Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah kelebihan bagi mereka yang melakukan kerja amal dalam pembersihan masjid? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ (٧) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍۢ شَرًّا يَرَهُۥ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya. Sesiapa yang melakukan kejahatan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya.”

(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di berkata: Yakni, barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya juga.” Hal ini bersifat umum untuk seluruh kebaikan dan kejahatan, kerana apabila manusia dapat melihat amalan seberat biji zarrah yang merupakan sesuatu yang terkecil dan diberi balasannya, maka yang lebih besar, tentu dapat dilihat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 932)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa masjid merupakan tempat ibadah bagi kaum muslimin dan ia digunakan pada setiap waktu khususnya ketika waktu solat fardhu. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan bagi  setiap muslim untuk menjaga rumah suci Allah dengan baik dengan menjaga kebersihannya.

Tidak dinafikan mereka yang sentiasa melakukan kerja amal membersih dan menyucikan masjid mendapat kelebihan dan ganjaran daripada Allah SWT disebabkan kebaikan yang disebutkan tersebut. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عُرِضَتْ عَلَيَّ أُجُورُ أُمَّتِي حَتَّى الْقَذَاةُ يُخْرِجُهَا الرَّجُلُ مِنْ الْمَسْجِدِ

Maksudnya: “Telah diperlihatkan kepadaku pahala-pahala umatku hingga perbuatan seseorang yang mengeluarkan kotoran dari masjid…”

Riwayat Abu Dawud (461) al-Tirmizi (2916) dan Ibn Khuzaimah. Hadith ini dinilai dhaif tetapi ia mempunyai syawahid sebagaimana yang disebut dalam Taudhih al-Ahkam (2/141)

Hadith ini menunjukkan keutamaan membersihkan masjid dan mengeluarkan sampah daripadanya. Jika seseorang yang mengeluarkan kotoran kecil dari masjid memperoleh ganjaran, maka orang yang menyapu, membersihkan debu dan kotoran, serta membersihkan masjid daripada najis dan kekotoran yang banyak tentu akan memperoleh ganjaran yang lebih banyak. Oleh itu, menghilangkan kekotoran yang tidak dipedulikan dianggap sebagai salah satu pahala  memuliakan Rumah Allah SWT. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 2/501)

Ibn Roslan menyatakan bahawa: “Dalam hal ini terdapat galakan untuk membersihkan masjid daripada kotoran kecil yang terdapat di dalamnya kerana ia akan dicatat sebagai pahala bagi mereka dan akan diperlihatkan kepada nabi mereka. Jika perkara kecil ini dicatat dan diperlihatkan, maka sudah tentu perkara yang lebih besar juga akan dicatat dan diperlihatkan dengan lebih utama. Ini menunjukkan bahawa perkara yang lebih rendah memberi petunjuk kepada yang lebih tinggi, yang bersih daripada yang kotor, .Oleh yang demikian, ganjaran pahala adalah berdasarkan amalan. (Lihat Bustan al-Ahbar Mukhtasar Naib al-Authar, 1/232)

Justeru, jelaslah kepada kita bahawa bahawa setiap amal kebaikan, walaupun kecil, mendapat pahala dari Allah SWT. Mengeluarkan kotoran dari masjid mungkin kelihatan seperti tugas yang remeh, tetapi ia dianggap penting dan diberi ganjaran. Selain itu juga, menjaga kebersihan masjid adalah sebagai mentaati apa yang diperintah oleh  Rasulullah SAW dimana Samurah bin Jundub berkata:

أمرنا رسولُ اللهِ ﷺ أن نتَّخِذَ المساجدَ في ديارِنا وأمرنا أن ننظِّفَها

Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk membina masjid di kawasan kediaman kami dan memerintahkan kami untuk membersihkannya.”

Riwayat Abu Dawud (456)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu ‘alam

Leave a Reply