Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, anak babi jatuh dalam kolam mandi/renang di sebuah resort dan kolam lebih besar daripada bilik darjah. Jadi, macam mana status air dalam kolam mandi tersebut? Perlukah dibuang airnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, pertamanya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan semua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302).

Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir (kata ganti nama) pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).

Keduanya, jika jumlah atau ukuran air di dalam takungan itu mencapai dua qullah atau lebih, maka airnya kekal dianggap mutlak sebagaimana sifat asalnya meskipun terjatuh najis ke dalamnya selagi mana tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW ketika ditanya tentang air di padang pasir yang sering didatangi oleh binatang buas dan binatang-binatang lain, Baginda bersabda:

إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

Maksudnya:Apabila air itu cukup dua qullah, ia tidak kotor.

Riwayat Abu Daud (63), al-Tirmizi (67), al-Nasa’i (52), Ibn Majah (517), Ibn Hibban (4/57), al-Hakim (1/224) dan Ahmad.

Dalam riwayat Abu Daud dengan lafaz:

فَإِنَّهُ لاَ يَنْجُسُ

Maksudnya: “Sesungguhnya air itu tidak menjadi najis.

Riwayat Abu Daud (65)

Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menjelaskan, jika air musta‘mal ini banyak, mencapai jumlah sebanyak dua qullah, maka ia menjadi air tahur mengikut pendapat yang paling sahih (asah). Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW: “Jika air berjumlah dua qullah, maka ia tidak membawa kotoran mahupun menjadi najis.” Oleh itu, air dua qullah itu tidak menjadi najis dengan sebab bersentuhan dengan najis, kecuali jika terjadi perubahan yang signifikan pada sifat-sifatnya, maka air tersebut menjadi najis menurut kesepakatan ulama. Perubahan ini sama ada secara hissi atau boleh juga secara taqdiri, yakni terdapat cairan najis yang sama dengan sifat-sifat air seperti air kencing yang telah kehilangan baunya.

Jika perubahan ini hilang dengan sendirinya atau melalui campuran air yang bersih, maka ia adalah suci, disebabkan telah hilang kenajisannya. Namun, jika perubahan ini hilang melalui kasturi, za‘faran atau tepung, maka air itu tidak dianggap menjadi suci. Begitu juga ia tidak dikira menjadi suci mengikut pendapat yang azhar, jika ia mengalami perubahan dengan tanah atau kapur. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/81-82).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa status air kolam renang yang sebesar sebuah bilik darjah yang anak babi terjatuh ke dalamnya masih dianggap mutlak (suci lagi menyucikan), selagi mana tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa. Ini kerana jelas bahawa jumlah air tersebut melebih dua qullah, dan ia tidak menjadi najis disebabkan semata-mata kotoran atau najis (yakni anak babi) yang terjatuh ke dalamnya selagi mana ia tidak menyebabkan perubahan pada sifat-sifat air itu. Oleh itu, airnya itu kekal sebagaimana hukum asalnya, iaitu suci lagi menyucikan.

Sehubungan dengan itu juga, air kolam renang itu tidak perlu dibuang hanya disebabkan hal tersebut — yakni anak babi terjatuh ke dalamnya. Apatah lagi, kos penyelenggaran untuk menukar air kolam renang; melepaskan air dan mengisinya semula adalah mahal dan tinggi. Oleh itu, janganlah kita membuang air itu sewenang-wenangnya tanpa sebarang keperluan kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan membazir dan mensia-siakan harta.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

Leave a Reply