Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Gigi saya sudah dicabut. Apa hukum saya memasang bridge gigi untuk penuhkan semula gigi? Adakah ia dibolehkan atau sebenarnya ia termasuk dalam mengubah ciptaan yang dilarang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas berkenaan bridge gigi ini. Bridge gigi adalah rawatan yang mengisi ruang antara gigi untuk menggantikan gigi yang hilang. Rawatan ini melibatkan prosedur membuat jambatan antara ruang gigi yang hilang dan meletakkan gigi palsu kekal. Bridge boleh bertahan dari 10 hingga 15 tahun.

Seseorang itu memerlukan bridge gigi apabila:

  1. Gigi hilang.
  2. Meningkatkan penampilan.
  3. Bentuk muka berubah.
  4. Kedudukan gigi berubah.
  5. Tidak selesa mengunyah.

Di sana dinyatakan beberapa kelebihan bridge gigi ini. Di antaranya:

  • Menggantikan gigi yang hilang.
  • Lebih selesa mengunyah semasa makan.
  • Meningkatkan penampilan, gigi bridge kelihatan lebih cantik dan berkilat seperti gigi asli.
  • Mengekalkan bentuk muka dengan mengisi ruang gigi yang hilang.
  • Menghalang pergerakan gigi dan komplikasi kesihatan gigi yang lain.
  • Harga berpatutan, alternatif lebih murah berbanding Implant gigi.[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan bridge gigi adalah diharuskan sekiranya ada keperluan seperti bertujuan untuk rawatan dan menghilangkan aib pada gigi, serta mengembalikan fungsinya yang asal. Namun, jika penggunaan bridge gigi itu tanpa sebarang keperluan dan hanya demi kecantikan tambahan semata-mata, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu tidak dibolehkan dan haram melakukannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://dentamint.com.my/bridge-gigi/. Diakses pada 1 Ogos 2024.

Leave a Reply