari dunia, dan oleh itu dinamakan sebagai barzakh.’ (Jika selamat), yakni terbebas yang dikubur (daripadanya) yakni dari azab kubur: (maka apa yang selepasnya) yakni daripada rumah-rumah (lebih mudah daripadanya): yakni lebih mudah; kerana jika dia mempunyai dosa, akan dihapuskan dengan azab kubur. (Dan jika dia tidak selamat daripadanya): yakni tidak terbebas dari azab kubur dan tidak dihapuskan dosanya dengannya, dan masih tersisa dosa yang layak untuknya azab: (maka apa yang selepasnya lebih sukar daripadanya) kerana neraka adalah azab yang lebih berat, dan kubur adalah lubang dari lubang-lubang neraka.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 6/490)
Tetapi perkara yang perlu diberi perhatian bahawa kelebihan-kelebihan tidak boleh ditentukan melalui logik atau pemikiran sendiri. Begitu juga dengan urusan hisab dan hukuman, nikmat dan azab; semuanya bergantung kepada dalil dan panduan yang telah ditetapkan. Dan mungkin seorang hamba diringankan azabnya di dalam kubur dengan doa, syafaat, atau keutamaan-keutamaan yang menyelamatkan dari azab kubur; namun masih ada dosa yang membuatnya layak untuk dihisab dan dihukum. Tidak ada yang pelik atau bermasalah dalam hal ini. Semuanya bergantung kepada rahmat Allah terhadap hamba-hamba-Nya, dan keampunan-Nya kepada mereka, serta pintu-pintu penghapusan dosa dan keampunan yang dibuka-Nya untuk hamba-hamba-Nya.
Semoga Allah SWT menyelamatkan kita daripada azab kubur, dan daripada azab neraka, serta menganugerahkan kita kenikmatan kubur, keamanan pada hari ketakutan, dan syurga Firdaus yang tertinggi.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”