Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kelebihan seseorang meninggal dunia pada hari Jumaat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu diseru kepada solat di hari Jumaat maka pergilah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Itulah yang lebih baik kepada kamu jika kamu mengetahui.”

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Sayyid Qutb berkata: Ayat ini menggalakkan kaum Mukminin supaya meninggalkan segala urusan kehidupan dan masuk ke dalam ibadat mengingati Allah pada waktu dikumandangkan azan itu. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 7/207).

Menjawab persoalan yang diajukan, terdapat beberapa fadhilat atau kelebihan ke atas seseorang yang meninggal dunia pada hari Jumaat, antaranya seperti yang pernah kami gariskan di dalam sebuah artikel yang bertajuk: “Tanda-tanda Kematian Husnul Khatimah,” iaitu mereka akan dilindungi dari fitnah kubur. Ini berdasarkan sebuah hadith yang bertaraf hasan, diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِن مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الجُمْعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الجُمْعَةِ إِلَّا وَقَّاه اللهُ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: “Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur.”

Riwayat al-Tirmizi (1074) dan Ahmad (6582)

‘Abd al-Ra’ud al-Munawi menyatakan sebab mengapa hari Jumaat ini terdapat fadhilat yang khusus, kerana pada hari itu Neraka Jahannam tidak dinyalakan dan pintu-pintunya ditutup, serta kekuasaan api (untuk membakar) tidak berfungsi seperti pada hari-hari yang lain. Maka jika seorang hamba meninggal dunia pada hari tersebut, itu adalah petunjuk kebahagiaannya dan kebaikan tempat kembalinya. Dan tidaklah seorang mukmin meninggal dunia pada hari yang dipenuhi dengan rahmat tidak terhitung banyaknya ini, kecuali dituliskan baginya kebahagiaan dan kehormatan. Oleh kerana itu, dia dilindungi dari fitnah kubur.

Adapun keadaan mereka dilindungi dari fitnah kubur, yakni dengan tidak menghadapi pertanyaan di dalam kubur kerana di hari dan malam Jumaat, tercurah rahmat yang terbesar. Dalam menjelaskan hadith lain, al-Munawi menyebutkan bahawa salah satu  dari fitnah kubur ini adalah kebingungan dalam menjawab pertanyaan dua malaikat. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/499; al-Taisir bi Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 1/216; 1/368)

Meskipun terdapat hadith yang menceritakan perihal meninggal dunia pada hari Jumaat ini, namun sebahagian ulama lebih cenderung memilih untuk tawaqquf dalam isu ini kerana status hadith ini dikritik. Imam al-Tirmizi sendiri berkata selepas meriwayatkan hadith di atas, statusnya adalah gharib[1] dan sanadnya tidak bersambung. Rabi‘ah bin Saif sebenarnya meriwayatkan daripada Abu ‘Abd al-Rahman al-Hubuli daripada Abdullah bin ‘Amru, kami tidak tahu Rabi‘ah bin Saif ini pernah mendengar daripada Abdullah bin ‘Amru secara terus. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut pula memberikan komentar dalam riwayat Imam Ahmad, bahawa sanad hadith ini dha‘if kerana Rabi‘ah bin Saif tidak pernah mendengar daripada Abdullah bin ‘Amru. Dalam jalur perawi hadith ini mempunyai Rabi‘ah bin Saif dan Hisyam bin Sa‘d, kedua-duanya dinilai dha‘if, manakala perawi-perawi lain adalah thiqah menurut syarat al-Bukhari dan Muslim. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani juga menilai sanad hadith ini sebagai dha‘if, dan Abu Ya‘la juga membawakan hadith ini menerusi jalur Anas dan lain-lain, tetapi pada sanadnya dha‘if. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/372; Musnad Ahmad, 11/147; Fath al-Bari, 3/253)

Akhirnya, hanya Allah SWT dan Rasul-Nya jua yang lebih tahu akan kelebihan hakiki buat mereka yang meninggal pada hari Jumaat. Tidaklah kita mengharapkan daripada Allah SWT melainkan kematian yang baik dalam keadaan menganut agama Islam, beriman kepada Allah SWT dan melafazkan syahadah sebelum dia meninggalkan dunia. Ini juga secara tidak langsung sebagai sahutan jawab terhadap firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan sebagai muslim.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Gharib ini apabila perawi bersendirian dalam meriwayatkannya.

Leave a Reply