Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum seorang yang membanggakan diri dengan masjid yang telah dibina atau diwakafkan? Benarkah yang demikian merupakan alamat bagi kiamat ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara alamat kiamat yang kecil adalah apabila seseorang itu berbangga-bangga dan bermegah-megah pada binaan masjid sedangkan tidak mengimarahkannya yang tujuan asalnya adalah untuk diimarahkan. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada  Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِي الْمَسَاجِدِ

Maksudnya: “Tidak berlaku Kiamat sehingga orang ramai bermegah pada masjid mereka.”

Riwayat Abu Daud (449), Ibn Majah (379) dan Ahmad (12379)

Hadith ini menunjukkan manusia akan bermegah-megah dengan pembinaannya iaitu masing-masing akan berbangga dengan masjidnya dengan menyatakan masjidku lebih tinggi, lebih cantik, lebih luas, lebih baik dengan riyak, sum’ah (suka didengari) serta mencari pujian. Ibn Ruslan mengatakan hadith ini merupakan mukjizat yang zahir berdasarkan apa yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tentang apa yang akan berlaku selepas kewafatannya. Tambahan pula, mengcantikkan masjid serta bermegah dengannya telah banyak berlaku pada zaman ini. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/84)

Selain itu juga, apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW ini telah berlaku di sebahagian masjid yang mana kos pembinaannya telah menelan belanja sehingga berjuta-juta. Daripada jumlah tersebut boleh dibina berpuluh ribu buah masjid sekiranya pembinaan tersebut sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. (Lihat al-Sahih al-Musnad min Dala’il al-Nubuwwah, hlm. 590)

Hadith ini adalah dalil tentang kecaman terhadap kebanggaan dan kesombongan dalam pembinaan masjid, kerana itu adalah tanda-tanda kiamat dan petunjuk dekatnya kiamat. Ini menunjukkan perubahan keadaan dari  kejahilan, kekurangan agama, dan kelemahan iman, serta mengutamakan tujuan duniawi berbanding tujuan akhirat. Oleh itu, Anas R.A berkata: “Mereka berbangga dengan pembinaan masjid, tetapi kemudian mereka tidak mengimarahkan masjid tersebut kecuali sedikit sahaja.”

Apa yang telah diberitakan oleh Nabi SAW telah berlaku, di mana para raja dan khalifah berbangga dalam pembinaan dan penghiasan masjid sehingga mereka melakukannya dengan penuh kekaguman. Masjid-masjid tersebut masih berdiri hingga kini di negara-negara seperti Syam, Mesir, Maghribi, Andalusia, dan lain-lain.

Dalam zaman kita sekarang, fenomena kebanggaan terhadap masjid semakin jelas, disebabkan oleh perkara-perkara tersebut, serta kreativiti manusia dalam pembinaan, perancangan, dan pelaksanaan, serta adanya alat dan kemudahan yang menyokongnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa kebanggaan terhadap masjid boleh mengarah kepada pembaziran dalam pembinaannya dan memfokuskan perhatian kepada penghiasannya. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 2/495 )

Justeru, masjid seharusnya berfungsi sebagai pusat ibadah dan aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat. Dalam Islam, masjid bukan sahaja tempat untuk solat, tetapi juga untuk menuntut ilmu, berdakwah, dan mengeratkan silaturrahim. Oleh yang demikian, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah berpegang kepada tujuan asal pembinaan masjid iaitu menghidupkannya dengan perkara-perkara yang bermanfaat, bukan berbangga dengan kemegahan atau keindahan binaan masjid tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْيِينَا بِالْإِيمَانِ وَأَمِتْنَا بِالْإِيمَانِ وَاحْشُرْنَا بِالْإِيمَانِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Ya Allah, hidupkanlah kami dengan iman, matikanlah kami dalam iman, bangkitkanlah kami dalam iman dan masukkanlah kami ke dalam Syurga dengan keimanan.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply